ARKIB : 08/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
NICOL David (kanan) mempamerkan persembahan
bertenaga walaupun tewas kepada Natalie Grainger pada perlawanan akhir
Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam. - Mingguan/Halim Khalid
KUALA LUMPUR - Permainan mantap tetapi gagal.
Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David terpaksa menerima hakikat tidak terdaya
untuk merangkul kejuaraan pertama musim ini apabila tewas pada perlawanan akhir
Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam.
Nicol yang sebelum ini mencatat kemenangan tanpa
kalah 56 perlawanan berturut-turut sejak November 2007, tewas kepada pemain
Amerika Syarikat, Natalie Grainger, 8-11, 12-10, 7-11, 11-5, 6-11 dalam rali
sepanjang 51 minit.
Petanda awal bahawa pemain kelahiran Pulau
Pinang itu tidak mampu untuk merangkul kejuaraan keenam kejohanan tersebut
menjelma pada set pertama apabila dia tewas 8-11 kepada pemain pilihan keempat
itu.
Bagaimanapun, Nicol berjaya bangkit pada set
seterusnya dengan menang 12-10 tetapi masalah garisan di bahagian bawah
gelanggang yang sering tertanggal pada set ketiga mengganggu tumpuannya ketika
mendahului 5-4 dan Grainger, 32, mengambil kesempatan untuk menang 7-11.
Sokongan padu penonton berjaya membantu Nicol
untuk menang pada set keempat 11-5 tetapi ternyata tuah tidak memihak kepada
pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila gagal di set penentuan, 6-11 ketika
kedua-dua pemain saling berkejar mata.
Nicol berkata, memang sukar untuk menewaskan
pemain yang berada pada tahap terbaik dan menguasai perlawanan sejak dari awal
tetapi dia yakin akan bangkit semula pada kejohanan seterusnya.
"Walau apa pun terjadi saya tidak boleh
memberi alasan kerana lawan saya ternyata bermain dengan baik hari ini
(semalam)," kata pemain berusia 26 tahun itu selepas perlawanan tamat di
Berjaya Times Square.
Kata Nicol, permainannya tidak menentu,
adakalanya menurun dan naik memberikan peluang kepada lawannya untuk bermain
bermati-matian sekali gus merampas kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.
"Saya masih belum pasti mengenai kejohanan
selepas ini, mungkin ia akan berlangsung Mei ini berikutan ada beberapa
kejohanan yang masih belum diketahui siapa penaja mereka.
"Saya akan pulang semula ke Belanda minggu
depan dan menjalani latihan seperti biasa," katanya yang memenangi
AS$$6,075 (RM22,700) selaku naib juara manakala Grainger meraih AS$$8,550
(RM31,900)
Kategori lelaki menyaksikan pemain pilihan
pertama, Peter Barker dari England tidak diberi tentangan sengit dari rakan
senegara Andrian Grant apabila menang 11-6, 11-2, 11-4 untuk membawa AS$$7,600
(RM29,000) selaku juara.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz54djeHZEW
© Utusan Melayu (M) Bhd