ARKIB : 24/12/1999
NICOL DAVID
JUARA Asia, Nicol David dan
Leong Siu Lynn menutup lembaran skuasy negara tahun ini dengan kejayaan
berganda apabila masing-masing merangkul kejuaraan remaja perempuan di Britain
dan Amerika Syarikat.
Nicol mencipta kejayaan paling
gemilang dengan menjuarai Kejohanan Remaja Terbuka Britain Bawah 19 Tahun di
Sheffield - kemenangan kali kelima berturut-turut pada kejohanan itu.
Nicol muncul pemain pertama
berjaya memenangi semua kategori di Terbuka Britain selepas meraih kejuaraan
bawah-14 (1996 dan 1997), bawah-16 (1998), bawah-17 (1999) dan bawah-19.
Pemain dari Pulau Pinang itu
juga muncul pemain termuda memenangi kategori tersebut, apabila hanya berusia
16 tahun pada 26 Ogos lalu.
Pemenang pingat emas Sukan Asia
1998 itu muncul juara selepas mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Vicki
Lancaster 1-9, 9-1, 9-2, 9-6 dalam pertarungan 30 minit.
Kejayaan tersebut merupakan
gelaran ke-10 Nicol dalam kelas remaja sejak 1996, di mana kejuaraan
terbesarnya adalah muncul juara remaja dunia Julai lalu.
Nicol, olahragawati Pulau
Pinang juga merupakan juara remaja Asia dan merangkul empat gelaran pada
Kejohanan Remaja Terbuka Australia iaitu bawah-13 dan 15 (1996), bawah-17
(1997) dan bawah-19 pada September lalu.
Selain turut unggul pada
peringkat senior sebagai juara Asia, Sukan Asia serta Sukan SEA, Nicol juga
masih mempunyai dua kesempatan untuk mempertahankan gelaran di Britain.
Sementara itu Siu Lynn, yang
pernah mencetus kontroversi kerana keengganan beraksi pada Sukan Asia,
meneruskan kecemerlangan sejak kembali aktif pada Sukan SEA lalu.
Bekas juara Asia dan naib juara
remaja dunia itu muncul pemain pertama Malaysia menjuarai kejohanan Terbuka
Amerika Syarikat bawah-19 di Princeton.
Siu Lynn menang selepas
menundukkan pemain tuan rumah, Louisa Hall 9-7, 9-2, 9-5 dalam pertarungan
akhir, Selasa lalu.
Nicol dijangka kembali ke tanah
air, hari ini, manakala Siu Lynn yang kini menjalani latihan di New York sejak
Oktober 1999 hanya akan kembali ke tanahair pada Januari 2000
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Sn8n8U5F
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan