ARKIB : 01/01/1998
KEKAL JUARA... Beng Hee (kiri)
mengekalkan juara lelaki bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka
Scotland, semalam dengan menewaskan pemain Belgium, Tommy Berden 3-0. Dia
sebelum ini membantu Malaysia mengutip mata kemenangan ke atas Argentina pada
Kejohanan Lelaki Dunia di Petaling Jaya, November 1997.
MALAYSIA menutup diari 1997
arena skuasy penuh bergaya apabila membolot tiga kejuaraan pada Kejohanan
Skuasy Remaja Terbuka Scotland di Edinburgh, semalam.
Tiga daripada empat pemain
negara yang beraksi pada perlawanan akhir berjaya melangsaikan tugas penuh
gemilang untuk meneruskan teraju ketegori lelaki dan wanita bawah 19 tahun,
serta wanita bawah 16.
Harapan negara dipertaruhkan di
bahu empat pemain yang diketuai Ong Beng Hee, Mohd. Azlan Iskandar, Leong Siu
Lynn dan Nicol David, tetapi hanya Mohd. Azlana gagal mengatasi pencabarnya.
Begitupun, Beng Hee yang
beraksi dalam kategori bawah 19 tahun menepati jangkaan apabila mencatat
kemenangan mudah ke atas pemain Belgium, Tommy Berden dengan straight set 9-5,
9-8 dan 9-6.
Dia yang pernah menjuarai bawah
16 tahun lalu, mendapat pendedahan mantap di England dan menjadi pemain pilihan
pertama kejohanan.
Dalam pada itu, juara remaja
Asia, Leong Siu Lynn tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan sama sekali
cabaran pemain tuan rumah, Laura Hamilton untuk meraih gelaran wanita bawah 19
tahun dengan kemenangan 9-1, 9-5, 9-2.
Seorang lagi pemain negara,
Nicol David pula mencatat kemenangan mudah ke atas pemain Amerika Syarikat,
Louisa Hall untuk merangkul juara kategori wanita bawah 16 tahun.
Nicol yang pernah dianggap
'gadis bertangan besi' kerana kejayaan meraih juara bawah 16 tahun pada terbuka
Britain, mendahului set pertama dengan 9-0, dan menematkan dua set berikutnya
dengan kemenangan 9-4 dan 9-0.
Sementara itu, impian Mohd.
Azlan Iskandar untuk meraih gelaran terakhir penghujung 1997 tidak kesampaian
apabila dia tewas mengejut kepada pemain Mesir, Mahmoud Abdul El-Kader dalam
kategori lelaki bawah 16 tahun.
Pertemuan akhir semalam,
menyaksikan Mohd. Azlan gagal bertahan pada dua set awal dan tewas 2-9, 2-9.
Begitupun, dia bangkit untuk mencatat kemenangana pada set ketiga dan keempat
dengan 9-7, 9-2, sebelum tumpas pada set penentuan dengan 5-9.
Dalam satu lagi perlawanan
akhir, Abdul El-Fatah Elramy dari Mesir mengalahkan rakan senegaranya, El
Homosany 9-5, 9-0, 9-2, 9-5 untuk meraih juara kategori lelaki bawah 14 tahun.
Juara kategori bawah 12 tahun
pula menjadi milik pemain Mesir, Ramy Mohamed Ashour yang juga menewaskan rakan
senegaranya, Mahmoud Mohamad Hazzaa dengan straight set 9-2, 9-2, 9-1.
Dalam pada itu, kategori wanita
bawah 14 tahun menyaksikan Margaux Moros dari Sepanyol meraih juara selepas
menewaskan pemain India, Rhea Bhandare 9-6, 9-6, 9-4.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FCyrmQFl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan