Jumaat, 30 November 2018

Nicol juara lagi


 
ARKIB : 28/09/2009
Nicol juara lagi
Nicol makin hampiri rekod juara dunia terbanyak lima kali Sarah Fitz-Gerald dari Australia selepas turut bergelar juara di Manchester tahun lalu, Belfast dan Hong Kong.

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menemui penawar yang dicari-cari ekoran kegagalan pada Terbuka Britain lalu dengan mempertahankan gelaran Terbuka Dunia Wanita sekali gus menjulang trofinya buat kali keempat, semalam.

Turun selaku pilihan utama kejohanan, wanita kelahiran Pulau Pinang ini menewaskan musuh ketatnya dari Australia, Natalie Grinham 3-11, 11-6, 11-3, 11-8 pada perlawanan akhir di Stadium Frans Otten, Amsterdam, Belanda.

Nicol kini menghampiri rekod juara terbanyak lima kali dari Australia, Sarah Fitz-Gerald selepas turut bergelar juara di Manchester tahun lalu, Belfast (2006) dan Hong Kong (2005).

Kali ini dia memerlukan 51 minit untuk menikmati kembali kejuaraan berprestij skuasy itu tetapi masih tidak sehebat pertemuan mereka dalam perlawanan akhir kejohanan sama di Belfast yang memakan 98 minit.

Nicol turut melebarkan rekod kemenangannya ke atas Natalie yang sekali gus mengulangi kemenangan pada perlawanan akhir Master Singapura, bulan lalu untuk muncul juara buat kali ketiga.

Terdahulu dalam separuh akhir, Nicol menewaskan pemain England, Alison Waters 4-11, 11-6, 15-13, 11-7 dalam tempoh lebih sejam sementara Natalie menewaskan kakaknya, juara Terbuka Britain, Rachael Grinham 11-13, 11-6, 11-6, 11-4 selepas 37 minit.

Kata Nicol dalam laman web www.womensworldopen.com, "Natalie bermain cemerlang malah inilah yang terbaik sepanjang pertemuan kami. Saya tidak boleh memberikan sebarang peluang kerana dia bijak menyambarnya namun keyakinan saya bertambah selepas meraih tiga mata pertama.

"Selepas kalah set pertama, saya cuba terus bertahan dan melupakan kekalahan itu manakala set ketiga, saya mulai fokus meraih mata seterusnya mengejar bola.

"Saya lega perlawanan ini sudah tamat. Aksi rali berterusan, hebat sebab rali sepanjang masa. Saya terpaksa tunggu kerana dia tidak memberikan sebarang ruang kepada saya untuk menyerang.

"Tapi, dia mengalah dan mula memberi beberapa peluang. Saya kena pastikan saya perlu mendahului dan saya peroleh sedikit peluang untuk melakukannya.

"Lega rasanya melihat aksi tadi. Ia memerlukan kesabaran dan bukan hanya pukulan padu.

"Ini merupakan kejayaan pertama saya sebagai pemain nombor satu dunia memenangi kejuaraan dunia dan saya tahu, semua menanti kemenangan saya," katanya.

Sepanjang tahun ini, Nicol sudah merangkul enam lagi gelaran, Terbuka Cayman Island, Terbuka Texas, Terbuka Kota Seoul, Sukan Dunia, Terbuka Malaysia dan Master Singapura.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YLroE3rQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan