Ahad, 31 Disember 2017

'Umur bukan penghalang'

Arkib
ARKIB : 04/03/2009
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David tetap mahu beraksi walaupun bakal berusia 32 tahun jika sukan kesayangannya itu dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2016 selepas tuan rumahnya diumumkan dalam Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Copenhagen, Oktober ini.

Gadis cilik kelahiran Pulau Pinang ini juga bersedia menyambar ruang menyertai Olimpik sambil menjanjikan keazaman untuk memastikan skuasy diterima pada temasya terbesar dunia empat tahun sekali itu dengan kerjasama pemain handalan dunia lain menjelang bidaan tuan rumah tersebut.

"Saya akan cari jalan untuk ke Olimpik jika ia diterima. Namun banyak kerja keras perlu kami pemain lakukan untuk menjayakannya," kata Nicol, 25, pada sidang akhbar dan majlis penyerahan penajaan Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur kepada Persatuan Skuasy Reket Malaysia (SRAM) di Bangunan CIMB di sini, semalam.

Juara kejohanan bertaraf Emas 45 dalam sirkit Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) sebanyak lima kali ini, akan mempertahankan gelaran dengan menentang Madeline Perry dari Ireland pada pusingan pertama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Turut beraksi ialah rakan senegara, Sharon Wee yang mungkin terpaksa ditentangnya pada suku akhir esok, di samping gandingan bersaudara tetapi sudah berbeza kerakyatan, Natalie (Belanda) dan Rachael Grinham (Australia) yang juga pemain nombor dua dan tiga dunia.

Terbuka Kuala Lumpur merupakan aksi sulung Nicol pada tahun ini setelah Terbuka Apawamis di New York, Amerika Syarikat yang setiap tahunnya menjadi gelanggang pembuka tirai tidak dapat dilangsungkan kerana kegawatan ekonomi yang melanda dunia ketika ini.

Namun hanya tujuh kejohanan yang dimenangi tahun lalu, bakal dipertandingkan semula dan disahkan dalam kalendar WISPA tetapi pemain utama dunia ini masih berazam untuk bermain dan mempertahankan sekurang-kurangnya 10 gelaran tahun ini.

"Jika masih tidak mencukupi, saya tidak kisah untuk bermain dalam kejohanan yang bertaraf lebih rendah tetapi saya percaya ada beberapa kejohanan besar yang bakal diadakan cuma bergantung kepada rundingan penganjur dan penajaan," katanya.

Nicol mengumpul 10 kejuaraan sepanjang 2008 iaitu Terbuka Apawamis, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Britain, Terbuka Seoul, Terbuka Malaysia, Master Singapura, Terbuka Belanda, Terbuka Dunia, Klasik Qatar dan Terbuka Hong Kong.

Dia juga merupakan juara Terbuka Kuala Lumpur 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008. Kali terakhir dia gagal meraihnya ialah tiga tahun lalu apabila ditewaskan pemain Belanda, Vanessa Atkinson.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz52qBtGWim

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan