ARKIB : 28/05/1999
MOHD. AZLAN (kanan) dan Nicol
memberikan pose istimewa selepas masing-masing menjuarai kategori lelaki dan
wanita bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia Milo-Dunlop 1999
di gelanggang Astaka, Petaling Jaya, semalam. - Gambar ZULKARNIAN MOHD. SAIDIN.
JUARA Asia, Nicol David
mengekalkan kejuaraan selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Leong Siu Lynn
pada perlawanan akhir perseorangan wanita bawah 19 tahun Kejohanan Skuasy
Terbuka Remaja Malaysia Dunlop-Milo 1999 di gelanggang Astaka, Petaling Jaya, semalam.
Siu Lynn yang juga bekas juara
remaja Asia tumpas straight set 2-9, 1-9, 1-9 dalam masa kurang daripada
setengah jam.
Siu Lynn yang ditemui pemberita
kemudiannya berkata dia menjangkakan dapat memberikan tentangan yang lebih
hebat kepada Nicol namun sasarannya meleset sama sekali.
''Saya mengaku Nicol berada
pada prestasi dan kecergasan yang begitu baik,'' katanya selepas gagal
menyaingi permainan Nicol yang beraksi pantas.
Bagaimanapun, Nicol memuji
corak permainan rakannya berusia 18 tahun itu yang disifatkan masih mempunyai
kepakaran untuk menguasai permainan tetapi pemain kidal itu kurang cergas.
''Siu Lyn mampu memberikan
tentangan jika dia disenaraikan pada skuad negara ke Kejohanan Remaja Dunia di
Belgium, bulan depan tetapi dia harus memastikan kecergasannya pada tahap yang
paling maksimum kerana itu adalah elemen yang paling penting bagi seseorang
pemain,'' katanya.
Nicol mengatakan ini adalah
pertemuan pertamanya dengan Siu Lynn sejak rakannya itu menarik diri daripada
skuad negara selepas Sukan Komanwel, September lalu.
Bagi jurulatih peribadi Siu
Lynn, Jamsheed Gul adalah terlalu awal untuk memberikan sebarang reaksi kepada
persembahan anak buahnya.
''Berilah masa untuk dia
kembali pada rentak asalnya dan perlawanan ini hanyalah sebagai salah satu
bentuk latihan bagi Siu Lynn.
''Selepas ini saya akan
memberikannya tumpuan kepada latihan fizikal kerana ternyata itu adalah
kelemahan Siu Lynn kini,'' katanya yang yakin anak didiknya akan memberikan
persembahan yang lebih baik pada kejohanan-kejohanan yang lain kelak.
Sementara itu, Mohd. Azlan
Iskandar muncul juara lelaki bawah 19 tahun setelah menewaskan pemain pilihan
3/4, Yan Ka Ho dari Hong Kong dengan 9-2, 9-1 dan 9-3.
Juara lelaki remaja dunia, Ong
Beng Hee menjuarai kejohanan sebelum ini, tetapi tidak beraksi kerana lebih
usia dan menyertai sirkit profesional.
Juara kategori lelaki bawah 17
tahun pula dimenangi oleh pemain pilihan pertama, Mubashir Gul dari Pakistan
yang menewaskan pemain remaja negara, Marcus Yeap dengan 3-9, 2-9, 9-3, 9-4 dan
9-0.
Tricia Chuah pula meraih
gelaran ketegori bawah 17 selepas mengalahkan teng Ooi Ean dari Perak dengan
9-3, 9-2 dan 9-2.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmVoz6VM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan