ARKIB : 25/12/1999
JUARA remaja dunia, Nicol David
merenung trofi kemenangannya selepas muncul juara Kejohanan Remaja Terbuka
Britain Bawah 19 Tahun di Sheffield - kali kelima berturut-turut sejurus
selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang,
semalam. - Gambar IZHAM JAAFAR.
JUARA skuasy remaja dunia dan
Asia, Nicol David akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya dan
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal ditempuhi pada tahun
2000.
Menurut pemain nombor satu
negara itu, dia mungkin tidak akan melibatkan diri secara aktif dengan
mana-mana kejohanan remaja dunia untuk sementara waktu.
Nicol tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang semalam selepas menjuarai Kejohanan
Terbuka Remaja Bawah 19 Tahun Britain di Sheffield, kelmarin.
Turut hadir menyambut
ketibaannya semalam ialah Pengarah Eksekutif Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM),
Kolonel (B) Wong Ah Jit.
Menurut Ah Jit, SRAM akan
memberikan kelonggaran kepada Nicol tahun depan tetapi pada tahun 2001, dia
akan kembali beraksi secara aktif di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Nicol juga
menganggap kejayaannya untuk muncul juara di Sheffield itu hanya merupakan
salah satu koleksi kemenangannya untuk tahun ini.
''Saya tidak menganggap ia
sebagai sejarah tetapi kejayaan ini hanya tambahan pada rekod peribadi saya sebelum
ini,'' katanya.
Apa yang menarik mengenai
kejayaan Nicol kali ini ialah, dia menjadi pemain terakhir memenangi kejuaraan
itu abad ini. Januari lalu, dia muncul juara pada kejohanan yang sama untuk
kategori bawah 17.
Pada kejohanan ini, Nicol pernah
muncul juara bawah 14 sebanyak dua kali. Dia menjadi juara bawah 16 pada 1998.
''Jika ada pihak menganggap
kemenangan saya sesuatu yang bersejarah, saya amat berbangga. Bagi saya ia
hanya menambah koleksi kemenangan,'' menurut anak kedua daripada tiga adik
beradik itu.
Pada perlawanan akhir kejohanan
itu, Nicol menewaskan pemain tuan rumah, Vicki Lancaster 1-9, 9-1, 9-2, 9-6
dalam 30 minit.
Dia juga mengatakan bahawa
tahap permainan pada kejohanan itu telah menurun kerana kebanyakan pemain sudah
melebihi usia dan tidak layak bertanding.
''Setelah lima tahun berada di
perantauan kerana menyertai kejohanan setiap kali Krisma, saya tidak sabar
bersama keluarga untuk meraikannya,'' kata Nicol, yang kemudian menyambung
penerbangan ke Pulau Pinang, semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SnBBvWrE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan