Ahad, 30 April 2017

Nicol mara, Beng Hee tersungkur

ARKIB : 04/11/2004
PEMAIN nombor satu negara, Ong Beng Hee tersungkur dalam pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Britain namun cabaran Malaysia diteruskan oleh pemain utama wanita, Nicol David di Albert Hall, Nottingham semalam.
Seorang lagi wakil negara, Sharon Wee yang melakar kejutan terbesar kejohanan ketika mengejutkan pilihan keenam, Fiona Geaves dari England pada pusingan pertama kelmarin bagaimanapun gagal meneruskan saingan.
Selepas mengejutkan Geaves 10-9, 9-0, 9-6, Sharon, 26, yang beraksi dari pusingan kelayakan terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kesembilan, Omneya Abdel Kawy dari Mesir 2-9, 4-9, 1-9 hanya dalam masa 23 minit.
Terdahulu, Beng Hee, yang diletak sebagai pilihan ke-16 kejohanan nyata bukan tandingan pemain Australia dan pilihan ketujuh, Joe Kneipp apabila tewas 3-11, 6-11, 8-11 dalam masa 35 minit.
Begitupun Nicol, pilihan ketujuh lebih bernasib baik apabila tidak perlu mengeluarkan peluh untuk mara ke pusingan ketiga selepas lawannya, Tania Bailey dari England menarik kerana masalah kesihatan.
``Saya mengalami sakit kerongkong ketika hendak tidur malam tadi, pada mulanya saya fikir ia hanyalah sakit biasa,'' kata Bailey, pilihan ke-16 dan bekas pemain nombor empat dunia.
``Bagaimanapun apabila bangkit hari ini, seluruh badan terasa berat dan saya mengalami sakit kepala yang teruk. Saya tahu saya perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu kerana kesakitan ini.''
Walaupun berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga dengan mudah, Nicol bakal berdepan tugas berat hari ini apabila mementang penyandang juara dan pilihan pertama dari Australia, Rachael Grinham.
Grinham bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan pemain tuan rumah, Vicky Botwright 5-9, 9-7, 9-2, 9-3 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga satu jam, lima minit.
Harapan Malaysia akan turut dipikul oleh Azlan Iskandar yang turun menentang pilihan keempat, Nick Matthew dari England pada perlawanan pusingan kedua hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan