Isnin, 19 Disember 2016

Nicol David mudah kesuku akhir

ARKIB : 14/04/2000
JUARA remaja Asia dan dunia, Nicol David tidak menghadapi masalah mengetepikan cabaran pemain Mesir, Engy Kheirallah untuk layak ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Milo 2000 di Pusat Skuasy Negara, Jalan Duta, semalam.

Nicol yang ketinggalan 5-1 pada set pertama kepada pemain yang pernah ditemuinya pada Kejohanan Remaja Dunia di Antwerp, Belgium tahun lalu bangkit selepas Engy yang menduduki ranking ke-86 dunia melakukan beberapa kesilapan.

''Dia menguasai awal permainan tetapi disebabkan beberapa kesilapan yang dilakukannya, ia memberi keyakinan kepada saya,'' katanya Nicol yang menang straight set 9-2,9-5, 9-1.

''Engy melakukan pukulan-pukulan yang baik. Malangnya dia tidak konsisten.''

Dalam bahagian lelaki, Ong Beng Hee, Kenneth Low dan Mohammad Azlan Iskandar turut melepasi halangan ke suku akhir.

Beng Hee menewaskan Jose Facchini dari Itali 15-12, 15-10, 15-8 sementara Kenneth menamatkan cabaran pemain Mesir, Mohammad Abbas 15-11, 5-15, 15-9, 6-15, 15-5.

Azlan melakukan kejutan dengan menewaskan pilihan ke-5/8, Muhammad Ilyas dari Pakistan 11-15, 15-11, 15-8, 15-13 dalam pertarungan hampir sejam.

Dengan kemenangan itu, Azlan akan bertemu pemain nombor 39 dunia, Anthony Ricketts dari Australia pada suku akhir hari ini.

Dua lagi pemain wanita, Kuan Choy Lin dan Sharon Wee mengalami nasib yang berbeza.

Choy Lin menewaskan pemain Jepun, Mami Nisho 9-4, 9-0, 9-2 sementara Sharon terpaksa mengakui kehebatan pemain yang menduduki ranking ke-14 dunia, Rachel Grinham apabila tewas 9-6, 9-6, 9-4.

Oleh: DALLIA DUNSTAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4TGub9tDL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan