Sabtu, 12 November 2016

Beng Hee gagal Nicol juara

ARKIB : 28/01/1999
RATU skuasy negara, Nicol Ann David (kiri) mengukir senyuman lebar bersama Mansoor Zaman dari Pakistan setelah merangkul gelaran juara perempuan dan lelaki Kejohanan Skuasy Remaja Asia Kesembilan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.

IMPIAN Ong Beng Hee untuk mengecap kejayaan terakhir bagi kategori remaja musnah sewaktu rakan senegaranya, Nicol David menjulang gelaran juara pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia kesembilan di Pusat Skuasy Nasional, malam tadi.

Beng Hee, yang akan menjangkau usia 20 tahun pada 4 Februari ini tewas kepada lawannya, yang juga pilihan kedua, Mansoor Zaman dari Pakistan pada perlawanan akhir 9-10, 9-2, 9-3, 9-3.

Ini kali terakhir Beng Hee dapat beraksi pada kejohanan itu kerana dia tidak lagi dibenarkan menyertai kejohanan berikutnya yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2001 kerana usia melebihi had yang ditetapkan.

Bagi Beng Hee, ia merupakan kekecewaan keduanya pada perlawanan akhir tahun ini selepas tewas pada perlawanan akhir Terbuka British di Sheffield awal bulan ini.

Sebaliknya, Malaysia yang sudah dijanjikan gelaran untuk bahagian perempuan mengesahkan kejayaan itu semalam apabila juara Asia, Nicol menewaskan kakaknya, Cheryl David 9-4, 9-1, 9-1.

Dalam perlawanan semalam, Beng Hee yang kelihatan agak keletihan banyak melakukan kesilapan ketika bertemu Mansoor.

Dalam set pertama, kedudukan mata begitu rapat meskipun Mansoor mendahului 8-7. Beng Hee pada satu ketika mendahului 4-1.

Bagaimanapun Beng Hee berjaya memenangi set pertama itu dengan 10-9.

Dalam set kedua pula, Mansoor yang banyak mengawal rentak permainan di bahagian depan memberikan pukulan drop yang tajam sehingga menyebabkan Beng Hee gagal untuk membalasnya.

Beng Hee tewas kepada Mansoor pada set kedua 9-2 dalam masa hanya 17 minit.

Pada set ketiga, Beng Hee berusaha untuk bangkit tetapi gagal menyaingi Mansoor yang memperlihatkan corak permainan pantas dan baik.

Meskipun tidak banyak memberi ruang kepada pemain Pakistan itu bergerak namun nasib nyata tidak menyebelahi Beng Hee yang tewas dalam masa 16 minit.

Kemenangan pada set ketiga itu memberi keyakinan kepada Mansoor yang terus mendahului 5-2 sambil menyaksikan Beng Hee banyak melakukan kesilapan sebelum menang 9-3.

Dengan kemenangan itu bermakna Mansoor mempertahankan gelaran yang dimenanginya dua tahun lalu.

Mansoor yang ditemui selepas permainan itu berkata Beng Hee telah bermain dengan baik tetapi dia kelihatan letih dalam set keempat.

''Saya tidak menyertai banyak kejohanan pada tahun ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada kejohanan ini,'' katanya.

Mansoor memang sejak awal menjangkakan dapat menundukkan Beng Hee dengan straight-set tetapi jelas Beng Hee berjaya memberikan tentangan sengit kepada pemain Pakistan itu.

Beng Hee yang merupakan juara Remaja Dunia pula mengakui bahawa dia melakukan banyak kesilapan sehingga menyebabkan Mansoor berjaya mengawal permainan dengan begitu baik.

''Saya amat terkilan kerana tidak dapat merampas gelaran juara individu lelaki daripada Mansoor,'' katanya.

Bagaimanapun kekecewaan Malaysia terubat dengan kejayaan Nicol David.

Nicol pula selepas kejayaannya semalam berkata: ''Saya akan menumpukan perhatian kepada Sukan SEA yang akan diadakan di Brunei pada Ogos ini,'' katanya.

Oleh: DALLIA DUNSTAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PrMT77wg © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Nicol kekal juara Britain


 

ARKIB : 08/01/1999
Nicol kekal juara Britain
NICOL DAVID menjuarai kali keempat berturut-turut Terbuka Britain.

JUARA Asia, Nicol Ann David sekali lagi memberi kebanggaan kepada negara dalam sukan skuasy apabila muncul juara kategori bawah 17 tahun wanita pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain, semalam.

Tetapi khabar malang buat Ong Beng Hee yang terpaksa memberi kemenangan percuma kepada pemain tuan rumah kerana gagal beraksi pada perlawanan akhir kategori bawah 19 tahun lelaki akibat dijangkiti selesema.

Selepas menang pingat emas Sukan Asia di Bangkok, bulan lalu, Nicol, 15, yang menyertai Terbuka Britain bukan sahaja dalam usaha mempertahankan gelaran kategori bawah 17 tahunnya tetapi memburu kejuaraan kali keempat berturut-turut sejak 1996, dan buruannya berhasil.

Nicol, pilihan utama kejohanan menewaskan pilihan kedua dari England, Jenny Duncalf yang ditewaskannya pada perlawanan akhir Terbuka Remaja Scotland seminggu sebelum ini.

Bagaimanapun, Nicol tewas 5-9 pada set pembukaan tetapi bangkit untuk menang tiga set berikutnya 9-2, 9-5, 9-3 untuk mencipta nama antara pemain pertama dunia menjuarai Terbuka Britain empat kali berturut-turut dalam kategori umur yang berbeza.

Wabak selesema yang melanda England menjangkiti Beng Hee pada hari perlawanan akhir memaksa mahkota juaranya diserahkan kepada pemain England, Nick Matthew tanpa memukul bola.

Beng Hee, juara remaja dunia dan tiga kali juara Terbuka Britain dan diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan pada mulanya dijangka bakal menerima tentangan sengit daripada pilihan ke-3/4, Matthew yang mempunyai misi balas dendam atas kekalahannya pada separuh akhir kejohanan sejak tiga tahun lepas.

Menurut kenyataan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), doktor telah menasihatkan Beng Hee supaya berehat.

''Jika dia terus bermain, dia mungkin akan dijangkiti sejenis sindrom yang mampu berlarutan sehingga enam bulan atau lebih.

''Jika selesemanya bertambah buruk, doktor turut menasihatkannya tidak menaiki kapal terbang dalam tempoh itu,'' kata kenyataan itu.

SRAM turut menyatakan bahawa kekalahan Nicol pada set pertama disebabkan dia cuba mengubah permainan dengan lebih banyak bermain di bahagian depan berbanding corak permainan biasanya.

''Dia banyak melakukan kesilapan dan memberi ruang kepada Jenny mengutip mata demi mata sehingga dia tewas 5-9,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Phbp2OCu

© Utusan Melayu (M) Bhd