ARKIB : 01/08/2009
Oleh HISYAMMUDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
Nicol David cuba mengambil bola
hasil pukulan Natalie Grinham (belakang) pada aksi seprauh akhir Skuasy Terbuka
Malaysia-CIMB di The Curve semalam. Nicol berjaya ke akhir dan akan bertemu
Alison Waters hari ini. - BERNAMA
PETALING JAYA - Pemain skuasy No.
1 wanita dunia, Datuk Nicol Ann David dipaksa berkerja keras sebelum mencatat
kemenangan ke atas Natalie Grinham pada separuh akhir perseorangan wanita
skuasy Terbuka Malaysia, semalam.
Nicol mencatat kemenangan
permainan terus 11-6, 15-13, 12-10 ke atas pemain No. 3 dunia itu, sekali gus
mengesahkan tempat pada perlawanan akhir, hari ini.
Pemain skuasy kebanggaan Malaysia
itu dilihat diberi tentangan hebat oleh Grinham yang mewakili Belanda sebelum
mengesahkan kemenangan setelah beraksi 46 minit.
Nicol berkata, dia memberi fokus
tinggi dan melakukan yang terbaik pada set kedua dan ketiga sebelum meraih
kemenangan.
"Grinham memberi tentangan
hebat kepada saya dan dia juga bermain dengan baik. Saya mengetahui bahawa
kemenangan di set kedua adalah sangat penting bagi membolehkan saya mendapat
kelebihan untuk menang.
"Oleh itu, saya memberi
tumpuan penuh pada set kedua dan ketiga. Saya mengekalkan momentum permainan
dan akhirnya berjaya mencipta kemenangan," katanya selepas tamat
perlawanan, semalam.
Perlawanan akhir hari ini akan
menemukan Nicol dengan pemain England, Alison Waters yang menumpaskan Rachael
Grinham dari Australia 11-1, 11-4, 11-4 dalam masa 44 minit.
Ditanya mengenai perlawanan
akhir, Nicol berkata, dia berharap akan pulih daripada kepenatan selepas
beraksi pada perlawanan separuh akhir.
Katanya, dia begitu yakin bahawa
Waters akan memberi tentangan sengit kepadanya dan mahu memberi tumpuan penuh
kepada perlawanan hari ini.
Meskipun Waters tidak pernah
mencatat kemenangan ke atas beliau, Nicol tidak mahu terleka dan mahu melakukan
yang terbaik.
Sementara itu, perlawanan separuh
akhir perseorangan lelaki menyaksikan Amr Shabana dari Mesir melangkah ke
perlawanan akhir setelah menumpaskan James Willstrop dari England untuk
berjumpa pemain England, Nick Matthew.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YIyfBBF7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan