Ahad, 18 Disember 2016

Beng Hee cipta sejarah tersendiri

ARKIB : 08/04/2000
PEMAIN nombor satu negara, Ong Beng Hee diletakkan sebagai pilihan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Milo, kali pertama jaguh negara diberikan pengiktirafan itu sejak kejohanan skuasy tertua di Malaysia itu dinaik taraf sebagai acara bertaraf antarabangsa pada 1996.

Kejohanan itu, dari 11 hingga 16 April ini di Pusat Skuasy Negara di Kuala Lumpur, turut menampilkan puteri skuasy kebangsaan dan Olahragawati 1999, Nicole David sebagai pilihan keempat.

Undian rasmi kejohanan tersebut dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam. Pusingan kelayakan dilangsungkan selama tiga hari bermula 11 April sebelum pertandingan untuk undian utama bermula dari 13 hingga 16 April.

Beng Hee yang baru saja pulang dari England Rabu lalu selepas memenangi kejohanan ketiganya dalam siri Kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada Terbuka Itali berkata dia yakin mampu memberikan persembahan baik sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.

''Saya semakin bersemangat selepas memenangi Terbuka Itali dan yakin akan mempertahankan kejuaraan,'' kata pemain ke-37 dunia itu kepada pemberita.

Sementara bekas pemain nombor satu negara, Kenneth diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan yang mula diadakan pada 1973 itu.

Tahun lepas Beng Hee yang juga bekas juara remaja dunia, menewaskan rakan senegara, Kenneth Low pada perlawanan akhir.

Seorang lagi pemain lelaki negara yang diletakkan dalam unidan utama ialah pemain ke-240 dunia, Mohd. Azlan Iskandar.

Sementara itu, juara remaja wanita dunia, Nicol yang kini menduduki tangga ke-50 dunia akan menghadapi cabaran dari pemain-pemain Mesir yang muncul juara remaja wanita berpasukan dunia tahun lepas.

Mesir ternyata bersungguh-sungguh untuk menjuarai kejohanan ini apabila menghantar Engy Kheirallah, Eman El Amir dan Omneya Abdel Kawy yang berganding bahu menewaskan pasukan wanita negara pada separuh akhir Kejohanan Remaja Wanita Dunia di Belgium tahun lepas.

Turut memberikan cabaran ialah pemain ke-14 dunia, Rachael Grinham dari Australia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan.

Sementara itu, Presiden SRAM, Datuk Nik Mohd. Din berkata, pihaknya berharap agar Milo selaku penaja dapat meningkatkan jumlah hadiah wang sehingga AS$15,000 (RM57,000) bagi kategori lelaki dan AS$10,000 (RM38,000) bagi acara wanita pada kejohanan tahun depan sekali gus menaikkan taraf kejohanan kepada satu bintang.

''Penambahan jumlah wang hadiah akan menarik lebih ramai pemain terbaik dunia menyertai kejohanan Terbuka Milo. Ini kerana ranking mata dunia adalah berdasarkan kepada jumlah hadiah sesuatu kejohanan.

Lebih tinggi ranking seseorang pemain, dia akan memilih untuk bermain di kejohanan besar sahaja kerana menyertai kejohanan yang menyediakan jumlah wang hadiah yang kecil boleh mengakibatkannya kehilangan purata mata sekali gus menjejaskan kedudukannya pada ranking dunia,'' kata Nik Mohd. Din.

Tahun ini, hadiah sebanyak AS$5,000 (RM19,000) disediakan kepada kedua-dua kategori. Milo menyumbang sebanyak RM60,000 untuk kejohanan itu.

Sebuah trofi baru, dinamakan sempena mendiang Datuk Alex Lee, Presiden SRAM disediakan untuk kedua-dua kategori.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TFnNmHnU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan