Jumaat, 30 November 2018

Nicol juara lagi


 
ARKIB : 28/09/2009
Nicol juara lagi
Nicol makin hampiri rekod juara dunia terbanyak lima kali Sarah Fitz-Gerald dari Australia selepas turut bergelar juara di Manchester tahun lalu, Belfast dan Hong Kong.

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menemui penawar yang dicari-cari ekoran kegagalan pada Terbuka Britain lalu dengan mempertahankan gelaran Terbuka Dunia Wanita sekali gus menjulang trofinya buat kali keempat, semalam.

Turun selaku pilihan utama kejohanan, wanita kelahiran Pulau Pinang ini menewaskan musuh ketatnya dari Australia, Natalie Grinham 3-11, 11-6, 11-3, 11-8 pada perlawanan akhir di Stadium Frans Otten, Amsterdam, Belanda.

Nicol kini menghampiri rekod juara terbanyak lima kali dari Australia, Sarah Fitz-Gerald selepas turut bergelar juara di Manchester tahun lalu, Belfast (2006) dan Hong Kong (2005).

Kali ini dia memerlukan 51 minit untuk menikmati kembali kejuaraan berprestij skuasy itu tetapi masih tidak sehebat pertemuan mereka dalam perlawanan akhir kejohanan sama di Belfast yang memakan 98 minit.

Nicol turut melebarkan rekod kemenangannya ke atas Natalie yang sekali gus mengulangi kemenangan pada perlawanan akhir Master Singapura, bulan lalu untuk muncul juara buat kali ketiga.

Terdahulu dalam separuh akhir, Nicol menewaskan pemain England, Alison Waters 4-11, 11-6, 15-13, 11-7 dalam tempoh lebih sejam sementara Natalie menewaskan kakaknya, juara Terbuka Britain, Rachael Grinham 11-13, 11-6, 11-6, 11-4 selepas 37 minit.

Kata Nicol dalam laman web www.womensworldopen.com, "Natalie bermain cemerlang malah inilah yang terbaik sepanjang pertemuan kami. Saya tidak boleh memberikan sebarang peluang kerana dia bijak menyambarnya namun keyakinan saya bertambah selepas meraih tiga mata pertama.

"Selepas kalah set pertama, saya cuba terus bertahan dan melupakan kekalahan itu manakala set ketiga, saya mulai fokus meraih mata seterusnya mengejar bola.

"Saya lega perlawanan ini sudah tamat. Aksi rali berterusan, hebat sebab rali sepanjang masa. Saya terpaksa tunggu kerana dia tidak memberikan sebarang ruang kepada saya untuk menyerang.

"Tapi, dia mengalah dan mula memberi beberapa peluang. Saya kena pastikan saya perlu mendahului dan saya peroleh sedikit peluang untuk melakukannya.

"Lega rasanya melihat aksi tadi. Ia memerlukan kesabaran dan bukan hanya pukulan padu.

"Ini merupakan kejayaan pertama saya sebagai pemain nombor satu dunia memenangi kejuaraan dunia dan saya tahu, semua menanti kemenangan saya," katanya.

Sepanjang tahun ini, Nicol sudah merangkul enam lagi gelaran, Terbuka Cayman Island, Terbuka Texas, Terbuka Kota Seoul, Sukan Dunia, Terbuka Malaysia dan Master Singapura.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YLroE3rQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Azlan, Nicol mara ke suku akhir


 
ARKIB : 13/09/2009
NICOL David mudah menyingkirkan pemain Britain, Lauren Briggs 11-5, 11-4, 11-5 dalam skuasy Terbuka Britain di Manchester, semalam.

MANCHESTER – Mohd. Azlan Iskandar melakar kejutan dengan menumbangkan bekas pemain No. 1 dunia dan juara dunia, Thierry Lincou buat kali pertama untuk mengiringi ratu skuasy negara, Datuk Nicol David ke suku akhir Terbuka Britain, semalam.

Bagaimanapun, kemaraan Azlan dan Nicol gagal diiringi oleh seorang lagi pemain negara, Ong Beng Hee yang tersingkir di pusingan kedua.

Turun sebagai pilihan ke-12, Azlan, yang tidak pernah memenangi kesemua empat pertemuan terdahulu menentang Lincou, juara dunia 2004 berjaya mengetepikan bintang Perancis itu 11-13, 11-4, 5-11, 14-12, 11-5 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 1 jam, 31 minit.

Kemenangan Azlan menjadikan perebutan kejuaraan lelaki semakin terbuka selepas terdahulu, pemain tuan rumah, James Willstrop melakar kejutan terbesar dengan menyingkirkan pemain No. 1 dunia, Karim Darwish yang menarik diri pada kedudukan 5-11, 4-2 kerana kecederaan.

Willstrop, pilihan ke-10 kini akan menjadi pencabar Azlan untuk merebut tiket separuh akhir, hari ini.

Sementara itu, Nicol tidak menghadapi banyak masalah untuk meneruskan kempen memburu kejuaraan keempat apabila mudah menyingkirkan pemain tuan rumah, Lauren Briggs 11-5, 11-4, 11-5 dalam masa 28 minit.

Kemenangan tersebut bakal menemukan juara dunia itu dengan pencabar dari Ireland, Madeline Perry, yang mara selepas menumpaskan pemain Denmark, Line Hansen 11-9, 11-5, 11-2.

Begitupun harapan untuk melihat seorang lagi pemain Malaysia berada di suku akhir berakhir selepas Beng Hee terpaksa akur dengan kekalahan 7-11, 7-11, 8-11 kepada pemain tuan rumah dan pilihan keenam, Peter Barker.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YLhTDpMR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 29 November 2018

Hatrik Nicol di Singapura


 

ARKIB : 09/08/2009
Hatrik Nicol di Singapura
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
sukan@utusan.com.my
SEPERTI yang diduga, Nicol David sekali lagi berjaya dalam 'pertempuran' merebut gelaran kali ini muncul juara Skuasy Masters Singapura buat kali ketiga berturut-turut mengalahkan Natalie Grinham di Singapura, semalam.

KUALA LUMPUR - Bintang skuasy Malaysia, Datuk Nicol David nyata tidak mampu disentuh ketika ini. Dan, semalam dia merangkul kejuaraan antarabangsa kelimanya pada tahun 2009 dengan muncul juara Masters Singapura buat kali ketiga berturut-turut.

Jaguh No. 1 dunia itu menumpaskan musuh tradisinya dan pemain No. 3 dunia, Natalie Grinham dari Belanda 11-9, 11-8, 11-9 dalam masa 40 minit.

Malah, Nicol, 25, turut mengukuhkan dominasinya di pentas skuasy wanita dunia dengan merangkul kejuaraan ke-39 keseluruhan dalam kalendar Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA).

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut Nicol mengecewakan adik-beradik Grinham pada final Masters Singapura. Dia menumpaskan Natalie pada 2009 dan 2007, dan menundukkan Rachael pada 2008.

Sebelum perlawanan bermula, pengadil, Munir Shah dari Singapura memperkenalkan kedua-dua pemain dengan panjang lebar, malah sempat menyanyikan sebuah lagu.

Set pertama berlangsung dengan amat rapat apabila kedua-dua pemain saling kejar mengejar mata, malah kedudukan seketika terikat 8-8 sebelum Nicol akhirnya berjaya mencipta jurang dan memenangi saingan.

Grinham mendominasi di awal set kedua, termasuk mendahului 6-1 dan 8-2. Begitupun, semangat kental Nicol menyaksikan dia meraih sembilan mata berturut-turut untuk menang 11-8.

Selepas mendahului 2-0, Nicol tidak lagi memandang ke belakang pada set ketiga. Biarpun diberi tentangan sengit oleh Grinham, dia menang 11-9 untuk mengesahkan kejuaraan.

"Saya rasa, kunci kemenangan saya hari ini adalah kerana menumpukan kepada perkara-perkara kecil. Lebih baik saya beri tumpuan kepada permainan sendiri daripada bimbangkan tentang lawan.

"Saya juga sentiasa memastikan bahawa saya hanya akan memberikan yang terbaik, setiap kali memasuki gelanggang,'' ujar Nicol, yang sebelum ini turut menjuarai Terbuka Malaysia, Seoul, Texas dan Cayman Island.

Bagi Grinham pula, dia telah melakukan yang terbaik untuk memberi tekanan kepada Nicol sepanjang perlawanan ini.

"Set kedua paling penting. Saya tidak rasa saya melakukan banyak kesilapan, sebaliknya Nicol yang bermain dengan baik dan berjuang untuk bangkit.

"Sejak beberapa tahun lalu saya bergelut dengan kecederaan, namun sekarang semuanya dalam keadaan terbaik. Saya datang ke sini dengan fizikal yang mantap dan saya benar-benar ingin membawa pulang gelaran di Singapura,'' akui Grinham.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJjf8T22
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol bukan sekadar juara


 
ARKIB : 02/08/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
NICOL David (kiri)beraksi menentang Alison Waters pada aksi akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia-CIMB 2009 di The Curve, Damansara, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA – Bukan sahaja dapat mempertahankan kejuaraan malah Datuk Nicol David muncul sebagai pemain wanita yang paling banyak meraih gelaran Terbuka Malaysia mengatasi Michelle Martin dari Australia (1991,1992, 1993 dan 1994).

Pemain nombor satu dunia itu meraih gelaran kelima Terbuka Malaysia berturut-turut selepas menewaskan Alison Waters dari England 11-6, 11-8, 9-11, 11-7 dalam saingan akhir di pusat membeli-belah The Curve.

Walaupun menang mudah pada set pertama, lawannya yang merupakan pemain pilihan keempat mula mempamerkan peningkatan pada set kedua dan menewaskan Nicol di set ketiga.

Namun pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak mudah melatah untuk mencatat kemenangan di set terakhir dan pada satu ketika meninggalkan lawannya 4-0 sebelum disamakan Waters 5-5 dan menang 11-7 mengakhiri perlawanan dalam tempoh sejam itu.

Nicol yang beraksi pada perlawanan akhir kejohanan tersebut buat kali ketujuh berturut-turut berkata, dia menjangkakan saingan yang sengit dari Waters bagaimanapun bertekad untuk mengerah segala kudrat yang ada.

“Saya cuba memberi persembahan terbaik walaupun tewas pada set ketiga dan di set penentuan saya berasa lega apabila beraksi untuk mata akhir kejohanan,” katanya selepas saingan tamat semalam.

Kata Nicol, dia akan pulang ke Pulau Pinang selepas ini untuk berehat dan menghadiri perkahwinan kakaknya.

“Saya tidak perasan bahawa ini kejuaraan kali kelima saya dan berjanji akan melakukan yang terbaik di Terbuka Singapura minggu depan,” katanya yang meraih hadiah wang tunai AS$$8,122 (RM29,500).

Kemenangan tersebut melebarkan rekod Nicol ke atas Waters 10-0 dan meraih gelaran juara buat kali keempat musim ini selepas menang di Terbuka Cayman Island, Texas dan Seoul.

Sementara itu dalam kategori lelaki, pemain pilihan utama Amr Shabana tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan Nick Matthew dari England 5-11, 11-9, 11-6, 11-4 .
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YIzsspOJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol Perkasa


 
ARKIB : 01/08/2009
Oleh HISYAMMUDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
Nicol David cuba mengambil bola hasil pukulan Natalie Grinham (belakang) pada aksi seprauh akhir Skuasy Terbuka Malaysia-CIMB di The Curve semalam. Nicol berjaya ke akhir dan akan bertemu Alison Waters hari ini. - BERNAMA

PETALING JAYA - Pemain skuasy No. 1 wanita dunia, Datuk Nicol Ann David dipaksa berkerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas Natalie Grinham pada separuh akhir perseorangan wanita skuasy Terbuka Malaysia, semalam.

Nicol mencatat kemenangan permainan terus 11-6, 15-13, 12-10 ke atas pemain No. 3 dunia itu, sekali gus mengesahkan tempat pada perlawanan akhir, hari ini.

Pemain skuasy kebanggaan Malaysia itu dilihat diberi tentangan hebat oleh Grinham yang mewakili Belanda sebelum mengesahkan kemenangan setelah beraksi 46 minit.

Nicol berkata, dia memberi fokus tinggi dan melakukan yang terbaik pada set kedua dan ketiga sebelum meraih kemenangan.

"Grinham memberi tentangan hebat kepada saya dan dia juga bermain dengan baik. Saya mengetahui bahawa kemenangan di set kedua adalah sangat penting bagi membolehkan saya mendapat kelebihan untuk menang.

"Oleh itu, saya memberi tumpuan penuh pada set kedua dan ketiga. Saya mengekalkan momentum permainan dan akhirnya berjaya mencipta kemenangan," katanya selepas tamat perlawanan, semalam.

Perlawanan akhir hari ini akan menemukan Nicol dengan pemain England, Alison Waters yang menumpaskan Rachael Grinham dari Australia 11-1, 11-4, 11-4 dalam masa 44 minit.

Ditanya mengenai perlawanan akhir, Nicol berkata, dia berharap akan pulih daripada kepenatan selepas beraksi pada perlawanan separuh akhir.

Katanya, dia begitu yakin bahawa Waters akan memberi tentangan sengit kepadanya dan mahu memberi tumpuan penuh kepada perlawanan hari ini.

Meskipun Waters tidak pernah mencatat kemenangan ke atas beliau, Nicol tidak mahu terleka dan mahu melakukan yang terbaik.

Sementara itu, perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki menyaksikan Amr Shabana dari Mesir melangkah ke perlawanan akhir setelah menumpaskan James Willstrop dari England untuk berjumpa pemain England, Nick Matthew.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YIyfBBF7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 15 September 2018

Nicol bolot Terbuka Texas

ARKIB : 19/05/2009
KUALA LUMPUR - Seperti dendam yang tiada kesudahan, pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol David sekali lagi menewaskan pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger untuk muncul juara Terbuka Texas, semalam.
Selepas dimalukan di hadapan penyokong sendiri di Terbuka Kuala Lumpur CIMB Mac lalu oleh Grainger kini tiba giliran Nicol pula melakukan perkara yang sama selepas mencatat kemenangan 7-11, 12-10, 11-5, 11-6 dalam tempoh 39 minit.
Kejuaraan kedua yang dirangkul Nicol tahun ini mengulangi persembahannya pada 11 Mei lalu apabila dia menewaskan Grainger di Terbuka Kepulauan Caymen dalam perlawanan akhir yang ke-50 mereka.
Pada perlawanan separuh akhir, kelmarin Nicol menewaskan pemain nombor lima dunia, Jenny Duncalf dari England, manakala Grainger pula menewaskan Natalie Grinham dari Belanda.
Ini adalah kejuaraan pertamanya di Terbuka Texas dan dia sudah beraksi dalam 51 perlawanan akhir dalam jelajah profesional wanita mengatasi Rachel Grinham, 50 kejuaraan.
Pencapaian terbaik Nicol di Terbuka Texas ialah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada 2005 manakala Grainger pernah muncul juara pada 2007.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5RDhLdVx7 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Khamis, 25 Januari 2018

Camille kecewakan Nicol

NICOL DAVID
Devinder Singh
devinder@nst.com.my
 
PELUANG Nicol David untuk menjulang Kejohanan Juara-Juara musnah selepas ditundukkan Camille Serme di suku akhir yang berlangsung semalam.

Camille yang juga juara bertahan, bangkit dari ketinggalan sebelum menang 2-11, 12-10, 11-8, 11-5 dalam tempoh 50 minit sekali gus mencatat kemenangan kedua ke atas Nicol sepanjang 20 pertemuan antara mereka.

Selepas cemerlang dan hanya membenarkan lawan memperoleh dua mata di set pertama, Nicol yang juga pemain nombor enam dunia itu ketinggalan 10-7 di set kedua sebelum mengheret perlawanan ke tie-break hasil kesilapan Camille.

Tetapi Camille bangkit memperbaiki keadaan dan menyamakan kedudukan 1-1 sebelum memenangi dua set seterusnya untuk ke separuh akhir.

“Nicol terlalu kuat di set pertama sedangkan saya masih belum bersedia sepenuhnya,” kata Camille. “Perlawanan hari ini berlangsung sengit dan saya terpaksa mengerah setiap tenaga. Mujur saya berjaya muncul pemenang.”

Kekalahan itu melebarkan lagi jurang kekecewaan Nicol yang gagal layak ke separuh akhir di tujuh kejohanan sejak Terbuka British, Mac tahun lalu.


SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:35 PMS

Jumaat, 19 Januari 2018

Nicol gagal pertahan gelaran

ARKIB : 08/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
NICOL David (kanan) mempamerkan persembahan bertenaga walaupun tewas kepada Natalie Grainger pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam. - Mingguan/Halim Khalid

KUALA LUMPUR - Permainan mantap tetapi gagal. Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David terpaksa menerima hakikat tidak terdaya untuk merangkul kejuaraan pertama musim ini apabila tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam.

Nicol yang sebelum ini mencatat kemenangan tanpa kalah 56 perlawanan berturut-turut sejak November 2007, tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger, 8-11, 12-10, 7-11, 11-5, 6-11 dalam rali sepanjang 51 minit.

Petanda awal bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak mampu untuk merangkul kejuaraan keenam kejohanan tersebut menjelma pada set pertama apabila dia tewas 8-11 kepada pemain pilihan keempat itu.

Bagaimanapun, Nicol berjaya bangkit pada set seterusnya dengan menang 12-10 tetapi masalah garisan di bahagian bawah gelanggang yang sering tertanggal pada set ketiga mengganggu tumpuannya ketika mendahului 5-4 dan Grainger, 32, mengambil kesempatan untuk menang 7-11.

Sokongan padu penonton berjaya membantu Nicol untuk menang pada set keempat 11-5 tetapi ternyata tuah tidak memihak kepada pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila gagal di set penentuan, 6-11 ketika kedua-dua pemain saling berkejar mata.

Nicol berkata, memang sukar untuk menewaskan pemain yang berada pada tahap terbaik dan menguasai perlawanan sejak dari awal tetapi dia yakin akan bangkit semula pada kejohanan seterusnya.

"Walau apa pun terjadi saya tidak boleh memberi alasan kerana lawan saya ternyata bermain dengan baik hari ini (semalam)," kata pemain berusia 26 tahun itu selepas perlawanan tamat di Berjaya Times Square.

Kata Nicol, permainannya tidak menentu, adakalanya menurun dan naik memberikan peluang kepada lawannya untuk bermain bermati-matian sekali gus merampas kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

"Saya masih belum pasti mengenai kejohanan selepas ini, mungkin ia akan berlangsung Mei ini berikutan ada beberapa kejohanan yang masih belum diketahui siapa penaja mereka.

"Saya akan pulang semula ke Belanda minggu depan dan menjalani latihan seperti biasa," katanya yang memenangi AS$$6,075 (RM22,700) selaku naib juara manakala Grainger meraih AS$$8,550 (RM31,900)

Kategori lelaki menyaksikan pemain pilihan pertama, Peter Barker dari England tidak diberi tentangan sengit dari rakan senegara Andrian Grant apabila menang 11-6, 11-2, 11-4 untuk membawa AS$$7,600 (RM29,000) selaku juara.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz54djeHZEW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 9 Januari 2018

Nicol tepati ramalan ke akhir

ARKIB : 07/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
NICOL David tenang mengawal permainan ketika menentang lawannya dari Australia, Rachael Grinham pada pertemuan separuh akhir wanita Kejohanan Squasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2009 di Kuala Lumpur, semalam. - bernama

KUALA LUMPUR - Cerita duka berjaya diubah menjadi gembira oleh Datuk Nicol David apabila menang dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Kuala Lumpur CIMB walaupun rakannya Ong Beng Hee tewas pada saingan kategori lelaki, semalam.

Pemain No. 1 dunia itu hanya memerlukan 34 minit untuk menewaskan lawannya dari Australia, Rachael Grinham 9-11, 11-7, 11-5, 11-8 di Berjaya Times Square.

Nicol yang merupakan juara bertahan, cemas seketika apabila tewas pada set pertama 9-11 walaupun mendahului 7-6 sebelum mempamerkan permainan bertenaga pada tiga set berikutnya untuk mara ke akhir hari ini.

"Saya berpuas hati dengan permainan hari ini (semalam) dengan memberi fokus sepenuhnya di dalam gelanggang dan mengekalkan rentak permainan," katanya sebaik perlawanan tamat.

Jelasnya, jika terlalu membiarkan Rachael menguasai perlawanan ia bakal mengundang padah walaupun ada seketika lawannya yang merupakan pemain nombor tiga dunia itu cuba untuk memberi cabaran pada dua set terakhir.

"Lawan saya esok (hari ini) merupakan pemain yang hebat dan saya menjangkakan perlawanan akhir nanti akan menyajikan saingan yang sengit antara kedua-dua pemain.

"Saya akan bekerja keras esok walaupun saya pernah mengalahkannya dalam beberapa perlawanan, setiap kali kami berjumpa saya melihat dia sudah bersedia dan saya juga perlu bersedia," ujar Nicol yang tidak pernah tewas dalam 56 perlawanan berturut-turut sejak November 2007.

Sementara itu, lawan Nicol pada babak akhir hari ini ialah Natalie Grainger dari Amerika Syarikat yang menewaskan pemain England, Laura Lengthorn-Massaro 9-11, 11-4, 11-7, 6-11, 11-6.

Lawan Nicol hari ini merupakan pemain pilihan ketiga kejohanan dan sepanjang sembilan kali bertemu Natalie, semuanya disapu bersih oleh pemain nombor satu dunia itu.

Kali terakhir Nicol bertemu Natalie dalam perlawanan akhir ialah pada November 2007, dalam kejohanan Terbuka Cathay Pacific Hong Kong, Nicol menang 9-3, 9-5, 10-8.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz53h9ohhUn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol tempah separuh akhir

ARKIB : 06/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
NICOL David diberi tentangan sengit lawannya dari England, Jenny Duncalf pada aksi suku akhir skuasy Terbuka Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David menepati ramalan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB setelah menumpaskan pemain England, Jenny Duncalf 11-1, 10-12, 11-7, 11-9 di Berjaya Times Square dekat sini, semalam.

Terdahulu, pemain utama lelaki negara, Ong Beng Hee turut mara ke separuh akhir walaupun memerlukan sejam untuk menjinakkan pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan 11-5, 8-11, 11-9, 8-11, 11-1 pada suku akhir.

Nicol pula diberikan tentangan 45 minit dalam suku akhir itu sebelum mampu menempah pertemuan hari ini dengan Rachael Grinham dari Australia yang melepasi rakan senegara Jenny, Alison Waters 11-9, 4-11, 10-12, 11-8, 12-10.

Kemenangan Nicol, 25, itu turut melebarkan rekod bersih 10 pertemuannya dengan pilihan kelima kejohanan bertaraf Emas 45 ini termasuk kali terakhir ketika menewaskan lawan 11-4, 13-11, 11-6 pada suku akhir Master Singapura, Ogos tahun lalu.

Satu lagi separuh akhir hari ini akan menemukan Natalie Grainger dari Amerika Syarikat dengan seorang lagi pemain England, Laura Lengthorn-Massaro yang masing-masing menundukkan Omneya Abdel Kawy (Mesir) dan Natalie Grinham dari Belanda.

Grainger dikerah hingga 42 minit untuk menewaskan Omneya 11-5, 11-5, 9-11, 11-9 sementara Laura hanya mengambil 23 minit untuk menang 11-6, 11-9, 11-6 ke atas adik Rachael itu yang sudah bertukar kerakyatan Australianya.

''Saya terperangkap pada set kedua dan sukar menemui rentak permainan sedangkan Jenny bertambah kuat ketika penghujungnya dan saya sekadar mampu bertahan. Dia bermain baik dan berbahaya.

"Namun, saya tahu menentangnya pasti sentiasa sengit malah saya menjangka perlawanan ini sepatutnya lebih panjang. Saya cuma teruskan kerja keras dan apabila menemui kawalan, semuanya berjalan di laluan saya," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz53h4SoJWn

© Utusan Melayu (M) Bhd