Jumaat, 19 Januari 2018

Nicol gagal pertahan gelaran

ARKIB : 08/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
NICOL David (kanan) mempamerkan persembahan bertenaga walaupun tewas kepada Natalie Grainger pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam. - Mingguan/Halim Khalid

KUALA LUMPUR - Permainan mantap tetapi gagal. Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David terpaksa menerima hakikat tidak terdaya untuk merangkul kejuaraan pertama musim ini apabila tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam.

Nicol yang sebelum ini mencatat kemenangan tanpa kalah 56 perlawanan berturut-turut sejak November 2007, tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger, 8-11, 12-10, 7-11, 11-5, 6-11 dalam rali sepanjang 51 minit.

Petanda awal bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak mampu untuk merangkul kejuaraan keenam kejohanan tersebut menjelma pada set pertama apabila dia tewas 8-11 kepada pemain pilihan keempat itu.

Bagaimanapun, Nicol berjaya bangkit pada set seterusnya dengan menang 12-10 tetapi masalah garisan di bahagian bawah gelanggang yang sering tertanggal pada set ketiga mengganggu tumpuannya ketika mendahului 5-4 dan Grainger, 32, mengambil kesempatan untuk menang 7-11.

Sokongan padu penonton berjaya membantu Nicol untuk menang pada set keempat 11-5 tetapi ternyata tuah tidak memihak kepada pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila gagal di set penentuan, 6-11 ketika kedua-dua pemain saling berkejar mata.

Nicol berkata, memang sukar untuk menewaskan pemain yang berada pada tahap terbaik dan menguasai perlawanan sejak dari awal tetapi dia yakin akan bangkit semula pada kejohanan seterusnya.

"Walau apa pun terjadi saya tidak boleh memberi alasan kerana lawan saya ternyata bermain dengan baik hari ini (semalam)," kata pemain berusia 26 tahun itu selepas perlawanan tamat di Berjaya Times Square.

Kata Nicol, permainannya tidak menentu, adakalanya menurun dan naik memberikan peluang kepada lawannya untuk bermain bermati-matian sekali gus merampas kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

"Saya masih belum pasti mengenai kejohanan selepas ini, mungkin ia akan berlangsung Mei ini berikutan ada beberapa kejohanan yang masih belum diketahui siapa penaja mereka.

"Saya akan pulang semula ke Belanda minggu depan dan menjalani latihan seperti biasa," katanya yang memenangi AS$$6,075 (RM22,700) selaku naib juara manakala Grainger meraih AS$$8,550 (RM31,900)

Kategori lelaki menyaksikan pemain pilihan pertama, Peter Barker dari England tidak diberi tentangan sengit dari rakan senegara Andrian Grant apabila menang 11-6, 11-2, 11-4 untuk membawa AS$$7,600 (RM29,000) selaku juara.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz54djeHZEW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan