Ahad, 28 Mei 2017

Nicol kerah Grinham sebelum tewas



 
ARKIB : 24/04/2005
JADI TUMPUAN... Pemain negara, Nicol David mendapat sokongan dan perhatian penyokong Malaysia yang bekerja di Qatar biar pun tewas di separuh akhir Kejohanan Qatar Airways, semalam. - Gambar Bernama.

DOHA (Qatar) - Ratu skuasy negara, Nicol David mengheret lawannya, pemain wanita nombor satu dunia, Rachael Grinham untuk bertarung selama 71 minit sebelum tewas 9-3, 8-10, 2-9, 9-1, 10-8 pada separuh akhir Kejohanan Qatar Airways 2005 di Kompleks Tenis dan Skuasy Khalifa di sini, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Grinham membalas dendam atas dua kekalahannya kepada Nicol di separuh akhir Terbuka Shanghai dan Terbuka Kuwait sebelum ini.

``Pada asasnya (fizikal), perlawanan menentang Nicol memang sukar. Dia membuatkan anda terpaksa berlari tanpa berhenti.

``Secara mental juga, perlawanan ini memang terlalu sukar sehingga terpaksa memberikan aksi lebih daripada 180 peratus.

``Dalam set terakhir, saya terpaksa mengerah tenaga untuk mendapatkan bola. Saya tidak pernah berbuat demikian sebelum ini,'' kata Grinham selepas perlawanan tamat semalam.

``Bagaimanapun, apa yang baik ialah esok hari rehat sebelum aksi final. Saudara saya, (Natalie Grinham) pernah bermain lima set dengan Nicol dalam separuh akhir dan dia terkulai pada hari final keesokkan harinya. Dia tidak boleh bergerak,'' kata pemain berusia 29 tahun itu.

Nicol, 21, yang beralih menjadi pemain profesional pada 2003 dan sekarang mendudukki ranking nombor empat mengakui bahawa pengalaman menjadi faktor kepada kemenangan Grinham.

``Tumpuan saya terganggu dalam perlawanan, sehinggalah set terakhir baru saya boleh memberikan fokus. Kami masing-masing mahu menang,'' kata Nicol.

``Saya mencuba sebaik mungkin tetapi akhirnya Grinham membuktikan bahawa dia lebih berpengalaman,'' tambahnya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iQK9yl2O
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 27 Mei 2017

Nicol juara skuasy Terbuka Kuwait



ARKIB : 14/03/2005

KUWAIT - Pemain perseorangan skuasy wanita nombor satu negara, Nicol Ann David mengakhiri kemarau kejayaan di peringkat antarabangsa tahun ini dengan menjuarai Terbuka Kuwait, semalam.

Kejayaan menewaskan pemain pilihan keenam, Natalie Grainger dari Amerika Syarikat 4-9, 9-6, 9-7, 10-8 pada perlawanan akhir itu merupakan gelaran pertamanya dalam siri Jelajah Persatuan Pemain Wanita Profesional Dunia (WISPA).

Sebelum ini, Nicol, 21, tidak pernah merangkul kejuaraan WISPA sepanjang kariernya sebagai pemain skuasy wanita bertaraf dunia.

Biar pun tewas set pertama, Nicol mengulangi cara yang sama ketika menewaskan pemain nombor satu dunia, Rachel Grinham di separuh akhir sebelum ini dengan bangkit dalam tiga set berikutnya.

Hujan sekali lagi memberi rahmat buat Nicol apabila perlawanan akhir itu terpaksa dipindahkan ke gelanggang tertutup bagi membolehkan juara Asia kelahiran Pulau Pinang itu melakukan kejutan dalam masa 45 minit.

``Sebaik turun ke gelanggang, Natalie bermain pantas manakala saya lebih banyak cuba memperlahankan rentaknya sebelum berjaya menguasai permainan,'' ujar Nicol.

Sementara itu, nasib berbeza dilalui seorang lagi Nicol dalam kategori lelaki apabila Peter Nicol dari England tewas mengejut kepada pemain Australia, David Palmer dalam perlawanan akhir.

Palmer, juara Terbuka British yang juga pilihan ketiga kejohanan menang 11-4, 9-11, 11-3, 11-6 juga dalam masa 45 minit.

Nicol merupakan pemain ketiga dan terakhir dari England berada dalam laluan Palmer sebelum berjaya muncul juara.

Sebelum ini, Palmer menewaskan James Will-strop dan pilihan kedua, Lee Beachill sebelum ke akhir.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iIQwy4d7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Grinham tewas Nicol ke final



ARKIB : 13/03/2005

GREEN ISLAND, Kuwait - Hujan lebat di gelanggang terbuka Kelab Salmiya bagaikan rahmat buat ratu skuasy negara, Nicol David apabila dia mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dari Australia untuk layak ke perlawanan akhir Terbuka Kuwait, semalam.

Nicol, 21, pemain nombor empat dunia kalah mudah 0-9 pada set pertama sebelum hujan lebat memaksa permainan dipindahkan ke gelanggang biasa iaitu gelanggang tertutup dan ketika itu dia bangkit memenangi tiga set berikutnya 9-7, 9-4, 9-7 dalam perlawanan 52 minit.

Kemenangan ini akan menemukan juara Asia kelahiran Pulau Pinang itu dengan pemain Amerika Syarikat dan pilihan keenam, Natalie Grainger di final hari ini.

Grainger juga melakar kejutan, menumpaskan pemain nombor dua dunia dan rakan sepelatih Nicol, Vanessa Atkinson dari Belanda 10-8, 9-7, 1-9, 8-10, 9-5 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

``Saya mula merasa selesa sebaik saja melangkah kembali ke gelanggang tertutup kerana sepanjang minggu ini kami bermain di sini dan hanya perlawanan akhir dibuat secara terbuka,'' kata Nicol, juara Terbuka Kuala Lumpur.

``Hujan nampaknya menjadi kawan saya hari ini. Rachael pula tidak dapat menyesuaikan diri selepas pertukaran gelanggang dibuat,'' katanya lagi, yang akan membuat penampilan akhir ke-15 dalam siri Jelajah Dunia Persatuan Pemain Wanita Profesional Dunia (WISPA).

Nicol tidak pernah mengalahkan Grinham dalam semua pertemuan mereka sebelum ini dan kemenangan semalam juga membolehkan dia menebus kekalahan terakhir kepada pemain Australia itu pada suku akhir Terbuka Britain tahun lalu.

Sementara itu, kejutan turut berlaku dalam acara lelaki apabila pilihan ketiga, David Palmer dari Australia mengejutkan pemain England dan pilihan kedua, Lee Beachill 11-7, 11-9, 9-11, 11-3 dalam perlawanan 55 minit.

Palmer yang meraikan kejayaannya melayakkan diri ke perlawanan akhir Jelajah Pemain Skuasy Profesional (PSA) buat kali ke-33 akan menentang seorang lagi pemain England, Peter Nicol pada saingan akhir.

Penyandang juara, Peter dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan yang berlanjutan selama 64 minit sebelum mengetepikan pemain nombor satu dunia, Thierry Lincou dari Perancis 11-3, 11-4, 7-11, 11-10.

Peter, 31, yang memiliki rekod cemerlang pada Terbuka Kuwait, selepas memenangi kejohanan 1997, 1998 dan 2004 kini hanya selangkah lagi untuk melakar sejarah memenangi kejuaraan kelima.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iHycwqLJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 7 Mei 2017

Nicol rangkul gelaran kali ketiga

ARKIB : 07/02/2005
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Nicol David menewaskan pemain Belanda, Annelize Naude untuk merangkul kejuaraan kali ketiga pada kejohanan skuasy Terbuka Kuala Lumpur di sini, semalam.
Pemain nombor empat dunia dan pilihan pertama kejohanan itu menewaskan lawannya 9-4, 9-2, 9-0 dalam masa 19 minit dalam perlawanan akhir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.
Pemain Belanda itu yang merupakan pemain pilihan kedua kejohanan hanya memberi tentangan pada set pertama.
Selepas ketinggalan 3-4, Nicol tidak panik sebaliknya lawannya yang kelihatan goyah apabila mata terikat 4-4 dan Nicol mengambil kesempatan penuh untuk mencari mata penamat.
``Lawan saya kelihatan keletihan selepas berhempas pulas pada perlawanan separuh akhir semalam,'' kata Nicol.

Jumaat, 5 Mei 2017

Nicol gagal ke akhir

ARKIB : 11/12/2004

HASRAT Nicol David untuk mencatat sejarah mara ke akhir Kejohanan Terbuka Wanita Dunia berkecai apabila tumpas kepada pilihan keempat, Natalie Grinham dari Australia pada perlawanan separuh akhir yang ditentukan dalam set kelima di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, semalam.
Nicol yang mengatasi Shelly Kicthen dari New Zealand di suku akhir kelmarin memberi tentangan sengit sebelum tewas 3-9, 7-9, 9-2, 10-9, 7-9 dalam perlawanan yang berlanjutan selama lebih satu setengah jam.
Kemenangan itu membolehkan Natalie bertemu Vanessa Atkinson dari Belanda pada perlawanan akhir hari ini selepas pemain pilihan ketiga itu mudah menewaskan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dalam satu lagi perlawanan separuh akhir dengan straight set 9-0, 9-2, 9-2.
Dalam perlawanan semalam, Nicol `layu' pada set pertama apabila mudah menyerah kalah 9-3 tetapi cuba memberi tentangan pada set kedua sebelum tunduk 9-7.
Nicol, bekas juara remaja dunia dua kali bangkit pada set ketiga dengan permainan bercorak taktikal dan pantas untuk menang 9-7.
Pemain nombor enam dunia itu terus mempamer aksi mantap pada set keempat yang turut disaksikan oleh bekas pemain legenda skuasy dunia, Jahangir Khan untuk menewaskan lawannya 10-9.
Nicol dilihat bakal mengungguli set penentuan apabila meninggalkan lawan empat mata tanpa balas ketika memegang servis pertama.
Namun, pengalaman nyata lebih memihak kepada Natalie yang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 7-7 sebelum memungut dua mata lagi dan menamatkan perlawanan dengan 9-7.
Nicol yang ditemui selepas perlawanan berkata, dia mengekalkan rentak permainan yang sama setiap kali berentap dengan Natalie menyebabkan lawan yang belum pernah ditewaskannya itu dapat membaca kelemahannya.
``Selepas dua set pertama, saya tidak patah semangat kerana apa sahaja boleh berlaku.
``Tteapi ternyata Natalie yang jauh lebih berpengalaman bijak mengambil kesempatan terhadap corak permainan yang sama setiap kali bertemunya.
``Begitupun saya cuba memberi tentangan di set penentuan kerana menyedari peluang untuk menang tetap ada.
``Sorakan penonton tempatan yang mahu melihat saya menang turut membantu saya terus memberi tentangan kepada lawan,'' katanya.
Sementara itu, Natalie yang pertama kali mara dalam kejohanan Grand Prix mengakui diberi tentangan sengit oleh Nicol yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan.
Katanya, perlawanan set penentuan benar-benar memenatkan dan dia bermain dengan cara yang selamat untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
``Saya mengekalkan rentak permainan sehingga set kelima untuk menundukkan Nicol yang begitu liat untuk ditundukkan,'' katanya.

Nicol buat kejutan

ARKIB : 10/12/2004

NICOL (kiri) menanti hantaran Kitchen pada perlawanan suku akhir Terbuka Dunia yang dimenangi oleh pemain negara, 9-7, 9-3, 9-4 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam. - Gambar ABBY BAIZURA HARUN.


NICOL David melakar sejarah skuasy negara apabila muncul pemain Malaysia pertama melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Wanita Dunia selepas menundukkan Shelly Kicthen dari New Zealand di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam, lapor Norzie Mohd. Khasbi.
Kurang tiga minggu selepas mencipta kejutan muncul naib juara WorldStars di Shanghai, termasuk mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham, Nicol terus cemerlang apabila menang straight-set 9-7, 9-3, 9-4 di suku akhir.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu hanya memerlukan 28 minit untuk mengetepikan pilihan ke-12, Kicthen dan menempah pertemuan dengan pemain nombor empat dunia dari Australia, Natalie Grinham hari ini.
Natalie yang mengalahkan Nicol dalam empat pertemuan terakhir kedua-dua pemain termasuk pada pusingan kedua Qatar Classic minggu lalu mara selepas menang mudah 9-6, 9-3, 9-0 ke atas Rebecca Macree dari England.
Turut melayakkan diri ke separuh akhir adalah pemain nombor satu dunia, Rachael dan pilihan ketiga, Vanessa Atkinson dari Belanda.
Rachael, juara Terbuka Britain mengetepikan pilihan ke-10 dari England, Jenny Tranfield 9-1, 9-1, 9-7, manakala Atkinson menewaskan rakan senegara Tranfield dan pilihan kelima, Linda Elriani 7-9, 9-1, 9-3 sebelum lawannya menarik diri di set keempat.
``Layak ke separuh akhir kejohanan dunia adalah satu pencapaian besar buat saya, jika mampu pergi lebih jauh selepas ini ia adalah satu bonus,'' kata Nicol sejurus tamat kejohanan.
``Selepas melihat bagaimana Shelly mengalahkan Cassie (Jackman, pemain nombor dua dunia) semalam, saya menjangkakan satu pertarungan sengit hari ini, mungkin berlarutan sehingga lima set.
``Agak mengejutkan juga dia tidak memberi tentangan sebaik semalam, saya tidak tahu mengapa tetapi permainan saya juga tambah meyakinkan berbanding di awal kejohanan.''
Walaupun kalah dalam semua pertemuannya dengan Natalie, Nicol, pemain nombor enam dunia tetap optimis mengenai peluangnya untuk mencatat kemenangan pertama ke atas Natalie.
``Bertemu Natalie memang tidak semudah pertemuan hari ini tetapi tiada apa yang mustahil untuk dilakukan, saya akan cuba beri yang terbaik untuk ke final.
``Lagipun Bukit Jalil merupakan gelanggang kegemaran saya, ditambah lagi beraksi depan penonton sendiri, sungguh bersemangat sekali.''
Menurut Nicol lagi, memandangkan Terbuka Dunia adalah kejohanan terakhir dalam kalendar Persatuan Pemain Skuasy Wanita Profesional Antarabangsa (WISPA) tahun ini, semua pemain berharap untuk menutup tirai 2004 dengan keputusan terbaik.
KEPUTUSAN (suku akhir)
Rachael Grinham (Aus) kln Jenny Tranfield (Eng) 9-1, 9-1, 9-7; Vanessa Atkinson (Ned) kln Linda Elriani (Eng) 7-9, 9-1, 9-3, tarik diri; Natalie Grinham (Aus) kln Rebecca Macree (Eng) 9-6, 9-3, 9-0; NICOL DAVID (MAS) kln Shelly Kicthen (Nzl) 9-7, 9-3, 9-4
JADUAL HARI INI (separuh akhir)
Rachel Grinham lwn Vanessa Atkinson - 7.30mlm
NICOL DAVID lwn Natalie Grinham (Aus) - 8.30mlm
*semua perlawanan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil

Selasa, 2 Mei 2017

Nicol terkulai di suku akhir

ARKIB : 02/12/2004
DOHA - Cabaran Malaysia pada Kejohanan Skuasy Qatar Classic berakhir dengan kekalahan pemain wanita nombor satunya, Nicol David dalam saingan suku akhir di Kompleks Skuasy Khalifa, semalam.
Nicol, 21, pilihan kelapan melebarkan rekod kekalahannya di tangan pemain nombor empat dunia, Natalie Grinham dari Australia kepada 3-0 selepas tumpas 9-6, 6-9, 0-9, 0-9.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu hanya berjaya memberi tentangan pada dua set pembukaan tetapi tidak bermaya dalam baki dua set berikutnya.
Nicol yang muncul naib juara Shanghai WorldStars minggu lalu turut tumpas kepada Grinham pada pusingan kedua kejohanan yang sama tahun lalu.
Selepas kemenangan semalam, Grinham kini bakal berdepan kakaknya dan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham di suku akhir hari ini.
Rachael, yang dikejutkan oleh Nicol di Shanghai lalu mara selepas mengetepikan pemain England dan pilinan ke-13, Vicky Bortwright 9-0, 9-6, 4-9, 9-2.

Isnin, 1 Mei 2017

Nicol ke suku akhir

ARKIB : 01/12/2004
DOHA - Ratu skuasy negara, Nicol David berjaya melepasi perlawanan penuh mendebarkan, termasuk tewas dalam set pembukaan sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Qatar Classic di Kompleks Skuasy Khalifa, semalam.
Nicol, 21, pemain nombor lapan dunia diheret ke permainan lima set ketika mengetepikan pilihan ke-16, Madeline Perry dari Ireland 5-9, 9-5, 3-9, 9-7, 9-0 dalam pertarungan yang berlarutan sehingga 46 minit.
Bagaimanapun, Nicol bakal berdepan tugas sukar apabila bertemu pilihan keempat, Natalie Grinham dari Australia pada saingan suku akhir hari ini.
Grinham yang menumpaskan pilihan ke-14, Shelley Kitchen dari New Zealand 9-6, 9-4, 9-0 pada pusingan kedua, mengalahkan Nicol dalam dua pertemuan terakhir kedua-dua pemain, termasuk pada pusingan kedua kejohanan yang sama tahun lalu, selain di separuh akhir Terbuka Belanda 2003.
Begitupun, Nicol, 21, kini berada pada prestasi terbaiknya selepas muncul naib juara Shanghai WorldStars minggu lalu - mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dan pemain nombor lima dunia, Natalie Grainger dalam laluan ke akhir.
Sekiranya berjaya melepasi peringkat suku akhir, Nicol bakal berdepan pemenang di antara Rachael Grinham atau pilihan 13 dari England, Vicky Botwright.
Terdahulu di pusingan pertama, Nicol, bekas juara remaja dunia dua kali turut dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan Stephanie Brind dari England 9-7, 6-9, 9-1, 9-4.
Sementara itu, cabaran seorang lagi pemain wanita negara, Sharon Wee, yang beraksi dari pusingan kelayakan tersekat di pusingan pembukaan selepas tewas kepada pilihan ketujuh, Fiona Geaves dari England 9-1, 0-9, 9-6, 9-2.
Dalam saingan lelaki pula, pemain nombor satu dunia, Lee Beachill dari England serta juara dunia, Amr Shabana dari Mesir menepati ramalan dengan melangkah ke suku akhir.
Beachill mara selepas menundukkan pilihan ke-10, Joe Kneipp dari Australia 11-10 (4-2), 11-6, 11-4, manakala Shabana mengetepikan rakan senegara dan pilihan ke-16, Mohd. Abbas 11-7, 11-5, 5-11, 11-6.