Khamis, 15 September 2016

Empat menang mudah


 


MOHD. AZLAN ISKANDAR membuka tirai kemenangan negara dengan meranapkan impian lawan, Charles Sonson dari St. Lucia 3-0 menerusi acara perseorangan skuasy lelaki KL '98 di Pusat Skuasy Nasional, semalam.

Malaysia membuka tirai cabaran menerusi pemain gantian, Mohd. Azlan Iskandar yang mencatat kemenangan ke atas pemain St. Lucia, Charles Sonson 3-0.

Dia menggantikan Yap Kok Four yang mengalami kecederaan kaki, tidak menghadapi masalah untuk mencatat kemenangan mudah 9-4, 9-2 dan 9-0 untuk mara ke pusingan kedua bertemu pemain Afrika Selatan, Craig Wapnick.

Wapnick mengalahkan pencabar dari Dominica, Karl Nassief 9-0, 9-0 dan 9-1.

Dalam pada itu, pemain utama negara, Kenneth Low meraih kemenangan mudah selepas menumpaskan pemain Lesoto, L.Monnapula dengan 3-0.

Kenneth cuma mengambil masa 14 minit untuk mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 9-0, 9-2, 9-2.

Begitupun, halangan besar menantinya pada pusingan berikutnya apabila dijadualkan menentang seorang lagi pemain Afrika Selatan, Glen Whittaker.

Whittaker menang mudah ke atas pemain Barbados, Andrew Gill dengan 9-1, 9-2, 9-2.

''Kalah menang bukan perkara utama, tetapi saya gembira dengan permainan hari ini (semalam). Saya sedar pusingan berikutnya lebih sukar apabila bertemu Whittaker.

''Sudah lebih setahun kami tidak bertemu dan corak pemainnya juga semakin meningkat. Peluang saya dan dia 50-50. Begitupun, saya harap berada dalam kelompok di suku akhir,'' kata Kenneth yang pada awalnya meletakkan sasaran ke pusingan ketiga.

Pemain kedua negara, Ong Beng Hee pula mengalahkan Troy Donahue Rahming dari Bahamas dengan 9-1, 9-4, 9-2 dan seterusnya menepati ramalan untuk pertemuan pusingan kedua menentang Graham Ryding dari Kanada.

Ryding menumpaskan pemain Guernsey, Nigel Blackburns dengan kemenangan 9-1, 9-0 dan 9-0.

Seorang lagi pemain negara, Michael Soo juga menang straight set ke atas pemain Trinidad, Paul De Verteuil dengan 9-2, 9-2, 9-3.

Turut melangkah selesa ke pusingan kedua ialah pemain nombor satu dunia, Peter Nicol dari Scotland yang mudah mengetepikan cabaran pemain Guyana, Regan Pollard dengan 9-0, 9-0 dan 9-1.
Pemain nombor tiga dunia, Jonathan Power yang disifatkan antara pilihan meraih pingat emas acara perseorangan turut mencatat kemenangan ke atas pencabar dari Sri Lanka, Saman Thilekaratna dengan 9-0, 9-1, 9-0.Power sebelum ini melakukan kejutan apabila menewaskan Nicol untuk meraih kejuaraan pada Kejohanan Terbuka Hong Kong, dua minggu lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KKDFDveJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan