Rabu, 27 Julai 2016

Mohd. Azlan juara terbuka remaja Perancis

ARKIB : 03/03/1998
PEMAIN skuasy remaja negara, Mohd. Azlan Iskandar merangkul kejuaraan Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Perancis bawah 16 tahun yang berlangsung di Paris, semalam.

Mohd. Azlan mengalahkan pemain Belgium Nedee Matthias 10-8, 9-1, 9-4 pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun pemain utama Perancis, Gregory Gaultier yang menyekat kemaraan Mohd. Azlan pada suku akhir bagi acara bawah 16 tahun ketika Terbuka Remaja British Januari lepas tidak turut serta berikutan masalah kecederaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia semalam, Mohd. Azlan merupakan pemain pertama remaja negara yang berjaya meraih kejuaraan berkenaan.

Sementara itu, pemain remaja terkemuka negara, Ong Beng Hee gagal melayakkan diri pada perlawanan akhir Terbuka Grontam di London setelah tewas kepada pemain England, Paul Lord pada perlawanan separuh akhir 6-9, 3-9, 3-9.

Mohd. Azlan dan Beng Hee, yang baru-baru ini menjalani latihan di bawah bimbingan Neil Harvey, antara jurulatih skuasy terkemuka dunia, di London, akan meneruskan latihan mereka sehingga 26 Mac sebelum menyertai pusingan kelayakan Terbuka Britain pada 27 Mac ini.

Kedua-dua pemain itu dijadualkan pulang ketanah air pada 1 April depan. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FcCXn9DR © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

Kejayaan Beng Hee, Nicol -- P. Pinang turut rasa bangga

ARKIB : 09/01/1998
KEJAYAAN dua pemain skuasy negara, Ong Beng Hee dan Nicol David menjuarai kategori umur masing-masing pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain di Sheffield, kelmarin mendapat perhatian daripada negeri asal mereka Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata kerajaan negeri berbangga dengan kejayaan dua pemain muda itu dan beliau berjanji akan menemui mereka apabila skuad negara kembali ke tanah air.

''Kerajaan Pulau Pinang akan memberikan ganjaran yang sesuai di atas kejayaan mereka, tetapi ia tidak keterlaluan,'' katanya di Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya sikap memberikan ganjaran yang agak keterlaluan seperti yang sering diamalkan persatuan sukan di negara ini menyebabkan ahli sukan mudah lupa diri dan lebih mementingkan kebendaan.

Beng Hee menjadi pemain negara pertama menjuarai kategori lelaki bawah 19 tahun pada kejohanan itu dan Nicol pula menjuarai kategori perempuan bawah 16 tahun.

Jelas Dr. Koh, memberikan ganjaran merupakan suatu amalan yang baik, cuma dari segi cara dan jumlah pemberian itu yang patut dikawal supaya ia tidak keterlaluan.

''Sepatutnya ahli sukan lebih berbangga dengan penghargaan yang diterimanya kerana dipilih mewakili negara daripada ganjaran kebendaan,'' katanya.

Beliau turut membandingkan ahli sukan lampau seperti Allahyarham Mokhtar Dahari yang lebih mementingkan negara daripada wang ringgit semasa kariernya berbanding dengan ahli sukan sekarang yang lebih mementingkan kebendaan.

Sepatutnya, pemberian galakan, dorongan dan pengiktirafan lebih penting diberikan kepada ahli sukan daripada ganjaran kebendaan yang berlebih-lebihan, jelasnya.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FDzKVvRE © Utusan Melayu (M) Bhd

Siu Lynn mampu menyinar jika tidak tertekan

ARKIB : 09/01/1998
JAGUH skuasy wanita negara, Leong Siu Lynn sepatutnya mampu menukar 'skrip' yang tersurat untuk menyebelahinya pada perlawanan akhir kategori bawah 19 tahun Terbuka Britain jika tidak beraksi dalam keadaan yang tertekan, ABDUL HAFIZ AHMAD melaporkan.

Jurulatih Robyn Cooper berkata, Siu Lynn terlalu membebankan diri dengan tekanan perasaan untuk merangkul kejuaraan hingga corak permainannya kucar-kacir.

''Siu Lynn bermain di bawah tahap kemampuan sebenarnya walaupun peluang untuk muncul juara Terbuka Britain itu 50-50 menentang, Tania Bailey dari England.

''Pada saya, kecederaan paha yang Siu Lynn alami tidak begitu menggugat prestasinya malah dia sendiri memberikan tanda positif untuk meneruskan permainan tanpa menghiraukan soal itu,'' jelas Cooper.

Bagaimanapun, jurulatih import tersebut tidak menolak andaian bahawa tumpuan Siu Lynn yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, terganggu dengan sorakan penonton tuan rumah terhadap Bailey.

Ini tambahnya, seolah-olah membuatkan Siu Lynn terpaksa menentang 'dua lawan' sekali gus _ penonton dan Bailey sendiri pada perlawanan akhir itu.

Siu Lynn memulakan cabaran dengan yakin dalam set pertama untuk menebus kekalahan lima bulan lalu kepada Bailey pada Kejohanan Berpasukan Dunia di Brazil biarpun tumpas 7-9.

Malang sekali, rentak dan pukulannya serba tidak menjadi pada dua set berikutnya kerana membiarkan diri terus tertekan sekali gus membuka peluang lawan untuk menang mudah 9-1, 9-4.

Sementara seorang lagi pemain remaja negara pada kejohanan itu, Nicol David sebaliknya kembali bersama Siu Lynn ke tanah air semalam dengan nasib yang lebih baik _ piala kejuaraan kategori bawah 16 tahun.

Nicol berkata, dia hanya bermain seperti biasa mengikut arahan jurulatih, Raymond Arnold untuk memastikan satu lagi gelaran juara Terbuka Britain bertambah dalam koleksinya selepas menjuarai kategori bawah 14, tahun lalu.

''Saya tidak terpengaruh dengan corak permainan lawan sebaliknya mematuhi arahan jurulatih untuk mengekalkan keupayaan sebenar dengan matlamat untuk menang.

''Cabaran pemain England, Amina Helal pada perlawanan akhir itu tetap sengit biarpun jurang mata antara kami begitu jauh sekali,'' ujar pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Namun Nicol enggan menganggap dirinya sudah cukup sempurna untuk menghadapi beberapa lagi siri kejohanan kebangsaan dan antarabangsa selepas ini terutama sekali Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur.

''Cuma dua tempat untuk mewakili negara pada temasya itu dan saya tidak mahu peluang beraksi di tanah air terlepas.

''Saya sedar perjalanan ke arah itu masih jauh tetapi berazam mencipta kejayaan pada Kejohanan Remaja Asia dan Terbuka Hong Kong, akan datang sebagai membina semangat,'' jelas Nicol.

Sukan Komanwel, September depan bakal menyaksikan kali pertamanya skuasy dipertandingkan tetapi hanya dalam kategori terbuka perseorangan lelaki dan wanita.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FDycqm5n © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuasy: Beng Hee juara bawah 19

ARKIB : 08/01/1998
ONG Beng Hee mencatat sejarah arena skuasy negara apabila menjadi pemain Malaysia pertama dan yang keempat di Asia menjuarai kategori lelaki Bawah 19 tahun selepas menewaskan pemain tuan rumah, John Russell pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain di Sheffield, semalam.

Begitupun, Beng Hee yang berkongsi tempat sebagai pemain pilihan ketiga terpaksa bertungkus-lumus selama 97 minit untuk mengatasi Russell dari England dengan kemenangan 9-6, 5-9, 9-1, 4-9, 9-5 pada perlawanan akhir di Abbeydale Sports Club itu.

Dia sebelum ini pernah berdepan dengan Russell yang juga pilihan ketiga kejohanan ini iaitu pada kejohanan Terbuka Remaja Jerman 1994 dan Terbuka Remaja Britain 1995.

Beng Hee turut mempamerkan keunggulannya apabila meraih juara Bawah 19 Tahun Remaja Terbuka Scotland di Edinburgh minggu lalu.

Kejayaan ini meletakkannya pemain keempat Asia yang menguasai kategori itu, selepas A. Naya dari India (1965), Mohibullah Khan dan Sohail Qaiser dari Pakistan pada 1971 dan 1981.

Begitupun, pemain wanita harapan negara, Leong Siu Lynn terpaksa tunduk kepada kehebatan pemain tuan rumah, Tania Bailey yang juga juara remaja dunia pada perlawanan akhir kategori wanita bawah 19 tahun.

Siu Lynn, pemain pilihan ketiga tumpas 7-9, 1-9, 4-9 dalam masa 29 minit kepada Tania, pemain pilihan pertama kejohanan itu.

Ia adalah kekalahan kedua Siu Lynn kepada Bailey dalam masa lima bulan. Dia sebelum itu tewas kepada Tania ketika beraksi pada kejohanan berpasukan remaja wanita dunia di Rio de Janeiro, Ogos tahun lalu, serta kecundang pada peringkat separuh akhir dengan straight set.

Dalam pada itu, Nicol David yang juga pilihan pertama bagi kategori wanita bawah 16 tahun, menepati ramalan apabila mencatat kemenangan straight set ke atas Amina Helal dari England dengan 9-3, 9-0, 9-0.

Dia hanya mengambil masa 19 minit untuk mengetepikan pemain pilihan ketiga itu. Kejayaan ini menambah koleksi emas buat Nicol yang juga merupakan juara bawah 14 tahun kejohanan ini tahun lalu.

Ini adalah gelaran pertama buat dirinya bagi kategori bawah 16 tahun dan dia masih berpeluang untuk mempertahankan gelaran tersebut tahun depan.

KEPUTUSAN (Akhir):

LELAKI Bawah 14 - Yasser El Halaby (MES) mn Eslam El Homosany (MES) 9-1, 9-0, 9-1.

Bawah 16 - Alberto Manso (SEP) mn Gregory Gaultier (PER) 4-9, 9-1, 9-5, 9-3.

Bawah 19 - Ong Beng Hee (MAS) mn John Russell (ENG) 9-6, 5-9, 9-1, 4-9, 9-5.

PEREMPUAN Bawah 14 - Omneya El Kawy (MES) mn Alison Waters (ENG) 6-9, 9-1, 9-4, 9-6.

Bawah 16 - Nicol David (MAS) mn Amina Helal (ENG) 9-3, 9-0, 9-0.

Bawah 19 - Tania Bailey (ENG) mn Leong Siu Lynn (MAS) 9-7, 9-1, 9-4.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FDtGkiq7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuasy Remaja Terbuka Britain -- Ong Beng Hee mara ke separuh akhir

ARKIB : 06/01/1998
ONG Beng Hee menjadi pemain remaja pertama negara mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain yang berlangsung di Sheffield, England selepas mengalahkan lawannya pada suku akhir, semalam.

Beng Hee, 17, menewaskan pemain England, Adrian Grant dengan straight set 9-6, 9-3, 9-1 pada suku akhir selepas beraksi cemerlang membenam lawan dari Mesir pada pusingan ketiga dan dua pemain England pada pusingan pertama dan kedua.

Manakala Leong Siu Lynn mudah menundukkan lawan dari Australia, Christina Meiver 0-9, 9-5, 9-2 pada pusingan ketiga untuk mara ke suku akhir kategori bawah 19 tahun.

Begitupun, nasib malang menimpa Mohd. Azlan Iskandar apabila terkandas pada suku akhir selepas tewas kepada pemain Perancis, Gregory Gautier 3-9, 3-9, 1-9 dalam bahagian lelaki 16 tahun.

Nicol Ann David tidak menghadapi sebarang masalah untuk mara ke suku akhir bawah 16 tahun wanita selepas menewaskan pemain Mesir, Heba Hanza 9-4, 9-3, 9-2 pada pusingan ketiga.

Pada separuh akhir hari ini, Beng Hee akan bertemu seorang lagi pemain England, Nick Mathew yang pernah ditewaskannya sebelum ini.

Peluang Beng Hee untuk mara ke akhir bawah 19 tahun begitu cerah berikutan penarikan diri dua pemain pilihan dari Mesir, Amr Shabana dan Ahmad Faizy.

Jika Beng Hee berjaya menewaskan Mathew, dia dijangka bertemu pemain England, John Russel pada perlawanan akhir. Beng Hee pernah menewaskan Russel dua kali sebelum ini.

Siu Lynn turut berpeluang cerah untuk mara ke akhir kerana lawannya pada suku akhir, Vicki Lancaster pernah ditewaskannya sebelum ini. Halangan utama Siu Lynn ialah pada separuh akhir apabila dijangka bertemu pemain Perancis, Isbella Stoehr.

Manakala Nicol mampu menyaingi rekod Beng Hee mara ke perlawanan akhir dan menjuarai bahagian 16 tahun jika dia mengekalkan prestasi baiknya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FDghrtB1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Julai 2016

Hadiah tahun baru


 

ARKIB : 01/01/1998
KEKAL JUARA... Beng Hee (kiri) mengekalkan juara lelaki bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Scotland, semalam dengan menewaskan pemain Belgium, Tommy Berden 3-0. Dia sebelum ini membantu Malaysia mengutip mata kemenangan ke atas Argentina pada Kejohanan Lelaki Dunia di Petaling Jaya, November 1997.

MALAYSIA menutup diari 1997 arena skuasy penuh bergaya apabila membolot tiga kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Scotland di Edinburgh, semalam.

Tiga daripada empat pemain negara yang beraksi pada perlawanan akhir berjaya melangsaikan tugas penuh gemilang untuk meneruskan teraju ketegori lelaki dan wanita bawah 19 tahun, serta wanita bawah 16.

Harapan negara dipertaruhkan di bahu empat pemain yang diketuai Ong Beng Hee, Mohd. Azlan Iskandar, Leong Siu Lynn dan Nicol David, tetapi hanya Mohd. Azlana gagal mengatasi pencabarnya.

Begitupun, Beng Hee yang beraksi dalam kategori bawah 19 tahun menepati jangkaan apabila mencatat kemenangan mudah ke atas pemain Belgium, Tommy Berden dengan straight set 9-5, 9-8 dan 9-6.

Dia yang pernah menjuarai bawah 16 tahun lalu, mendapat pendedahan mantap di England dan menjadi pemain pilihan pertama kejohanan.

Dalam pada itu, juara remaja Asia, Leong Siu Lynn tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan sama sekali cabaran pemain tuan rumah, Laura Hamilton untuk meraih gelaran wanita bawah 19 tahun dengan kemenangan 9-1, 9-5, 9-2.

Seorang lagi pemain negara, Nicol David pula mencatat kemenangan mudah ke atas pemain Amerika Syarikat, Louisa Hall untuk merangkul juara kategori wanita bawah 16 tahun.

Nicol yang pernah dianggap 'gadis bertangan besi' kerana kejayaan meraih juara bawah 16 tahun pada terbuka Britain, mendahului set pertama dengan 9-0, dan menematkan dua set berikutnya dengan kemenangan 9-4 dan 9-0.

Sementara itu, impian Mohd. Azlan Iskandar untuk meraih gelaran terakhir penghujung 1997 tidak kesampaian apabila dia tewas mengejut kepada pemain Mesir, Mahmoud Abdul El-Kader dalam kategori lelaki bawah 16 tahun.

Pertemuan akhir semalam, menyaksikan Mohd. Azlan gagal bertahan pada dua set awal dan tewas 2-9, 2-9. Begitupun, dia bangkit untuk mencatat kemenangana pada set ketiga dan keempat dengan 9-7, 9-2, sebelum tumpas pada set penentuan dengan 5-9.

Dalam satu lagi perlawanan akhir, Abdul El-Fatah Elramy dari Mesir mengalahkan rakan senegaranya, El Homosany 9-5, 9-0, 9-2, 9-5 untuk meraih juara kategori lelaki bawah 14 tahun.

Juara kategori bawah 12 tahun pula menjadi milik pemain Mesir, Ramy Mohamed Ashour yang juga menewaskan rakan senegaranya, Mahmoud Mohamad Hazzaa dengan straight set 9-2, 9-2, 9-1.

Dalam pada itu, kategori wanita bawah 14 tahun menyaksikan Margaux Moros dari Sepanyol meraih juara selepas menewaskan pemain India, Rhea Bhandare 9-6, 9-6, 9-4.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FCyrmQFl © Utusan Melayu (M) Bhd

Peluang pertama Nicol David

ARKIB : 01/01/2000
KEJOHANAN Skuasy Terbuka Milo di Kuala Lumpur bakal menjadi gelanggang pertama buat juara remaja dunia, Nicol David untuk mengukir nama di arena skuasy profesional.

Nicol, yang muncul juara remaja wanita dunia tahun lalu, dijangka memulakan karier profesionalnya di kejohanan itu yang berlangsung dari 12 hingga 16 April depan dan terpaksa berhadapan dengan beberapa pemain ternama dunia.

Pengarah Eksekutif Persatuan Raket Skuasy malaysia (SRAM), Wong Ah Jit berkata, persatuan itu memberi sokongan pendaftaran Nicol dengan Persatuan Pemain Skuasy Wanita Profesional Antarabangsa (WISPA) bagi membolehkan juara Asia itu beraksi secara profesional.

''Nicol akan memulakan cabaran profesional pada April ini pada terbuka Milo dan kita juga menyediakan sekurang-kurangnya empat kejohanan besar yang dihiasi pemain profesional untuk disertainya.

''SRAM mendoakan Nicol berjaya dalam mengejar gelaran profesionalnya. Kami yakin dia mampu melakukannya,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, SRAM meletakkan sasaran juara Kejohanan Asia yang bakal diadakan di Hong Kong atau Korea Selatan, Julai tahun depan untuk dicapai oleh pemain lelaki khususnya Kenneth Low atau Ong Beng Hee.

''Saya yakin kali ini Kenneth atau Beng Hee mampu melakukannya kerana itulah gelaran yang belum kita miliki. Halangannya cuma Amjad Khan dari Pakistan.

''Bagaimanapun, kita sukar meraih gelaran berpasukan lelaki kerana Pakistan mempunyai skuad yang cukup mantap. Saya tidak bimbang dengan keupayaan Nicol mempertahankan gelaran wanita pada 2001,'' ujarnya.

SRAM juga katanya, bakal kehilangan dua pemain senior dalam program skuasy negara apabila naib juara Asia, Sandra Wu dan Ricky Lee yang dijangka menumpukan perhatian terhadap bidang pekerjaan.

''Sandra dan Ricky sudah menamatkan pengajian mereka di Kolej Stanford dan mungkin menumpukan perhatian terhadap pekerjaan pula.

''Namun kita tidak bimbang kerana mempunyai pemain lain yang mampu meneruskan cabaran seperti Sharon Wee dan Tricia Chua yang cukup menyerlah kebelakangan ini,'' kata Ah Jit.

Mengenai program kejurulatih, Ah Jit berkata, SRAM tidak merancang untuk mengadakan rombakan terhadap jurulatih yang ada yang disifatkan berkesan dalam melahirkan pemain berkaliber.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4F8426jLU © Utusan Melayu (M) Bhd