MOHD. AZLAN ISKANDAR membuka
tirai kemenangan negara dengan meranapkan impian lawan, Charles Sonson dari St.
Lucia 3-0 menerusi acara perseorangan skuasy lelaki KL '98 di Pusat Skuasy
Nasional, semalam.
Malaysia membuka tirai cabaran
menerusi pemain gantian, Mohd. Azlan Iskandar yang mencatat kemenangan ke atas
pemain St. Lucia, Charles Sonson 3-0.
Dia menggantikan Yap Kok Four
yang mengalami kecederaan kaki, tidak menghadapi masalah untuk mencatat
kemenangan mudah 9-4, 9-2 dan 9-0 untuk mara ke pusingan kedua bertemu pemain
Afrika Selatan, Craig Wapnick.
Wapnick mengalahkan pencabar
dari Dominica, Karl Nassief 9-0, 9-0 dan 9-1.
Dalam pada itu, pemain utama
negara, Kenneth Low meraih kemenangan mudah selepas menumpaskan pemain Lesoto,
L.Monnapula dengan 3-0.
Kenneth cuma mengambil masa 14
minit untuk mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 9-0, 9-2, 9-2.
Begitupun, halangan besar
menantinya pada pusingan berikutnya apabila dijadualkan menentang seorang lagi
pemain Afrika Selatan, Glen Whittaker.
Whittaker menang mudah ke atas
pemain Barbados, Andrew Gill dengan 9-1, 9-2, 9-2.
''Kalah menang bukan perkara
utama, tetapi saya gembira dengan permainan hari ini (semalam). Saya sedar
pusingan berikutnya lebih sukar apabila bertemu Whittaker.
''Sudah lebih setahun kami
tidak bertemu dan corak pemainnya juga semakin meningkat. Peluang saya dan dia
50-50. Begitupun, saya harap berada dalam kelompok di suku akhir,'' kata
Kenneth yang pada awalnya meletakkan sasaran ke pusingan ketiga.
Pemain kedua negara, Ong Beng
Hee pula mengalahkan Troy Donahue Rahming dari Bahamas dengan 9-1, 9-4, 9-2 dan
seterusnya menepati ramalan untuk pertemuan pusingan kedua menentang Graham
Ryding dari Kanada.
Ryding menumpaskan pemain
Guernsey, Nigel Blackburns dengan kemenangan 9-1, 9-0 dan 9-0.
Seorang lagi pemain negara,
Michael Soo juga menang straight set ke atas pemain Trinidad, Paul De Verteuil
dengan 9-2, 9-2, 9-3.
Turut melangkah selesa ke
pusingan kedua ialah pemain nombor satu dunia, Peter Nicol dari Scotland yang
mudah mengetepikan cabaran pemain Guyana, Regan Pollard dengan 9-0, 9-0 dan
9-1.
Pemain nombor tiga dunia,
Jonathan Power yang disifatkan antara pilihan meraih pingat emas acara
perseorangan turut mencatat kemenangan ke atas pencabar dari Sri Lanka, Saman
Thilekaratna dengan 9-0, 9-1, 9-0.Power sebelum ini melakukan kejutan apabila
menewaskan Nicol untuk meraih kejuaraan pada Kejohanan Terbuka Hong Kong, dua
minggu lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KKDFDveJ
© Utusan Melayu (M) Bhd