Isnin, 11 Disember 2017

Nicol gah di puncak dunia

ARKIB : 20/10/2008
 
NICOL David bersama trofi Kejohanan Terbuka Dunia selepas menewaskan Vicky Botwright dari England di Manchester, semalam.
- Agensi

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David bagaikan di puncak dunia semalam apabila merampas kembali kejuaraan dunia hanya beberapa jam selepas ditabalkan sebagai Pemain Terbaik Dunia buat tahun ketiga berturut-turut.

Berdepan dengan tekanan hebat penonton di Manchester, England yang memberi sokongan padu kepada jaguh tuan rumah, Vicky Botwright, Nicol mempamerkan semangat kental ketika menang 5-11, 11-1, 11-6, 11-9 ke atas pilihan ke-11 itu.

Ini merupakan gelaran dunia ketiga buatnya selepas muncul juara kali pertama pada 2005 diikuti pada 2006.

Kemenangan ini amat bermakna kerana ia menyusul beberapa jam selepas Nicol meraih anugerah Pemain Terbaik Dunia 2008, gelaran ketiga berturut-turut selepas 2006 dan 2007.

Selepas gagal mempertahan kejuaraan dunia tahun lalu, Nicol tidak pernah tewas dalam 43 perlawanan yang diharungi, malah memenangi semua lapan kejohanan yang disertai tahun ini, termasuk merampas gelaran Terbuka Britain.

Jaguh nombor satu dunia itu mungkin tidak mempamerkan aksi terbaiknya semalam, apabila buat kali pertama dia melepaskan satu set di sepanjang minggu ini, namun kekuatan mental dan keazaman tinggi melayakkannya menutup saingan selaku juara.

Nicol dikejutkan dengan permainan agresif Botwright pada awal permainan, selain terpaksa berdepan keriuhan penyokong tuan rumah, yang memberi sokongan padu kepada jaguh mereka.

Begitupun, selepas kalah 5-11 dalam set pembukaan, Nicol tidak langsung menoleh ke belakang dan meningkatkan permainan dengan pelbagai jenis pukulan.

"Saya gembira kerana dapat merampas kembali kejuaraan ini selepas kekalahan tahun lalu. Saya rasa Manchester sekarang adalah gelanggang bertuah saya.

"Kredit juga harus diberi kepada Vicky kerana memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan. Saya sangat gembira dan bertuah dapat mengutip dua mata terakhir,'' ujar Nicol.

Tahun lalu merupakan musim paling mengecewakan buat Nicol apabila dia bukan saja gagal mempertahankan kejuaraan dunia, malah turut tewas pada final Terbuka Britain.

Bagaimanapun Nicol bangkit daripada prestasi merudum di Terbuka Dunia dengan persembahan menakjubkan dan tidak pernah kalah dalam sebarang perlawanan sejak tewas di tangan Shelly Kitchen dari New Zealand.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50xLaXc00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan