Ahad, 25 Disember 2016

Nicol mandi peluh ke suku akhir



 
Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David (gambar) dipaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Pada aksi pusingan kedua semalam, Nicol yang memburu kejuaraan kali ke-11 berturut-turut, beraksi lima set sebelum menewaskan Joelle King dari New Zealand 11-7, 7-11, 9-11, 11-8, 11-5 dalam tempoh 62 minit.

Di pusingan pertama kelmarin, bekas pemain nombor satu dunia itu turut bergelut dengan permainan lima set untuk menewaskan pemain ranking ke-28 dunia, Tesni Evans dari Wales.


“Joelle berjaya mengawal rentak permainan dengan baik sepanjang perlawanan.

“Jadi saya tahu perlu fokus terhasap corak permainan sendiri dan akhirnya berjaya melakukannya sehingga ke perlawanan terakhir,” katanya.

Pada aksi suku akhir hari ini, Nicol bakal bertemu Camille Serme dari Perancis.

Camille tidak berdepan masalah menewaskan wakil tuan rumah Ho Tze Lok 11-5, 11-5, 11-4 dalam tempoh 25 minit.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:49 AM


Selasa, 20 Disember 2016

Nicol berehat sementara

ARKIB : 04/05/2000
KEJOHANAN Terbuka Malaysia, Ogos depan akan menjadi gelanggang kejohanan terakhir buat puteri skuasy negara, Nicol David sebelum mengambil rehat yang panjang untuk memberi tumpuan kepada pelajaran, NORZIE MOHD. KHASBI melaporkan.

Nicol, 17, akan beraksi dalam empat kejohanan sebelum melupakan skuasy buat sementara waktu dan menumpukan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan diduduki pada hujung tahun ini.

Menurut Nicol, dia tidak meletakkan sebarang sasaran dalam keempat-empat kejohanan terakhir yang akan disertai tetapi berharap untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Asia di Hong Kong, Julai ini.

''Saya akan memperlahankan sedikit aktiviti skuasy untuk memiliki rehat yang cukup dalam menyiapkan diri menghadapi SPM,'' katanya pada sidang akhbar penajaan bersama Hotel Equatorial di Kuala Lumpur, semalam.

''Saya akan merindui skuasy tetapi saya perlu mengambil keputusan yang terbaik kerana saya juga tidak mahu mengabaikan pelajaran,'' katanya, yang memperoleh 7A pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), dua tahun lalu.

Selain Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia, Nicol juga akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Pulau Pinang akhir bulan ini, sebelum beraksi pada Kejohanan Terbuka YTL, bulan depan.

Antara gelaran utama yang pernah dirangkul pemain kelahiran Pulau Pinang ini adalah juara remaja Asia, juara Asia, juara Sukan Asia, juara Sukan SEA dan beberapa kejohanan peringkat umur antarabangsa.

Bulan lalu, Nicol muncul naib juara Terbuka Milo 2000, kejohanan sulung sejak bergelar pemain profesional. Nicol dijangka melonjak ke kedudukan 30 ranking terbaik Persatuan Pemain Skuasy Wanita Profesional Antarabangsa (WISPA), yang akan diumumkan minggu depan.

Sementara itu, kecemerlangan yang dipamerkan oleh Nicol terus membolehkannya menerima pelbagai sumbangan dan semalam Hotel Equatorial mengumumkan penajaan selama dua tahun ke atas pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

''Bagaimanapun kami tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar penajaan yang diberikan kepada Nicol atas permintaan kedua ibu bapanya,'' kata Timbalan Presiden Perhubungan Korporat Hotel Equatorial, Donald Lim.

''Kami harap penajaan ini sedikit sebanyak dapat membantu Nicol unt

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TOuQIiaX © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuasy Remaja: Kita yakin juarai kategori lelaki, wanita


 

ARKIB : 28/04/2000
PEMAIN remaja kebangsaan dari kiri Sagita, Nabilla, Cheryl dan Wee Wern bergambar bersama trofi Piala Asia selepas majlis penyerahan sumbangan bernilai RM70,000 daripada Mulpha International Bhd., kepada Persekutuan Skuasy Asia di Subang Jaya semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLI.

PASUKAN Malaysia yakin menjuarai kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Skuasy Remaja Piala Asia yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur bermula 12 hingga 18 Disember depan, lapor RADZLIYANA RADZUWAN.

Begitupun, Malaysia perlu memastikan kedudukan dalam kelompok lapan pasukan terbaik dalam senarai Persekutuan Skuasy Asia (ASF) yang akan dikeluarkan Julai ini.

''Kita hanya membuka peluang kepada lapan negara Asia yang berjaya menempatkan diri dalam senarai teratas berdasarkan kedudukan ranking untuk beraksi merebut gelaran berprestij ini,'' kata Presiden ASF, Mokhzani Mahathir pada majlis penyampaian sumbangan bernilai RM70,000 daripada Mulpha International Bhd. yang diwakili pengarahnya, Dennis Low kepada ASF di Subang Jaya semalam.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung selama tujuh hari itu bakal menyaksikan kehebatan peserta remaja beraksi untuk merebut piala kejohanan selain hadiah wang tunai bernilai RM18,000.

Dalam perkembangan berkaitan, tujuh pemain remaja kebangsaan turut mendapat hak penajaan daripada Mulpha yang merupakan pengedar rangkaian produk HEAD Sports.

Pemain remaja tersebut termasuk Cheryl David, Low Wee Wern, Nabilla Ariffin, Sagita Paramalingam, Aaron Soyza, Mohd Azlan Iskandar dan Elvinn Keo Jinn Chung.

Menurut Dennis, pihaknya berbangga dapat meneruskan kerjasama dengan ASF dalam usaha menyediakan bantuan penajaan untuk melahirkan pemain skuasy berbakat dan mampu beraksi cemerlang di gelanggang antarabangsa.

Mulpha turut memperuntukkan jumlah penajaan sebanyak RM200,000 sepanjang tahun ini bagi memastikan keseluruhan program berjalan lancar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Kol. (B) Wong Ah Jit berkata, pihaknya percaya skuad remaja kebangsaan tidak mengalami sebarang masalah untuk menempat diri dalam kelompok lapan negara teratas Asia.

''Kita telah menyaksikan kecemerlangan pemain skuasy remaja di persada antarabangsa dan saya yakin mereka tidak mempunyai masalah untuk mengulangi kejayaan.

''Kemenangan pasti menyebelahi skuad negara sekiranya prestasi semasa juara dan naib juara Terbuka Milo Ong Beng Hee dan Nicol David menjadi ukuran,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TNDZn0Wp © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Nicol David mudah kesuku akhir

ARKIB : 14/04/2000
JUARA remaja Asia dan dunia, Nicol David tidak menghadapi masalah mengetepikan cabaran pemain Mesir, Engy Kheirallah untuk layak ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Milo 2000 di Pusat Skuasy Negara, Jalan Duta, semalam.

Nicol yang ketinggalan 5-1 pada set pertama kepada pemain yang pernah ditemuinya pada Kejohanan Remaja Dunia di Antwerp, Belgium tahun lalu bangkit selepas Engy yang menduduki ranking ke-86 dunia melakukan beberapa kesilapan.

''Dia menguasai awal permainan tetapi disebabkan beberapa kesilapan yang dilakukannya, ia memberi keyakinan kepada saya,'' katanya Nicol yang menang straight set 9-2,9-5, 9-1.

''Engy melakukan pukulan-pukulan yang baik. Malangnya dia tidak konsisten.''

Dalam bahagian lelaki, Ong Beng Hee, Kenneth Low dan Mohammad Azlan Iskandar turut melepasi halangan ke suku akhir.

Beng Hee menewaskan Jose Facchini dari Itali 15-12, 15-10, 15-8 sementara Kenneth menamatkan cabaran pemain Mesir, Mohammad Abbas 15-11, 5-15, 15-9, 6-15, 15-5.

Azlan melakukan kejutan dengan menewaskan pilihan ke-5/8, Muhammad Ilyas dari Pakistan 11-15, 15-11, 15-8, 15-13 dalam pertarungan hampir sejam.

Dengan kemenangan itu, Azlan akan bertemu pemain nombor 39 dunia, Anthony Ricketts dari Australia pada suku akhir hari ini.

Dua lagi pemain wanita, Kuan Choy Lin dan Sharon Wee mengalami nasib yang berbeza.

Choy Lin menewaskan pemain Jepun, Mami Nisho 9-4, 9-0, 9-2 sementara Sharon terpaksa mengakui kehebatan pemain yang menduduki ranking ke-14 dunia, Rachel Grinham apabila tewas 9-6, 9-6, 9-4.

Oleh: DALLIA DUNSTAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4TGub9tDL © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Disember 2016

Beng Hee cipta sejarah tersendiri

ARKIB : 08/04/2000
PEMAIN nombor satu negara, Ong Beng Hee diletakkan sebagai pilihan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Milo, kali pertama jaguh negara diberikan pengiktirafan itu sejak kejohanan skuasy tertua di Malaysia itu dinaik taraf sebagai acara bertaraf antarabangsa pada 1996.

Kejohanan itu, dari 11 hingga 16 April ini di Pusat Skuasy Negara di Kuala Lumpur, turut menampilkan puteri skuasy kebangsaan dan Olahragawati 1999, Nicole David sebagai pilihan keempat.

Undian rasmi kejohanan tersebut dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam. Pusingan kelayakan dilangsungkan selama tiga hari bermula 11 April sebelum pertandingan untuk undian utama bermula dari 13 hingga 16 April.

Beng Hee yang baru saja pulang dari England Rabu lalu selepas memenangi kejohanan ketiganya dalam siri Kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada Terbuka Itali berkata dia yakin mampu memberikan persembahan baik sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.

''Saya semakin bersemangat selepas memenangi Terbuka Itali dan yakin akan mempertahankan kejuaraan,'' kata pemain ke-37 dunia itu kepada pemberita.

Sementara bekas pemain nombor satu negara, Kenneth diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan yang mula diadakan pada 1973 itu.

Tahun lepas Beng Hee yang juga bekas juara remaja dunia, menewaskan rakan senegara, Kenneth Low pada perlawanan akhir.

Seorang lagi pemain lelaki negara yang diletakkan dalam unidan utama ialah pemain ke-240 dunia, Mohd. Azlan Iskandar.

Sementara itu, juara remaja wanita dunia, Nicol yang kini menduduki tangga ke-50 dunia akan menghadapi cabaran dari pemain-pemain Mesir yang muncul juara remaja wanita berpasukan dunia tahun lepas.

Mesir ternyata bersungguh-sungguh untuk menjuarai kejohanan ini apabila menghantar Engy Kheirallah, Eman El Amir dan Omneya Abdel Kawy yang berganding bahu menewaskan pasukan wanita negara pada separuh akhir Kejohanan Remaja Wanita Dunia di Belgium tahun lepas.

Turut memberikan cabaran ialah pemain ke-14 dunia, Rachael Grinham dari Australia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan.

Sementara itu, Presiden SRAM, Datuk Nik Mohd. Din berkata, pihaknya berharap agar Milo selaku penaja dapat meningkatkan jumlah hadiah wang sehingga AS$15,000 (RM57,000) bagi kategori lelaki dan AS$10,000 (RM38,000) bagi acara wanita pada kejohanan tahun depan sekali gus menaikkan taraf kejohanan kepada satu bintang.

''Penambahan jumlah wang hadiah akan menarik lebih ramai pemain terbaik dunia menyertai kejohanan Terbuka Milo. Ini kerana ranking mata dunia adalah berdasarkan kepada jumlah hadiah sesuatu kejohanan.

Lebih tinggi ranking seseorang pemain, dia akan memilih untuk bermain di kejohanan besar sahaja kerana menyertai kejohanan yang menyediakan jumlah wang hadiah yang kecil boleh mengakibatkannya kehilangan purata mata sekali gus menjejaskan kedudukannya pada ranking dunia,'' kata Nik Mohd. Din.

Tahun ini, hadiah sebanyak AS$5,000 (RM19,000) disediakan kepada kedua-dua kategori. Milo menyumbang sebanyak RM60,000 untuk kejohanan itu.

Sebuah trofi baru, dinamakan sempena mendiang Datuk Alex Lee, Presiden SRAM disediakan untuk kedua-dua kategori.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TFnNmHnU © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 Disember 2016

Nicol tumpu pelajaran tahun 2000


 

ARKIB : 25/12/1999
JUARA remaja dunia, Nicol David merenung trofi kemenangannya selepas muncul juara Kejohanan Remaja Terbuka Britain Bawah 19 Tahun di Sheffield - kali kelima berturut-turut sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. - Gambar IZHAM JAAFAR.

JUARA skuasy remaja dunia dan Asia, Nicol David akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal ditempuhi pada tahun 2000.

Menurut pemain nombor satu negara itu, dia mungkin tidak akan melibatkan diri secara aktif dengan mana-mana kejohanan remaja dunia untuk sementara waktu.

Nicol tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang semalam selepas menjuarai Kejohanan Terbuka Remaja Bawah 19 Tahun Britain di Sheffield, kelmarin.

Turut hadir menyambut ketibaannya semalam ialah Pengarah Eksekutif Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Kolonel (B) Wong Ah Jit.

Menurut Ah Jit, SRAM akan memberikan kelonggaran kepada Nicol tahun depan tetapi pada tahun 2001, dia akan kembali beraksi secara aktif di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Nicol juga menganggap kejayaannya untuk muncul juara di Sheffield itu hanya merupakan salah satu koleksi kemenangannya untuk tahun ini.

''Saya tidak menganggap ia sebagai sejarah tetapi kejayaan ini hanya tambahan pada rekod peribadi saya sebelum ini,'' katanya.

Apa yang menarik mengenai kejayaan Nicol kali ini ialah, dia menjadi pemain terakhir memenangi kejuaraan itu abad ini. Januari lalu, dia muncul juara pada kejohanan yang sama untuk kategori bawah 17.

Pada kejohanan ini, Nicol pernah muncul juara bawah 14 sebanyak dua kali. Dia menjadi juara bawah 16 pada 1998.

''Jika ada pihak menganggap kemenangan saya sesuatu yang bersejarah, saya amat berbangga. Bagi saya ia hanya menambah koleksi kemenangan,'' menurut anak kedua daripada tiga adik beradik itu.

Pada perlawanan akhir kejohanan itu, Nicol menewaskan pemain tuan rumah, Vicki Lancaster 1-9, 9-1, 9-2, 9-6 dalam 30 minit.

Dia juga mengatakan bahawa tahap permainan pada kejohanan itu telah menurun kerana kebanyakan pemain sudah melebihi usia dan tidak layak bertanding.

''Setelah lima tahun berada di perantauan kerana menyertai kejohanan setiap kali Krisma, saya tidak sabar bersama keluarga untuk meraikannya,'' kata Nicol, yang kemudian menyambung penerbangan ke Pulau Pinang, semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SnBBvWrE © Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol David, Siu Lynn hebat


 

ARKIB : 24/12/1999
NICOL DAVID

JUARA Asia, Nicol David dan Leong Siu Lynn menutup lembaran skuasy negara tahun ini dengan kejayaan berganda apabila masing-masing merangkul kejuaraan remaja perempuan di Britain dan Amerika Syarikat.

Nicol mencipta kejayaan paling gemilang dengan menjuarai Kejohanan Remaja Terbuka Britain Bawah 19 Tahun di Sheffield - kemenangan kali kelima berturut-turut pada kejohanan itu.

Nicol muncul pemain pertama berjaya memenangi semua kategori di Terbuka Britain selepas meraih kejuaraan bawah-14 (1996 dan 1997), bawah-16 (1998), bawah-17 (1999) dan bawah-19.

Pemain dari Pulau Pinang itu juga muncul pemain termuda memenangi kategori tersebut, apabila hanya berusia 16 tahun pada 26 Ogos lalu.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 1998 itu muncul juara selepas mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Vicki Lancaster 1-9, 9-1, 9-2, 9-6 dalam pertarungan 30 minit.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran ke-10 Nicol dalam kelas remaja sejak 1996, di mana kejuaraan terbesarnya adalah muncul juara remaja dunia Julai lalu.

Nicol, olahragawati Pulau Pinang juga merupakan juara remaja Asia dan merangkul empat gelaran pada Kejohanan Remaja Terbuka Australia iaitu bawah-13 dan 15 (1996), bawah-17 (1997) dan bawah-19 pada September lalu.

Selain turut unggul pada peringkat senior sebagai juara Asia, Sukan Asia serta Sukan SEA, Nicol juga masih mempunyai dua kesempatan untuk mempertahankan gelaran di Britain.

Sementara itu Siu Lynn, yang pernah mencetus kontroversi kerana keengganan beraksi pada Sukan Asia, meneruskan kecemerlangan sejak kembali aktif pada Sukan SEA lalu.

Bekas juara Asia dan naib juara remaja dunia itu muncul pemain pertama Malaysia menjuarai kejohanan Terbuka Amerika Syarikat bawah-19 di Princeton.

Siu Lynn menang selepas menundukkan pemain tuan rumah, Louisa Hall 9-7, 9-2, 9-5 dalam pertarungan akhir, Selasa lalu.

Nicol dijangka kembali ke tanah air, hari ini, manakala Siu Lynn yang kini menjalani latihan di New York sejak Oktober 1999 hanya akan kembali ke tanahair pada Januari 2000

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Sn8n8U5F © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 6 Disember 2016

Nicol, Siu Lynn cipta sejarah di Antwerp

ARKIB : 01/08/1999
MALAYSIA mencipta sejarah apabila dua jaguh negara - Nicol David dan Leong Siu Lynn mara ke perlawanan akhir acara perseorangan pada Kejohanan Skuasy Wanita Remaja Dunia di Antwerp, Belgium, semalam.

Nicol menempah tempat selepas mengetepikan cabaran pemain Mesir, Engy Khairullah dengan kemenangan mudah 9-4, 9-0 dan 9-0 pada separuh akhir.

Engy ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegaranya, Iman El-Amir dengan 9-6, 3-9, 9-4, 5-9, 9-6, kelmarin.

Begitupun, Siu Lynn terpaksa berhempas pulas dalam permainan lima set sebelum menundukkan seorang lagi pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy.

Siu Lynn menang set pertama dan kedua dengan 9-6 dan 9-2, sebelum pencabarnya itu bangkit memenangi dua set berikutnya 6-9, 8-10 dan 9-4, sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.

Pada set terakhir dan penentuan, Siu Lynn menggunakan segala pengalaman yang ada dalam usaha menyingkirkan pemain Mesir itu dengan kemenangan 9-4 untuk mengesahkan tempat pada pertemuan akhir hari ini.

Omneya Abdel Kawy sebelum ini menumpaskan Vicky Lancester dari England dengan 9-2 9-7 9-7 pada separuh akhir.

Kejayaan Nicol dan Siu Lynn ini menyaksikan pertembungan dua jaguh negara yang turut memastikan mahkota juara dan naib juara menjadi milik mutlak Malaysia.

Kedua-dua pemain juga dijangka mampu memastikan pingat emas buat Malaysia apabila beraksi pada Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.

Nicol akan menyertai acara perseorangan dan berpasukan pada temasya ini, manakala harapan negara dipertaruhkan untuk Siu Lynn dalam acara berpasukan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4S4FFGGqH © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 Disember 2016

Nicol David kekal kejuaraan


 

ARKIB : 28/05/1999
MOHD. AZLAN (kanan) dan Nicol memberikan pose istimewa selepas masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia Milo-Dunlop 1999 di gelanggang Astaka, Petaling Jaya, semalam. - Gambar ZULKARNIAN MOHD. SAIDIN.

JUARA Asia, Nicol David mengekalkan kejuaraan selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Leong Siu Lynn pada perlawanan akhir perseorangan wanita bawah 19 tahun Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Malaysia Dunlop-Milo 1999 di gelanggang Astaka, Petaling Jaya, semalam.

Siu Lynn yang juga bekas juara remaja Asia tumpas straight set 2-9, 1-9, 1-9 dalam masa kurang daripada setengah jam.

Siu Lynn yang ditemui pemberita kemudiannya berkata dia menjangkakan dapat memberikan tentangan yang lebih hebat kepada Nicol namun sasarannya meleset sama sekali.

''Saya mengaku Nicol berada pada prestasi dan kecergasan yang begitu baik,'' katanya selepas gagal menyaingi permainan Nicol yang beraksi pantas.

Bagaimanapun, Nicol memuji corak permainan rakannya berusia 18 tahun itu yang disifatkan masih mempunyai kepakaran untuk menguasai permainan tetapi pemain kidal itu kurang cergas.

''Siu Lyn mampu memberikan tentangan jika dia disenaraikan pada skuad negara ke Kejohanan Remaja Dunia di Belgium, bulan depan tetapi dia harus memastikan kecergasannya pada tahap yang paling maksimum kerana itu adalah elemen yang paling penting bagi seseorang pemain,'' katanya.

Nicol mengatakan ini adalah pertemuan pertamanya dengan Siu Lynn sejak rakannya itu menarik diri daripada skuad negara selepas Sukan Komanwel, September lalu.

Bagi jurulatih peribadi Siu Lynn, Jamsheed Gul adalah terlalu awal untuk memberikan sebarang reaksi kepada persembahan anak buahnya.

''Berilah masa untuk dia kembali pada rentak asalnya dan perlawanan ini hanyalah sebagai salah satu bentuk latihan bagi Siu Lynn.

''Selepas ini saya akan memberikannya tumpuan kepada latihan fizikal kerana ternyata itu adalah kelemahan Siu Lynn kini,'' katanya yang yakin anak didiknya akan memberikan persembahan yang lebih baik pada kejohanan-kejohanan yang lain kelak.

Sementara itu, Mohd. Azlan Iskandar muncul juara lelaki bawah 19 tahun setelah menewaskan pemain pilihan 3/4, Yan Ka Ho dari Hong Kong dengan 9-2, 9-1 dan 9-3.

Juara lelaki remaja dunia, Ong Beng Hee menjuarai kejohanan sebelum ini, tetapi tidak beraksi kerana lebih usia dan menyertai sirkit profesional.
Juara kategori lelaki bawah 17 tahun pula dimenangi oleh pemain pilihan pertama, Mubashir Gul dari Pakistan yang menewaskan pemain remaja negara, Marcus Yeap dengan 3-9, 2-9, 9-3, 9-4 dan 9-0.

Tricia Chuah pula meraih gelaran ketegori bawah 17 selepas mengalahkan teng Ooi Ean dari Perak dengan 9-3, 9-2 dan 9-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmVoz6VM © Utusan Melayu (M) Bhd