|
NICOL (kiri) menanti
hantaran Kitchen pada perlawanan suku akhir Terbuka Dunia yang dimenangi
oleh pemain negara, 9-7, 9-3, 9-4 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil
semalam. - Gambar ABBY BAIZURA HARUN.
|
NICOL David melakar sejarah skuasy negara apabila muncul pemain Malaysia pertama melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Wanita Dunia selepas menundukkan Shelly Kicthen dari New Zealand di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam, lapor Norzie Mohd. Khasbi.
Kurang tiga minggu selepas mencipta kejutan muncul naib juara WorldStars di Shanghai, termasuk mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham, Nicol terus cemerlang apabila menang straight-set 9-7, 9-3, 9-4 di suku akhir.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu hanya memerlukan 28 minit untuk mengetepikan pilihan ke-12, Kicthen dan menempah pertemuan dengan pemain nombor empat dunia dari Australia, Natalie Grinham hari ini.
Natalie yang mengalahkan Nicol dalam empat pertemuan terakhir kedua-dua pemain termasuk pada pusingan kedua Qatar Classic minggu lalu mara selepas menang mudah 9-6, 9-3, 9-0 ke atas Rebecca Macree dari England.
Turut melayakkan diri ke separuh akhir adalah pemain nombor satu dunia, Rachael dan pilihan ketiga, Vanessa Atkinson dari Belanda.
Rachael, juara Terbuka Britain mengetepikan pilihan ke-10 dari England, Jenny Tranfield 9-1, 9-1, 9-7, manakala Atkinson menewaskan rakan senegara Tranfield dan pilihan kelima, Linda Elriani 7-9, 9-1, 9-3 sebelum lawannya menarik diri di set keempat.
``Layak ke separuh akhir kejohanan dunia adalah satu pencapaian besar buat saya, jika mampu pergi lebih jauh selepas ini ia adalah satu bonus,'' kata Nicol sejurus tamat kejohanan.
``Selepas melihat bagaimana Shelly mengalahkan Cassie (Jackman, pemain nombor dua dunia) semalam, saya menjangkakan satu pertarungan sengit hari ini, mungkin berlarutan sehingga lima set.
``Agak mengejutkan juga dia tidak memberi tentangan sebaik semalam, saya tidak tahu mengapa tetapi permainan saya juga tambah meyakinkan berbanding di awal kejohanan.''
Walaupun kalah dalam semua pertemuannya dengan Natalie, Nicol, pemain nombor enam dunia tetap optimis mengenai peluangnya untuk mencatat kemenangan pertama ke atas Natalie.
``Bertemu Natalie memang tidak semudah pertemuan hari ini tetapi tiada apa yang mustahil untuk dilakukan, saya akan cuba beri yang terbaik untuk ke final.
``Lagipun Bukit Jalil merupakan gelanggang kegemaran saya, ditambah lagi beraksi depan penonton sendiri, sungguh bersemangat sekali.''
Menurut Nicol lagi, memandangkan Terbuka Dunia adalah kejohanan terakhir dalam kalendar Persatuan Pemain Skuasy Wanita Profesional Antarabangsa (WISPA) tahun ini, semua pemain berharap untuk menutup tirai 2004 dengan keputusan terbaik.
KEPUTUSAN (suku akhir)
Rachael Grinham (Aus) kln Jenny Tranfield (Eng) 9-1, 9-1, 9-7; Vanessa Atkinson (Ned) kln Linda Elriani (Eng) 7-9, 9-1, 9-3, tarik diri; Natalie Grinham (Aus) kln Rebecca Macree (Eng) 9-6, 9-3, 9-0; NICOL DAVID (MAS) kln Shelly Kicthen (Nzl) 9-7, 9-3, 9-4
JADUAL HARI INI (separuh akhir)
Rachel Grinham lwn Vanessa Atkinson - 7.30mlm
NICOL DAVID lwn Natalie Grinham (Aus) - 8.30mlm
*semua perlawanan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan