Ahad, 16 April 2017

Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2003 - Nazmizan, Nicol raih anugerah

ARKIB : 31/03/2004
RATU skuasy negara, Nicol Ann David mengejutkan calon-calon pilihan apabila diumum sebagai Olahragawati Kebangsaan 2003, ketika Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menepati ramalan muncul Olahragawan pada majlis Anugerah Sukan Negara di Subang Jaya, semalam.
Nicol, Olahragawati Kebangsaan 1999 mengejutkan calon pilihan, Wong Mew Choo (badminton), Shalin Zulkifli (boling), Durratun Nashihin Rosli (gimnastik), Yuan Yufang (olahraga) serta Siow Yi Ting (renang).
Sementara Nazmizan, 22, juara berganda 100 dan 200 meter Sukan SEA mengetepikan lima calon lain termasuk naib juara badminton dunia, Wong Choong Hann, Azidi Ameran (boling), Ng Shu Wai (gimnastik), Lim Keng Liat (renang) serta atlet bina badan, Sazali Samad.
Kemenangan Nicol, 20, yang tidak memenangi sebarang gelaran tahun lalu amat memeranjatkan kerana Mew Choo sebelum ini disebut sebagai bakal Olahragawati ekoran kejayaannya menjadi pemain wanita pertama negara meraih emas perseorangan pada Sukan SEA dalam tempoh 26 tahun.
Malah, empat calon lain iaitu Shalin, Yi Ting, Durratun Nashihin serta Yufang juga dianggap lebih berkelayakan kerana pencapaian mereka sama ada pada Sukan SEA, mahupun di peringkat antarabangsa.
Shalin membantu pasukan boling wanita muncul juara dunia, Yi Ting pula meraih tiga emas di Vietnam dan sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik, begitu juga Yufang yang turut layak ke Athens serta meraih sebutir emas Sukan SEA.
Durratun Nashihin, 15, pula hampir menyamai pencapaian Faiznur Miskin apabila merangkul lima pingat emas gimrama dalam penampilan sulung pada Sukan SEA di Hanoi.
Begitupun menurut panel pemilihan, Nicol dipilih kerana kejayaannya muncul pemain wanita Asia pertama berada dalam kedudukan 10 terbaik ranking dunia dengan berada di tangga kelapan.
Kemenangan Nazmizan, yang menjadi atlet lelaki pertama negara memenangi gelaran 100 dan 200m Sukan SEA dalam tempoh 36 tahun sudah diduga dan dia sebelum ini turut memenangi anugerah Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
``Terima kasih kerana mempercayai saya untuk menjadi penerima anugerah Olahragawan Kebangsaan ini. Saya berjanji akan membalas segala kepercayaan itu dengan sebaiknya,'' kata Nazmizan.
``Hari Khamis ini saya akan berlepas ke Amerika Syarikat bagi memulakan latihan, saya akan cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi apa yang lebih penting adalah menyiapkan diri menghadapi Sukan Asia 2006 di Doha.''
Sementara itu skuad boling lelaki dan wanita negara memenangi Anugerah Pasukan Kebangsaan bagi kedua-dua kategori.
Malaysia muncul juara berganda pada Kejohanan Boling Berpasukan Dunia tahun lalu lalu, sebelum pasukan wanita melengkapkan kecemerlangan dengan muncul juara berpasukan Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula diumum penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan, manakala Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan dipilih penerima Anugerah Kepimpinan Sukan.
Nazmizan dan Nicol masing-masing menerima RM10,000. Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Anugerah Sukan Negara tahun ini dianggap istimewa apabila dihadiri Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Azalina Othman Said. Turut hadir, menteri lama yang kini Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein.
PEMENANG ANUGERAH 2003:
Anugerah Olahragawan Kebangsaan: Nazmizan Muhammad (olahraga)
Anugerah Olahragawati Kebangsaan: Nicol David (skuasy)
Anugerah Tokoh Sukan: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Peter Velappan
Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan: Boling
Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan: Boling
Anugerah Khas: Mendiang Durbara Singh (tenis), Loh Beng Hooi (karate-do), Abdul Majid Muda (angkat berat)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan