Ahad, 28 Mei 2017

Nicol kerah Grinham sebelum tewas



 
ARKIB : 24/04/2005
JADI TUMPUAN... Pemain negara, Nicol David mendapat sokongan dan perhatian penyokong Malaysia yang bekerja di Qatar biar pun tewas di separuh akhir Kejohanan Qatar Airways, semalam. - Gambar Bernama.

DOHA (Qatar) - Ratu skuasy negara, Nicol David mengheret lawannya, pemain wanita nombor satu dunia, Rachael Grinham untuk bertarung selama 71 minit sebelum tewas 9-3, 8-10, 2-9, 9-1, 10-8 pada separuh akhir Kejohanan Qatar Airways 2005 di Kompleks Tenis dan Skuasy Khalifa di sini, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Grinham membalas dendam atas dua kekalahannya kepada Nicol di separuh akhir Terbuka Shanghai dan Terbuka Kuwait sebelum ini.

``Pada asasnya (fizikal), perlawanan menentang Nicol memang sukar. Dia membuatkan anda terpaksa berlari tanpa berhenti.

``Secara mental juga, perlawanan ini memang terlalu sukar sehingga terpaksa memberikan aksi lebih daripada 180 peratus.

``Dalam set terakhir, saya terpaksa mengerah tenaga untuk mendapatkan bola. Saya tidak pernah berbuat demikian sebelum ini,'' kata Grinham selepas perlawanan tamat semalam.

``Bagaimanapun, apa yang baik ialah esok hari rehat sebelum aksi final. Saudara saya, (Natalie Grinham) pernah bermain lima set dengan Nicol dalam separuh akhir dan dia terkulai pada hari final keesokkan harinya. Dia tidak boleh bergerak,'' kata pemain berusia 29 tahun itu.

Nicol, 21, yang beralih menjadi pemain profesional pada 2003 dan sekarang mendudukki ranking nombor empat mengakui bahawa pengalaman menjadi faktor kepada kemenangan Grinham.

``Tumpuan saya terganggu dalam perlawanan, sehinggalah set terakhir baru saya boleh memberikan fokus. Kami masing-masing mahu menang,'' kata Nicol.

``Saya mencuba sebaik mungkin tetapi akhirnya Grinham membuktikan bahawa dia lebih berpengalaman,'' tambahnya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iQK9yl2O
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan