Selasa, 9 Januari 2018

Nicol tepati ramalan ke akhir

ARKIB : 07/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
NICOL David tenang mengawal permainan ketika menentang lawannya dari Australia, Rachael Grinham pada pertemuan separuh akhir wanita Kejohanan Squasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2009 di Kuala Lumpur, semalam. - bernama

KUALA LUMPUR - Cerita duka berjaya diubah menjadi gembira oleh Datuk Nicol David apabila menang dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Kuala Lumpur CIMB walaupun rakannya Ong Beng Hee tewas pada saingan kategori lelaki, semalam.

Pemain No. 1 dunia itu hanya memerlukan 34 minit untuk menewaskan lawannya dari Australia, Rachael Grinham 9-11, 11-7, 11-5, 11-8 di Berjaya Times Square.

Nicol yang merupakan juara bertahan, cemas seketika apabila tewas pada set pertama 9-11 walaupun mendahului 7-6 sebelum mempamerkan permainan bertenaga pada tiga set berikutnya untuk mara ke akhir hari ini.

"Saya berpuas hati dengan permainan hari ini (semalam) dengan memberi fokus sepenuhnya di dalam gelanggang dan mengekalkan rentak permainan," katanya sebaik perlawanan tamat.

Jelasnya, jika terlalu membiarkan Rachael menguasai perlawanan ia bakal mengundang padah walaupun ada seketika lawannya yang merupakan pemain nombor tiga dunia itu cuba untuk memberi cabaran pada dua set terakhir.

"Lawan saya esok (hari ini) merupakan pemain yang hebat dan saya menjangkakan perlawanan akhir nanti akan menyajikan saingan yang sengit antara kedua-dua pemain.

"Saya akan bekerja keras esok walaupun saya pernah mengalahkannya dalam beberapa perlawanan, setiap kali kami berjumpa saya melihat dia sudah bersedia dan saya juga perlu bersedia," ujar Nicol yang tidak pernah tewas dalam 56 perlawanan berturut-turut sejak November 2007.

Sementara itu, lawan Nicol pada babak akhir hari ini ialah Natalie Grainger dari Amerika Syarikat yang menewaskan pemain England, Laura Lengthorn-Massaro 9-11, 11-4, 11-7, 6-11, 11-6.

Lawan Nicol hari ini merupakan pemain pilihan ketiga kejohanan dan sepanjang sembilan kali bertemu Natalie, semuanya disapu bersih oleh pemain nombor satu dunia itu.

Kali terakhir Nicol bertemu Natalie dalam perlawanan akhir ialah pada November 2007, dalam kejohanan Terbuka Cathay Pacific Hong Kong, Nicol menang 9-3, 9-5, 10-8.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz53h9ohhUn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan