Sabtu, 27 Mei 2017

Nicol juara skuasy Terbuka Kuwait



ARKIB : 14/03/2005

KUWAIT - Pemain perseorangan skuasy wanita nombor satu negara, Nicol Ann David mengakhiri kemarau kejayaan di peringkat antarabangsa tahun ini dengan menjuarai Terbuka Kuwait, semalam.

Kejayaan menewaskan pemain pilihan keenam, Natalie Grainger dari Amerika Syarikat 4-9, 9-6, 9-7, 10-8 pada perlawanan akhir itu merupakan gelaran pertamanya dalam siri Jelajah Persatuan Pemain Wanita Profesional Dunia (WISPA).

Sebelum ini, Nicol, 21, tidak pernah merangkul kejuaraan WISPA sepanjang kariernya sebagai pemain skuasy wanita bertaraf dunia.

Biar pun tewas set pertama, Nicol mengulangi cara yang sama ketika menewaskan pemain nombor satu dunia, Rachel Grinham di separuh akhir sebelum ini dengan bangkit dalam tiga set berikutnya.

Hujan sekali lagi memberi rahmat buat Nicol apabila perlawanan akhir itu terpaksa dipindahkan ke gelanggang tertutup bagi membolehkan juara Asia kelahiran Pulau Pinang itu melakukan kejutan dalam masa 45 minit.

``Sebaik turun ke gelanggang, Natalie bermain pantas manakala saya lebih banyak cuba memperlahankan rentaknya sebelum berjaya menguasai permainan,'' ujar Nicol.

Sementara itu, nasib berbeza dilalui seorang lagi Nicol dalam kategori lelaki apabila Peter Nicol dari England tewas mengejut kepada pemain Australia, David Palmer dalam perlawanan akhir.

Palmer, juara Terbuka British yang juga pilihan ketiga kejohanan menang 11-4, 9-11, 11-3, 11-6 juga dalam masa 45 minit.

Nicol merupakan pemain ketiga dan terakhir dari England berada dalam laluan Palmer sebelum berjaya muncul juara.

Sebelum ini, Palmer menewaskan James Will-strop dan pilihan kedua, Lee Beachill sebelum ke akhir.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iIQwy4d7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan