ARKIB : 28/04/2000
PEMAIN remaja kebangsaan dari
kiri Sagita, Nabilla, Cheryl dan Wee Wern bergambar bersama trofi Piala Asia
selepas majlis penyerahan sumbangan bernilai RM70,000 daripada Mulpha
International Bhd., kepada Persekutuan Skuasy Asia di Subang Jaya semalam. - Gambar
ZULAZHAR SHEBLI.
PASUKAN Malaysia yakin
menjuarai kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Skuasy Remaja Piala Asia
yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur bermula 12 hingga 18 Disember depan,
lapor RADZLIYANA RADZUWAN.
Begitupun, Malaysia perlu memastikan
kedudukan dalam kelompok lapan pasukan terbaik dalam senarai Persekutuan Skuasy
Asia (ASF) yang akan dikeluarkan Julai ini.
''Kita hanya membuka peluang
kepada lapan negara Asia yang berjaya menempatkan diri dalam senarai teratas
berdasarkan kedudukan ranking untuk beraksi merebut gelaran berprestij ini,''
kata Presiden ASF, Mokhzani Mahathir pada majlis penyampaian sumbangan bernilai
RM70,000 daripada Mulpha International Bhd. yang diwakili pengarahnya, Dennis
Low kepada ASF di Subang Jaya semalam.
Kejohanan yang dijadualkan
berlangsung selama tujuh hari itu bakal menyaksikan kehebatan peserta remaja
beraksi untuk merebut piala kejohanan selain hadiah wang tunai bernilai
RM18,000.
Dalam perkembangan berkaitan,
tujuh pemain remaja kebangsaan turut mendapat hak penajaan daripada Mulpha yang
merupakan pengedar rangkaian produk HEAD Sports.
Pemain remaja tersebut termasuk
Cheryl David, Low Wee Wern, Nabilla Ariffin, Sagita Paramalingam, Aaron Soyza,
Mohd Azlan Iskandar dan Elvinn Keo Jinn Chung.
Menurut Dennis, pihaknya
berbangga dapat meneruskan kerjasama dengan ASF dalam usaha menyediakan bantuan
penajaan untuk melahirkan pemain skuasy berbakat dan mampu beraksi cemerlang di
gelanggang antarabangsa.
Mulpha turut memperuntukkan
jumlah penajaan sebanyak RM200,000 sepanjang tahun ini bagi memastikan
keseluruhan program berjalan lancar.
Sementara itu, Pengarah
Eksekutif Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Kol. (B) Wong Ah Jit berkata,
pihaknya percaya skuad remaja kebangsaan tidak mengalami sebarang masalah untuk
menempat diri dalam kelompok lapan negara teratas Asia.
''Kita telah menyaksikan
kecemerlangan pemain skuasy remaja di persada antarabangsa dan saya yakin
mereka tidak mempunyai masalah untuk mengulangi kejayaan.
''Kemenangan pasti menyebelahi
skuad negara sekiranya prestasi semasa juara dan naib juara Terbuka Milo Ong
Beng Hee dan Nicol David menjadi ukuran,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TNDZn0Wp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan