Sabtu, 23 Julai 2016

Siu Lynn mampu menyinar jika tidak tertekan

ARKIB : 09/01/1998
JAGUH skuasy wanita negara, Leong Siu Lynn sepatutnya mampu menukar 'skrip' yang tersurat untuk menyebelahinya pada perlawanan akhir kategori bawah 19 tahun Terbuka Britain jika tidak beraksi dalam keadaan yang tertekan, ABDUL HAFIZ AHMAD melaporkan.

Jurulatih Robyn Cooper berkata, Siu Lynn terlalu membebankan diri dengan tekanan perasaan untuk merangkul kejuaraan hingga corak permainannya kucar-kacir.

''Siu Lynn bermain di bawah tahap kemampuan sebenarnya walaupun peluang untuk muncul juara Terbuka Britain itu 50-50 menentang, Tania Bailey dari England.

''Pada saya, kecederaan paha yang Siu Lynn alami tidak begitu menggugat prestasinya malah dia sendiri memberikan tanda positif untuk meneruskan permainan tanpa menghiraukan soal itu,'' jelas Cooper.

Bagaimanapun, jurulatih import tersebut tidak menolak andaian bahawa tumpuan Siu Lynn yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, terganggu dengan sorakan penonton tuan rumah terhadap Bailey.

Ini tambahnya, seolah-olah membuatkan Siu Lynn terpaksa menentang 'dua lawan' sekali gus _ penonton dan Bailey sendiri pada perlawanan akhir itu.

Siu Lynn memulakan cabaran dengan yakin dalam set pertama untuk menebus kekalahan lima bulan lalu kepada Bailey pada Kejohanan Berpasukan Dunia di Brazil biarpun tumpas 7-9.

Malang sekali, rentak dan pukulannya serba tidak menjadi pada dua set berikutnya kerana membiarkan diri terus tertekan sekali gus membuka peluang lawan untuk menang mudah 9-1, 9-4.

Sementara seorang lagi pemain remaja negara pada kejohanan itu, Nicol David sebaliknya kembali bersama Siu Lynn ke tanah air semalam dengan nasib yang lebih baik _ piala kejuaraan kategori bawah 16 tahun.

Nicol berkata, dia hanya bermain seperti biasa mengikut arahan jurulatih, Raymond Arnold untuk memastikan satu lagi gelaran juara Terbuka Britain bertambah dalam koleksinya selepas menjuarai kategori bawah 14, tahun lalu.

''Saya tidak terpengaruh dengan corak permainan lawan sebaliknya mematuhi arahan jurulatih untuk mengekalkan keupayaan sebenar dengan matlamat untuk menang.

''Cabaran pemain England, Amina Helal pada perlawanan akhir itu tetap sengit biarpun jurang mata antara kami begitu jauh sekali,'' ujar pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Namun Nicol enggan menganggap dirinya sudah cukup sempurna untuk menghadapi beberapa lagi siri kejohanan kebangsaan dan antarabangsa selepas ini terutama sekali Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur.

''Cuma dua tempat untuk mewakili negara pada temasya itu dan saya tidak mahu peluang beraksi di tanah air terlepas.

''Saya sedar perjalanan ke arah itu masih jauh tetapi berazam mencipta kejayaan pada Kejohanan Remaja Asia dan Terbuka Hong Kong, akan datang sebagai membina semangat,'' jelas Nicol.

Sukan Komanwel, September depan bakal menyaksikan kali pertamanya skuasy dipertandingkan tetapi hanya dalam kategori terbuka perseorangan lelaki dan wanita.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FDycqm5n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan