Isnin, 1 Mei 2017

Nicol ke suku akhir

ARKIB : 01/12/2004
DOHA - Ratu skuasy negara, Nicol David berjaya melepasi perlawanan penuh mendebarkan, termasuk tewas dalam set pembukaan sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Qatar Classic di Kompleks Skuasy Khalifa, semalam.
Nicol, 21, pemain nombor lapan dunia diheret ke permainan lima set ketika mengetepikan pilihan ke-16, Madeline Perry dari Ireland 5-9, 9-5, 3-9, 9-7, 9-0 dalam pertarungan yang berlarutan sehingga 46 minit.
Bagaimanapun, Nicol bakal berdepan tugas sukar apabila bertemu pilihan keempat, Natalie Grinham dari Australia pada saingan suku akhir hari ini.
Grinham yang menumpaskan pilihan ke-14, Shelley Kitchen dari New Zealand 9-6, 9-4, 9-0 pada pusingan kedua, mengalahkan Nicol dalam dua pertemuan terakhir kedua-dua pemain, termasuk pada pusingan kedua kejohanan yang sama tahun lalu, selain di separuh akhir Terbuka Belanda 2003.
Begitupun, Nicol, 21, kini berada pada prestasi terbaiknya selepas muncul naib juara Shanghai WorldStars minggu lalu - mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dan pemain nombor lima dunia, Natalie Grainger dalam laluan ke akhir.
Sekiranya berjaya melepasi peringkat suku akhir, Nicol bakal berdepan pemenang di antara Rachael Grinham atau pilihan 13 dari England, Vicky Botwright.
Terdahulu di pusingan pertama, Nicol, bekas juara remaja dunia dua kali turut dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan Stephanie Brind dari England 9-7, 6-9, 9-1, 9-4.
Sementara itu, cabaran seorang lagi pemain wanita negara, Sharon Wee, yang beraksi dari pusingan kelayakan tersekat di pusingan pembukaan selepas tewas kepada pilihan ketujuh, Fiona Geaves dari England 9-1, 0-9, 9-6, 9-2.
Dalam saingan lelaki pula, pemain nombor satu dunia, Lee Beachill dari England serta juara dunia, Amr Shabana dari Mesir menepati ramalan dengan melangkah ke suku akhir.
Beachill mara selepas menundukkan pilihan ke-10, Joe Kneipp dari Australia 11-10 (4-2), 11-6, 11-4, manakala Shabana mengetepikan rakan senegara dan pilihan ke-16, Mohd. Abbas 11-7, 11-5, 5-11, 11-6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan