ARKIB : 28/01/1999
RATU skuasy negara, Nicol Ann
David (kiri) mengukir senyuman lebar bersama Mansoor Zaman dari Pakistan
setelah merangkul gelaran juara perempuan dan lelaki Kejohanan Skuasy Remaja
Asia Kesembilan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam. - Gambar MOHD.
NOOR AMIN.
IMPIAN Ong Beng Hee untuk
mengecap kejayaan terakhir bagi kategori remaja musnah sewaktu rakan
senegaranya, Nicol David menjulang gelaran juara pada Kejohanan Skuasy Remaja
Asia kesembilan di Pusat Skuasy Nasional, malam tadi.
Beng Hee, yang akan menjangkau
usia 20 tahun pada 4 Februari ini tewas kepada lawannya, yang juga pilihan
kedua, Mansoor Zaman dari Pakistan pada perlawanan akhir 9-10, 9-2, 9-3, 9-3.
Ini kali terakhir Beng Hee
dapat beraksi pada kejohanan itu kerana dia tidak lagi dibenarkan menyertai
kejohanan berikutnya yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2001 kerana usia
melebihi had yang ditetapkan.
Bagi Beng Hee, ia merupakan
kekecewaan keduanya pada perlawanan akhir tahun ini selepas tewas pada
perlawanan akhir Terbuka British di Sheffield awal bulan ini.
Sebaliknya, Malaysia yang sudah
dijanjikan gelaran untuk bahagian perempuan mengesahkan kejayaan itu semalam
apabila juara Asia, Nicol menewaskan kakaknya, Cheryl David 9-4, 9-1, 9-1.
Dalam perlawanan semalam, Beng
Hee yang kelihatan agak keletihan banyak melakukan kesilapan ketika bertemu
Mansoor.
Dalam set pertama, kedudukan
mata begitu rapat meskipun Mansoor mendahului 8-7. Beng Hee pada satu ketika
mendahului 4-1.
Bagaimanapun Beng Hee berjaya
memenangi set pertama itu dengan 10-9.
Dalam set kedua pula, Mansoor
yang banyak mengawal rentak permainan di bahagian depan memberikan pukulan drop
yang tajam sehingga menyebabkan Beng Hee gagal untuk membalasnya.
Beng Hee tewas kepada Mansoor
pada set kedua 9-2 dalam masa hanya 17 minit.
Pada set ketiga, Beng Hee
berusaha untuk bangkit tetapi gagal menyaingi Mansoor yang memperlihatkan corak
permainan pantas dan baik.
Meskipun tidak banyak memberi
ruang kepada pemain Pakistan itu bergerak namun nasib nyata tidak menyebelahi
Beng Hee yang tewas dalam masa 16 minit.
Kemenangan pada set ketiga itu
memberi keyakinan kepada Mansoor yang terus mendahului 5-2 sambil menyaksikan
Beng Hee banyak melakukan kesilapan sebelum menang 9-3.
Dengan kemenangan itu bermakna
Mansoor mempertahankan gelaran yang dimenanginya dua tahun lalu.
Mansoor yang ditemui selepas
permainan itu berkata Beng Hee telah bermain dengan baik tetapi dia kelihatan
letih dalam set keempat.
''Saya tidak menyertai banyak
kejohanan pada tahun ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada kejohanan
ini,'' katanya.
Mansoor memang sejak awal
menjangkakan dapat menundukkan Beng Hee dengan straight-set tetapi jelas Beng
Hee berjaya memberikan tentangan sengit kepada pemain Pakistan itu.
Beng Hee yang merupakan juara
Remaja Dunia pula mengakui bahawa dia melakukan banyak kesilapan sehingga
menyebabkan Mansoor berjaya mengawal permainan dengan begitu baik.
''Saya amat terkilan kerana
tidak dapat merampas gelaran juara individu lelaki daripada Mansoor,'' katanya.
Bagaimanapun kekecewaan Malaysia
terubat dengan kejayaan Nicol David.
Nicol pula selepas kejayaannya
semalam berkata: ''Saya akan menumpukan perhatian kepada Sukan SEA yang akan
diadakan di Brunei pada Ogos ini,'' katanya.
Oleh: DALLIA DUNSTAN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PrMT77wg
© Utusan Melayu (M) Bhd