ARKIB :
09/01/1998
KEJAYAAN dua
pemain skuasy negara, Ong Beng Hee dan Nicol David menjuarai kategori umur
masing-masing pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain di Sheffield,
kelmarin mendapat perhatian daripada negeri asal mereka Pulau Pinang.
Ketua Menteri,
Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata kerajaan negeri berbangga dengan kejayaan dua
pemain muda itu dan beliau berjanji akan menemui mereka apabila skuad negara
kembali ke tanah air.
''Kerajaan Pulau
Pinang akan memberikan ganjaran yang sesuai di atas kejayaan mereka, tetapi ia
tidak keterlaluan,'' katanya di Pulau Pinang, semalam.
Menurutnya sikap
memberikan ganjaran yang agak keterlaluan seperti yang sering diamalkan
persatuan sukan di negara ini menyebabkan ahli sukan mudah lupa diri dan lebih
mementingkan kebendaan.
Beng Hee menjadi
pemain negara pertama menjuarai kategori lelaki bawah 19 tahun pada kejohanan
itu dan Nicol pula menjuarai kategori perempuan bawah 16 tahun.
Jelas Dr. Koh,
memberikan ganjaran merupakan suatu amalan yang baik, cuma dari segi cara dan jumlah
pemberian itu yang patut dikawal supaya ia tidak keterlaluan.
''Sepatutnya
ahli sukan lebih berbangga dengan penghargaan yang diterimanya kerana dipilih
mewakili negara daripada ganjaran kebendaan,'' katanya.
Beliau turut
membandingkan ahli sukan lampau seperti Allahyarham Mokhtar Dahari yang lebih
mementingkan negara daripada wang ringgit semasa kariernya berbanding dengan
ahli sukan sekarang yang lebih mementingkan kebendaan.
Sepatutnya,
pemberian galakan, dorongan dan pengiktirafan lebih penting diberikan kepada
ahli sukan daripada ganjaran kebendaan yang berlebih-lebihan, jelasnya.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FDzKVvRE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan