Selasa, 9 Januari 2018

Nicol tempah separuh akhir

ARKIB : 06/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
NICOL David diberi tentangan sengit lawannya dari England, Jenny Duncalf pada aksi suku akhir skuasy Terbuka Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David menepati ramalan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB setelah menumpaskan pemain England, Jenny Duncalf 11-1, 10-12, 11-7, 11-9 di Berjaya Times Square dekat sini, semalam.

Terdahulu, pemain utama lelaki negara, Ong Beng Hee turut mara ke separuh akhir walaupun memerlukan sejam untuk menjinakkan pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan 11-5, 8-11, 11-9, 8-11, 11-1 pada suku akhir.

Nicol pula diberikan tentangan 45 minit dalam suku akhir itu sebelum mampu menempah pertemuan hari ini dengan Rachael Grinham dari Australia yang melepasi rakan senegara Jenny, Alison Waters 11-9, 4-11, 10-12, 11-8, 12-10.

Kemenangan Nicol, 25, itu turut melebarkan rekod bersih 10 pertemuannya dengan pilihan kelima kejohanan bertaraf Emas 45 ini termasuk kali terakhir ketika menewaskan lawan 11-4, 13-11, 11-6 pada suku akhir Master Singapura, Ogos tahun lalu.

Satu lagi separuh akhir hari ini akan menemukan Natalie Grainger dari Amerika Syarikat dengan seorang lagi pemain England, Laura Lengthorn-Massaro yang masing-masing menundukkan Omneya Abdel Kawy (Mesir) dan Natalie Grinham dari Belanda.

Grainger dikerah hingga 42 minit untuk menewaskan Omneya 11-5, 11-5, 9-11, 11-9 sementara Laura hanya mengambil 23 minit untuk menang 11-6, 11-9, 11-6 ke atas adik Rachael itu yang sudah bertukar kerakyatan Australianya.

''Saya terperangkap pada set kedua dan sukar menemui rentak permainan sedangkan Jenny bertambah kuat ketika penghujungnya dan saya sekadar mampu bertahan. Dia bermain baik dan berbahaya.

"Namun, saya tahu menentangnya pasti sentiasa sengit malah saya menjangka perlawanan ini sepatutnya lebih panjang. Saya cuma teruskan kerja keras dan apabila menemui kawalan, semuanya berjalan di laluan saya," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz53h4SoJWn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan