Sabtu, 27 Mei 2017

Grinham tewas Nicol ke final



ARKIB : 13/03/2005

GREEN ISLAND, Kuwait - Hujan lebat di gelanggang terbuka Kelab Salmiya bagaikan rahmat buat ratu skuasy negara, Nicol David apabila dia mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dari Australia untuk layak ke perlawanan akhir Terbuka Kuwait, semalam.

Nicol, 21, pemain nombor empat dunia kalah mudah 0-9 pada set pertama sebelum hujan lebat memaksa permainan dipindahkan ke gelanggang biasa iaitu gelanggang tertutup dan ketika itu dia bangkit memenangi tiga set berikutnya 9-7, 9-4, 9-7 dalam perlawanan 52 minit.

Kemenangan ini akan menemukan juara Asia kelahiran Pulau Pinang itu dengan pemain Amerika Syarikat dan pilihan keenam, Natalie Grainger di final hari ini.

Grainger juga melakar kejutan, menumpaskan pemain nombor dua dunia dan rakan sepelatih Nicol, Vanessa Atkinson dari Belanda 10-8, 9-7, 1-9, 8-10, 9-5 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

``Saya mula merasa selesa sebaik saja melangkah kembali ke gelanggang tertutup kerana sepanjang minggu ini kami bermain di sini dan hanya perlawanan akhir dibuat secara terbuka,'' kata Nicol, juara Terbuka Kuala Lumpur.

``Hujan nampaknya menjadi kawan saya hari ini. Rachael pula tidak dapat menyesuaikan diri selepas pertukaran gelanggang dibuat,'' katanya lagi, yang akan membuat penampilan akhir ke-15 dalam siri Jelajah Dunia Persatuan Pemain Wanita Profesional Dunia (WISPA).

Nicol tidak pernah mengalahkan Grinham dalam semua pertemuan mereka sebelum ini dan kemenangan semalam juga membolehkan dia menebus kekalahan terakhir kepada pemain Australia itu pada suku akhir Terbuka Britain tahun lalu.

Sementara itu, kejutan turut berlaku dalam acara lelaki apabila pilihan ketiga, David Palmer dari Australia mengejutkan pemain England dan pilihan kedua, Lee Beachill 11-7, 11-9, 9-11, 11-3 dalam perlawanan 55 minit.

Palmer yang meraikan kejayaannya melayakkan diri ke perlawanan akhir Jelajah Pemain Skuasy Profesional (PSA) buat kali ke-33 akan menentang seorang lagi pemain England, Peter Nicol pada saingan akhir.

Penyandang juara, Peter dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan yang berlanjutan selama 64 minit sebelum mengetepikan pemain nombor satu dunia, Thierry Lincou dari Perancis 11-3, 11-4, 7-11, 11-10.

Peter, 31, yang memiliki rekod cemerlang pada Terbuka Kuwait, selepas memenangi kejohanan 1997, 1998 dan 2004 kini hanya selangkah lagi untuk melakar sejarah memenangi kejuaraan kelima.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iHycwqLJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan