Sabtu, 15 September 2018

Nicol bolot Terbuka Texas

ARKIB : 19/05/2009
KUALA LUMPUR - Seperti dendam yang tiada kesudahan, pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol David sekali lagi menewaskan pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger untuk muncul juara Terbuka Texas, semalam.
Selepas dimalukan di hadapan penyokong sendiri di Terbuka Kuala Lumpur CIMB Mac lalu oleh Grainger kini tiba giliran Nicol pula melakukan perkara yang sama selepas mencatat kemenangan 7-11, 12-10, 11-5, 11-6 dalam tempoh 39 minit.
Kejuaraan kedua yang dirangkul Nicol tahun ini mengulangi persembahannya pada 11 Mei lalu apabila dia menewaskan Grainger di Terbuka Kepulauan Caymen dalam perlawanan akhir yang ke-50 mereka.
Pada perlawanan separuh akhir, kelmarin Nicol menewaskan pemain nombor lima dunia, Jenny Duncalf dari England, manakala Grainger pula menewaskan Natalie Grinham dari Belanda.
Ini adalah kejuaraan pertamanya di Terbuka Texas dan dia sudah beraksi dalam 51 perlawanan akhir dalam jelajah profesional wanita mengatasi Rachel Grinham, 50 kejuaraan.
Pencapaian terbaik Nicol di Terbuka Texas ialah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada 2005 manakala Grainger pernah muncul juara pada 2007.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5RDhLdVx7 
© Utusan Melayu (M) Bhd