Jumaat, 11 November 2016

Nicol kekal juara Britain


 

ARKIB : 08/01/1999
Nicol kekal juara Britain
NICOL DAVID menjuarai kali keempat berturut-turut Terbuka Britain.

JUARA Asia, Nicol Ann David sekali lagi memberi kebanggaan kepada negara dalam sukan skuasy apabila muncul juara kategori bawah 17 tahun wanita pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain, semalam.

Tetapi khabar malang buat Ong Beng Hee yang terpaksa memberi kemenangan percuma kepada pemain tuan rumah kerana gagal beraksi pada perlawanan akhir kategori bawah 19 tahun lelaki akibat dijangkiti selesema.

Selepas menang pingat emas Sukan Asia di Bangkok, bulan lalu, Nicol, 15, yang menyertai Terbuka Britain bukan sahaja dalam usaha mempertahankan gelaran kategori bawah 17 tahunnya tetapi memburu kejuaraan kali keempat berturut-turut sejak 1996, dan buruannya berhasil.

Nicol, pilihan utama kejohanan menewaskan pilihan kedua dari England, Jenny Duncalf yang ditewaskannya pada perlawanan akhir Terbuka Remaja Scotland seminggu sebelum ini.

Bagaimanapun, Nicol tewas 5-9 pada set pembukaan tetapi bangkit untuk menang tiga set berikutnya 9-2, 9-5, 9-3 untuk mencipta nama antara pemain pertama dunia menjuarai Terbuka Britain empat kali berturut-turut dalam kategori umur yang berbeza.

Wabak selesema yang melanda England menjangkiti Beng Hee pada hari perlawanan akhir memaksa mahkota juaranya diserahkan kepada pemain England, Nick Matthew tanpa memukul bola.

Beng Hee, juara remaja dunia dan tiga kali juara Terbuka Britain dan diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan pada mulanya dijangka bakal menerima tentangan sengit daripada pilihan ke-3/4, Matthew yang mempunyai misi balas dendam atas kekalahannya pada separuh akhir kejohanan sejak tiga tahun lepas.

Menurut kenyataan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), doktor telah menasihatkan Beng Hee supaya berehat.

''Jika dia terus bermain, dia mungkin akan dijangkiti sejenis sindrom yang mampu berlarutan sehingga enam bulan atau lebih.

''Jika selesemanya bertambah buruk, doktor turut menasihatkannya tidak menaiki kapal terbang dalam tempoh itu,'' kata kenyataan itu.

SRAM turut menyatakan bahawa kekalahan Nicol pada set pertama disebabkan dia cuba mengubah permainan dengan lebih banyak bermain di bahagian depan berbanding corak permainan biasanya.

''Dia banyak melakukan kesilapan dan memberi ruang kepada Jenny mengutip mata demi mata sehingga dia tewas 5-9,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Phbp2OCu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan