Jumaat, 5 Mei 2017

Nicol gagal ke akhir

ARKIB : 11/12/2004

HASRAT Nicol David untuk mencatat sejarah mara ke akhir Kejohanan Terbuka Wanita Dunia berkecai apabila tumpas kepada pilihan keempat, Natalie Grinham dari Australia pada perlawanan separuh akhir yang ditentukan dalam set kelima di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, semalam.
Nicol yang mengatasi Shelly Kicthen dari New Zealand di suku akhir kelmarin memberi tentangan sengit sebelum tewas 3-9, 7-9, 9-2, 10-9, 7-9 dalam perlawanan yang berlanjutan selama lebih satu setengah jam.
Kemenangan itu membolehkan Natalie bertemu Vanessa Atkinson dari Belanda pada perlawanan akhir hari ini selepas pemain pilihan ketiga itu mudah menewaskan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dalam satu lagi perlawanan separuh akhir dengan straight set 9-0, 9-2, 9-2.
Dalam perlawanan semalam, Nicol `layu' pada set pertama apabila mudah menyerah kalah 9-3 tetapi cuba memberi tentangan pada set kedua sebelum tunduk 9-7.
Nicol, bekas juara remaja dunia dua kali bangkit pada set ketiga dengan permainan bercorak taktikal dan pantas untuk menang 9-7.
Pemain nombor enam dunia itu terus mempamer aksi mantap pada set keempat yang turut disaksikan oleh bekas pemain legenda skuasy dunia, Jahangir Khan untuk menewaskan lawannya 10-9.
Nicol dilihat bakal mengungguli set penentuan apabila meninggalkan lawan empat mata tanpa balas ketika memegang servis pertama.
Namun, pengalaman nyata lebih memihak kepada Natalie yang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 7-7 sebelum memungut dua mata lagi dan menamatkan perlawanan dengan 9-7.
Nicol yang ditemui selepas perlawanan berkata, dia mengekalkan rentak permainan yang sama setiap kali berentap dengan Natalie menyebabkan lawan yang belum pernah ditewaskannya itu dapat membaca kelemahannya.
``Selepas dua set pertama, saya tidak patah semangat kerana apa sahaja boleh berlaku.
``Tteapi ternyata Natalie yang jauh lebih berpengalaman bijak mengambil kesempatan terhadap corak permainan yang sama setiap kali bertemunya.
``Begitupun saya cuba memberi tentangan di set penentuan kerana menyedari peluang untuk menang tetap ada.
``Sorakan penonton tempatan yang mahu melihat saya menang turut membantu saya terus memberi tentangan kepada lawan,'' katanya.
Sementara itu, Natalie yang pertama kali mara dalam kejohanan Grand Prix mengakui diberi tentangan sengit oleh Nicol yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan.
Katanya, perlawanan set penentuan benar-benar memenatkan dan dia bermain dengan cara yang selamat untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
``Saya mengekalkan rentak permainan sehingga set kelima untuk menundukkan Nicol yang begitu liat untuk ditundukkan,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan