Ahad, 30 April 2017

Nicol mara, Beng Hee tersungkur

ARKIB : 04/11/2004
PEMAIN nombor satu negara, Ong Beng Hee tersungkur dalam pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Britain namun cabaran Malaysia diteruskan oleh pemain utama wanita, Nicol David di Albert Hall, Nottingham semalam.
Seorang lagi wakil negara, Sharon Wee yang melakar kejutan terbesar kejohanan ketika mengejutkan pilihan keenam, Fiona Geaves dari England pada pusingan pertama kelmarin bagaimanapun gagal meneruskan saingan.
Selepas mengejutkan Geaves 10-9, 9-0, 9-6, Sharon, 26, yang beraksi dari pusingan kelayakan terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kesembilan, Omneya Abdel Kawy dari Mesir 2-9, 4-9, 1-9 hanya dalam masa 23 minit.
Terdahulu, Beng Hee, yang diletak sebagai pilihan ke-16 kejohanan nyata bukan tandingan pemain Australia dan pilihan ketujuh, Joe Kneipp apabila tewas 3-11, 6-11, 8-11 dalam masa 35 minit.
Begitupun Nicol, pilihan ketujuh lebih bernasib baik apabila tidak perlu mengeluarkan peluh untuk mara ke pusingan ketiga selepas lawannya, Tania Bailey dari England menarik kerana masalah kesihatan.
``Saya mengalami sakit kerongkong ketika hendak tidur malam tadi, pada mulanya saya fikir ia hanyalah sakit biasa,'' kata Bailey, pilihan ke-16 dan bekas pemain nombor empat dunia.
``Bagaimanapun apabila bangkit hari ini, seluruh badan terasa berat dan saya mengalami sakit kepala yang teruk. Saya tahu saya perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu kerana kesakitan ini.''
Walaupun berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga dengan mudah, Nicol bakal berdepan tugas berat hari ini apabila mementang penyandang juara dan pilihan pertama dari Australia, Rachael Grinham.
Grinham bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan pemain tuan rumah, Vicky Botwright 5-9, 9-7, 9-2, 9-3 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga satu jam, lima minit.
Harapan Malaysia akan turut dipikul oleh Azlan Iskandar yang turun menentang pilihan keempat, Nick Matthew dari England pada perlawanan pusingan kedua hari ini.

Jumaat, 28 April 2017

Nicol tewas, Malaysia bangkit

ARKIB : 28/09/2004
AMSTERDAM - Pasukan wanita negara terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Perancis 2-1 pada hari pembukaan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di sini, kelmarin selepas pemain nombor lapan dunia, Nicol David tewas kepada pemain nombor satu pasukan lawan.
Nicol tewas dalam perlawanan empat set kepada Isabelle Stoehr 9-0, 9-10, 9-0, 10-9 tetapi kemenangan Sharon Wee 9-0, 9-2, 9-2 ke atas Maud Duplomb disusuli Tricia Chuah ke atas Soraya Renai 9-3, 9-3, 9-0, menyelamatkan kemaraan Malaysia, pasukan pilihan kelima kejohanan.
``Apabila Isabelle bermain untuk Perancis, permainannya begitu mantap,'' kata Nicol, juara remaja dunia dua kali yang kini menjalani latihan di Belanda.
``Dia bermain cukup baik dan berhak menang, hari ini bukan milik saya tetapi saya berharap dapat memperbaiki prestasi untuk perlawanan seterusnya menen-tang Afrika Selatan dan Mesir.''
Sementara itu, pasukan pilihan pertama Australia dan England menang mudah ke atas lawan dalam perlawanan pembukaan, masing-masing ke atas Ireland dan Amerika Syarikat.
Pemain utama Scotland Pamelo Nimmo yang menarik diri di saat akhir akibat sakit anak tekak hampir menyebabkan pasukan pilihan ketujuh itu tewas kepada Jepun, pilihan ke-18.
Akibatnya Wendy Maitland, terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan lawan, Chinatsu Matsui, di ranking ke-47 dunia dengan keputusan 6-9, 5-9, 9-6, 9-6, 9-4.
Tetapi Susan Dalrymple kemudian tewas kepada Kozue Onizawa 9-2, 4-9, 9-0, 5-9, 0-9 sebelum Frania Gillen-Buchert menyingkirkan Sachiko Shinta 0-9, 9-7, 9-0, 9-0 untuk memberikan kemenangan kepada Scotland. - AFP



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 24 April 2017

Nicol mara ke saingan akhir

ARKIB : 24/07/2004
PEMAIN nombor satu negara Nicol David mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Malaysia apabila menewaskan Linda Elriani dari England pada perlawanan separuh akhir semalam.
Pemain pilihan keempat itu mengalahkan Elriani yang merupakan pemain pilihan kedua dengan mata 9-5, 3-9, 9-2, 10-8.
Dia akan bertemu pemain nombor tiga dunia Vanessa Atkinson dari Belanda dalam perlawanan akhir esok.
Gelanggang Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil turut menjadi gelanggang bertuah Atkinson apabila mudah mengalahkan pencabarnya di peringkat separuh akhir.
Dia menewaskan Shelley Kitchen dari New Zealand 6-9, 9-3, 9-6, 9-4 dalam masa 41 minit.
Pertemuan Nicol (ranking kelapan dunia) dan Atkinson hari ini adalah yang kedua tahun ini di peringkat akhir. Nicol tewas dalam perebutan juara Terbuka Kuala Lumpur pada Februari lepas. ``Saya mengikut perancangan dan berjaya memastikan pukulan yang dibuat menjadi. - Bernama

Nicol pilihan keempat

ARKIB : 09/07/2004
JUARA Asia empat kali dan ratu skuasy negara, Nicol David, diletakkan sebagai pilihan keempat pada Kejohanan Skuasy Terbuka Wanita Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil dari 21 hingga 24 Julai ini.
Nicol, 21, kini pemain kelapan terbaik dunia, dijangka tidak menghadapi masalah untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir kejohanan dua bintang itu.
Berdasarkan undian awal yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain-pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa), Nicol akan bertemu pemain Australia, Amelia Pittock pada pusingan pertama, dan jika menang, dijangka berdepan pula pilihan ketujuh Pamela Nimmo dari Scotland.
Dalam kejohanan lepas, Nicol, yang bukan pemain pilihan, mara sehingga ke peringkat akhir tetapi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara apabila kecundang kepada Cassie Jackman dari England. Jackman bagaimanapun tidak menyertai acara itu kali ini.
Vanessa Atkinson dari Belanda, yang menjuarai Terbuka Kuala Lumpur pada Februari dengan menundukkan Nicol, merupakan pilihan utama manakala Linda Elriani dari England, ranking ketujuh dunia, diletakkan sebagai pilihan kedua.
Pilihan ketiga adalah Fiona Geaves, juga dari England, yang memenangi Terbuka British tahun lepas. Ketiga-tiga pemain itu tidak menyertai kejohanan itu tahun lepas.
Peserta Malaysia yang lain adalah Sharon Wee, Tricia Chuah, Lim Yoke Wah, Sally Looi dan Delia Arnold.
Kejohanan empat hari itu yang akan disertai 30 pemain dari 14 negara, menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$20,000 berbanding US$18,000 tahun lepas.
Senarai pemain pilihan: 1. Vanessa Atkinson (NED), 2. Linda Elriani (ENG), 3. Fiona Geaves (ENG), 4. Nicol David (MAS), 5. Shelley Kitchen (NZL), 6.Rebecca Chiu (HKG), 7. Pamela Nimmo (SCO), 8. Latasha Khan (USA). - Bernama

Ahad, 23 April 2017

Beng Hee, Nicol kekal juara

ARKIB : 23/06/2004
ONG BENG HEE dan Nicol David mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Asia ke-12 yang berlangsung di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, semalam.
Dalam kategori individu lelaki, pemain ranking ke-20 dunia itu memenangi kejuaraan itu buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan musuh ketatnya Mansoor Zaman dari Pakistan 9-2, 4-9, 10-8, 9-6 dalam masa 62 minit.
Kemenangan ini adalah yang ketiga dikecapi Ong ke atas pemain Pakistan itu di peringkat akhir sejak memenangi kejohanan dua tahun sekali itu pada 2000.
Selepas memenangi mudah set pertama, Beng Hee gopoh untuk menang set kedua dan lawan yang menduduki ranking ke-19 dunia itu menyamakan kedudukan dengan kemenangan 9-4.
Dalam set ketiga, Mansoor bermain baik dengan mendahului 3-1, 6-4, 8-6 tetapi gagal membuat penyudahan dan ini memberi peluang kepada Beng Hee merapatkan mata dan seterusnya mencipta kemenangan 10-8.
Mansor sekali lagi bermula garang pada set keempat tetapi gagal merobek kekentalan Beng Hee.
``Saya banyak melakukan kesilapan pada set kedua. Saya terlalu gopoh untuk memenanginya selepas menang mudah set pertama.
Dalam set ketiga, Mansoor menukar corak dan saya hampir terperangkap,'' kata Beng Hee selepas tamat perlawanan.
Sementara itu dalam kategori individu wanita, Nicol yang berada pada ranking kelapan dunia meraih kejuaraan keempat berturut-turut dengan menewaskan pemain senegara, Sharon Wee 9-4, 9-2, 9-2.
Sharon gagal memberikan tentangan apabila Nicol yang mempamerkan rentak permainan pantas dan penuh strategi untuk menamatkan permainan dalam masa 24 minit sahaja.
``Persembahan Nicol jauh lebih tinggi daripada saya. Dia dalam kelas yang berbeza. Saya perlu lebih gigih jika ingin menewaskannya pada masa depan,'' kata Sharon.
Dengan kemenangan ini, Nicol menjadi pemain kedua selepas pemain Singapura, Mah Li Lian memenangi kejuaraan itu sebanyak empat kali.
Acara berpasukan akan bermula esok. - Bernama

Semua pemain negara ke suku akhir

ARKIB : 21/06/2004
KECUALI Kenneth Low, Timothy Arnold dan Sally Looi, semua pemain pilihan dari Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Asia ke-12 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Pada pusingan ketiga acara individu lelaki pagi ini, pemain nombor satu Malaysia dan juara bertahan, Ong Beng Hee mengalahkan Siddharth Suchde dari India 9-4, 9-3, 9-0 manakala seorang lagi pemain handalan negara, Mohd Azlan Iskandar, menyingkirkan Bader Al Hussaini dari Kuwait 9-2, 9-4, 9-1.
Beng Hee yang sedang memburu gelaran juara untuk kali ketiga berturut-turut setelah memenanginya pada 2000, akan bertemu Ritwik Bhattacharya dari India, manakala Mohd. Azlan berdepan dengan pemain bukan pilihan, Abd Khalid Mazayin dari Kuwait pada perlawanan peringkat suku akhir.
Terdahulu, Bhattacharya mengalahkan pemain Malaysia, Timothy Arnold 9-7, 9-0, 9-3 dan Abd Khalid mengetepikan Wong Wai Hang dari Hong Kong 9-6, 9-0, 9-2.
Dalam dua lagi perlawanan suku akhir yang hanya membabitkan pemain Pakistan, pemain pilihan kedua, Mansoor Zaman akan bertemu Majid Khan manakala pemain pilihan ketiga, Shahid Zaman berhadapan dengan Farook Zaman.
Sebelum itu, Farook mengalahkan pemain Malaysia, Kenneth Low dengan keputusan 9-7, 9-6, 9-1.
Pada pusingan kedua acara individu wanita pula, pemain pilihan utama yang juga juara bertahan, Nicol David dari Malaysia dan pemain pilihan 3/4, Sharon Wee, menepati kedudukan mereka dengan mara ke suku akhir.
Nicol mengetepikan Annie Au dari Hong Kong 9-2, 9-0, 9-3 manakala Sharon mengatasi Moon Hee Young dari Korea Selatan 9-1, 9-1, 9-2.
Nicol akan berhadapan dengan pemain Jepun, Mami Nishio, manakala Sharon akan berentap dengan Christina Mak dari Hong Kong.
Seorang lagi pemain Malaysia yang melayakkan diri ke suku akhir ialah Tricia Chuah yang mengalahkan Mekhla Subedar dari India 9-2, 9-0, 9-7. Chuah akan berhadapan dengan pemain pilihan kedua, Rebecca Chiu dari Hong Kong, yang telah mengetepikan Sally Looi dari Malaysia dengan keputusan 9-3, 9-0, 9-0.
- Bernama

Beng Hee, Nicol terus mara

ARKIB : 20/06/2004
DUA jaguh negara, Ong Beng Hee dan Nicol Ann David memulakan aksi awal mempertahankan kejuaraan Kejohanan Skuasy Asia dengan kemenangan mudah di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam.
Beng Hee yang pada satu ketika merupakan pemain nombor lapan dunia, tetapi kini berada di ke-20 dalam senarai terbaru yang dikeluarkan awal bulan ini.
Namun semalam pemain yang menjalani latihan di England itu membuktikan dia telah kembali ke tahap permainan sebenar apabila dengan mudah melepasi pusingan pertama dan kedua.
Pada sebelah pagi, Beng Hee dengan mudah menyingkirkan halangan pemain Indonesia, Johny Marthen dengan keputusan 9-3, 9-1, 9-4 dan kemudian mengetepikan Yasunori Ishwata dari Jepun dengan 9-2, 9-1, 9-0.
Menanti Beng Hee di pusingan ketiga hari ini ialah pemain India, Siddharth Suchde.
Sementara itu, Nicol pula tidak banyak berpeluh apabila mudah membenam cabaran pemain Singapura, Pamela Chua 9-1, 9-0, 9-0.
Nicol akan bertemu Annie Au dar Hong Kong dalam pusingan kedua hari ini. Au mara selepas menyingkirkan pemain Pakistan, Maria Toor 9-2, 9-3, 9-0.
Rakan Nicol, Sally Looi pula berdepan laluan sukar hari ini kerana akan bertemu juara Sukan Asia dan pilihan kedua, Rebecca Chiu dari Hong Kong.
Rebecca mara ke pusingan kedua selepas menundukkan Gul Zaman dari Pakistan 9-1, 9-3, 9-1 manakala pemain bukan pilihan, Sally mengalahkan Kozue Onizawa dari Jepun 9-4, 7-9, 9-5, 9-0.
KEPUTUSAN
Perseorangan Lelaki
(Pusingan kedua)
ONG BENG HEE (MAS) kln Yasunori Ishiwata (JPN) 9-4, 9-1, 9-4; Siddharth Suchde (IND) kln Roger Ngan (HKG) 9-3, 9-4,9-2; Timothy Arnold (MAS) kln Mohd. Rizal (SIN) 9-7, 9-3, 9-3; Ritwik Bhattacharya (IND) kln Ali Al Ramzi (KUW) 9-1,9-1, 9-3; MOHD. AZLAN ISKANDAR (MAS) kln Yang Wen Chang (TPE) 9-0, 9-1, 9-1; Wong Wai Hang (HKG) kln Ron Tanno (JPN) 9-5, 9-1, 9-7; Abd. Khalid Mazayin (KUW) kln Saurav Ghosal (IND) 9-5,9-2, 0-9, 9-0; Bader Al Hussaini (KUW) kln Ala'a Ibraheem Harb (JOR) 9-8, 6-9, 9-3, 9-2; Shahid Zaman (PAK) kln Kim Dong Woo (KOR) 9-1, 9-5,9-0; Vincent Cheung (HKG) kln Kimihiko Sano (JPN) 9-1, 9-0, 9-0; Farook Zaman (PAK) kln Jun Matsumoto (JPN) 9-5, 9-2, 9-5; Majid Khan (PAK) kln Nasser Al Ramzi (KUW) 9-3, 9-3,9-0; KENNETH LOW (MAS) kln Kim Sung Young (KOR) 4-9, 3-9,9-3, 9-1, 9-1; Mansoor Zaman (PAK) kln Joel Ong (SIN) 9-1, 9-4, 9-3; Faheem Khan (HKG) kln Fitri Parinding (INA) 9-5, 9-3,4-9, 9-2; Manish Chotprani (IND) kln Dick Lau (HKG) 9-4, 9-1,9-5.
.
Perseorangan Wanita
(Pusingan Pertama)
NICOL DAVID (MAS) kln Pamela Chua (SIN) 9-1, 9-1, 9-0; Annie Au (HKG) kln Maria Toor Pakay (PAK) 9-2, 9-3, 9-0; Chinatsu Matsui (JPN) kln Kushani Daluwatte (SRI) 9-0, 9-0, 9-2; Joshna Chinappa (IND) kln Ahn Eun Chan (KOR) 9-4, 9-3, 9-4; Joannah Yue (SIN) kln Elise Ng (HKG) 9-3, 9-8, 9-6; Sachiko Shinta (JPN) kln Alisha Mashruwala (IND) 0-9, 0-9, 9-4, 9-2, 9-3; SHARON WEE (MAS) kln Abey Gunawardene (SRI) 9-1, 9-1, 9-1; Park Eun Ok (KOR) kln Nur Adawiyah (SIN) 9-1, 9-0, 9-1; Mekhla Subedar (IND) kln Nirasha Guruge (SRI) 9-2, 9-0, 9-1; SALLY LOOI (MAS) kln Kozue Onizawa (JPN) 9-4, 7-9, 9-5, 9-0; Moon Hee Young (KOR) kln Supriya Balsekar (IND) 9-3, 9-6, 9-4; Lee Hye Kyoung (KOR) kln Vicki He (SIN) 9-1, 9-0, 9-1; TRICIA CHUAH (MAS) kln Muqaddas Ashraf (PAK) 9-0, 9-0, 9-2; Mami Nishio (JPN) kln Sara Awan (PAK) 9-3, 9-0, 9-0; Christina Mak (HKG) kln Vidushi Gurunada (SRI) 9-0, 9-2, 9-3; Rebecca Chiu (HKG) kln Gul Zaman (PAK) 9-1, 9-3, 9-1.

Ahad, 16 April 2017

Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2003 - Nazmizan, Nicol raih anugerah

ARKIB : 31/03/2004
RATU skuasy negara, Nicol Ann David mengejutkan calon-calon pilihan apabila diumum sebagai Olahragawati Kebangsaan 2003, ketika Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menepati ramalan muncul Olahragawan pada majlis Anugerah Sukan Negara di Subang Jaya, semalam.
Nicol, Olahragawati Kebangsaan 1999 mengejutkan calon pilihan, Wong Mew Choo (badminton), Shalin Zulkifli (boling), Durratun Nashihin Rosli (gimnastik), Yuan Yufang (olahraga) serta Siow Yi Ting (renang).
Sementara Nazmizan, 22, juara berganda 100 dan 200 meter Sukan SEA mengetepikan lima calon lain termasuk naib juara badminton dunia, Wong Choong Hann, Azidi Ameran (boling), Ng Shu Wai (gimnastik), Lim Keng Liat (renang) serta atlet bina badan, Sazali Samad.
Kemenangan Nicol, 20, yang tidak memenangi sebarang gelaran tahun lalu amat memeranjatkan kerana Mew Choo sebelum ini disebut sebagai bakal Olahragawati ekoran kejayaannya menjadi pemain wanita pertama negara meraih emas perseorangan pada Sukan SEA dalam tempoh 26 tahun.
Malah, empat calon lain iaitu Shalin, Yi Ting, Durratun Nashihin serta Yufang juga dianggap lebih berkelayakan kerana pencapaian mereka sama ada pada Sukan SEA, mahupun di peringkat antarabangsa.
Shalin membantu pasukan boling wanita muncul juara dunia, Yi Ting pula meraih tiga emas di Vietnam dan sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik, begitu juga Yufang yang turut layak ke Athens serta meraih sebutir emas Sukan SEA.
Durratun Nashihin, 15, pula hampir menyamai pencapaian Faiznur Miskin apabila merangkul lima pingat emas gimrama dalam penampilan sulung pada Sukan SEA di Hanoi.
Begitupun menurut panel pemilihan, Nicol dipilih kerana kejayaannya muncul pemain wanita Asia pertama berada dalam kedudukan 10 terbaik ranking dunia dengan berada di tangga kelapan.
Kemenangan Nazmizan, yang menjadi atlet lelaki pertama negara memenangi gelaran 100 dan 200m Sukan SEA dalam tempoh 36 tahun sudah diduga dan dia sebelum ini turut memenangi anugerah Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
``Terima kasih kerana mempercayai saya untuk menjadi penerima anugerah Olahragawan Kebangsaan ini. Saya berjanji akan membalas segala kepercayaan itu dengan sebaiknya,'' kata Nazmizan.
``Hari Khamis ini saya akan berlepas ke Amerika Syarikat bagi memulakan latihan, saya akan cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi apa yang lebih penting adalah menyiapkan diri menghadapi Sukan Asia 2006 di Doha.''
Sementara itu skuad boling lelaki dan wanita negara memenangi Anugerah Pasukan Kebangsaan bagi kedua-dua kategori.
Malaysia muncul juara berganda pada Kejohanan Boling Berpasukan Dunia tahun lalu lalu, sebelum pasukan wanita melengkapkan kecemerlangan dengan muncul juara berpasukan Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula diumum penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan, manakala Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan dipilih penerima Anugerah Kepimpinan Sukan.
Nazmizan dan Nicol masing-masing menerima RM10,000. Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Anugerah Sukan Negara tahun ini dianggap istimewa apabila dihadiri Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Azalina Othman Said. Turut hadir, menteri lama yang kini Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein.
PEMENANG ANUGERAH 2003:
Anugerah Olahragawan Kebangsaan: Nazmizan Muhammad (olahraga)
Anugerah Olahragawati Kebangsaan: Nicol David (skuasy)
Anugerah Tokoh Sukan: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Peter Velappan
Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan: Boling
Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan: Boling
Anugerah Khas: Mendiang Durbara Singh (tenis), Loh Beng Hooi (karate-do), Abdul Majid Muda (angkat berat)

Selasa, 11 April 2017

Nicol ke akhir



ARKIB : 15/02/2004

PEMAIN nombor satu Malaysia Nicol David membuktikan keunggulannya apabila beliau layak ke perlawanan akhir kejohanan skuasy Terbuka Kuala Lumpur di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, semalam.

Pemain pilihan kedua pada kejohanan itu menerima tentangan sengit daripada pemain bukan pilihan Tegwen Malik dari Wales sebelum menang dengan catatan mata 8-10, 10-8, 7-9, 9-7, 9-5 dalam 62 minit.

Pemain nombor lapan dunia itu akan bertemu pemain pilihan pertama Vanessa Atkinson dari Netherlands di perlawanan akhir hari ini.

Atkinson sebelum itu menempah tiket ke akhir apabila menewaskan pemain pilihan ketiga Omneya Abdel Kawy dari Mesir 9-4, 9-7, 9-2 dalam 27 minit.

Nicol, yang memburu gelaran ketiganya dalam Terbuka Kuala Lumpur selepas tahun 2000 dan 2002, berhempas pulas untuk mencari rentak permainan pantasnya selepas beliau dipaksa bermain dengan rentak perlahan oleh lawannya pada separuh akhir.

Beliau mendahului 8-6 pada permainan pertama dan juga mendahului 6-1 dalam permainan ketiga tetapi ketinggalan 3-8 pada permainan kedua, namun kembali untuk mendahului 10-8.

Dalam permainan set penentuan, Nicol kembali menemui corak permainan pantasnya untuk mengatasi Malik, yang turut mengekang seorang lagi pemain Malaysia Sharon Wee dalam suku akhir semalam, untuk mendahului 5-2.

Dengan lawannya kelihatan semakin lemah, Nicol memberikan tekanan dengan pukulan tepat untuk mengumpul tujuh mata berturut-turut untuk meraih mata kemenangan menerusi drop shot dari kiri gelanggang.

``Saya sudah bersiap sedia untuk perlawanan akhir bertemu Vanessa (Atkinson). Saya pernah menewaskan beliau tetapi saya menjangkakan perlawanan sengit esok,'' kata Nicol.

Dalam kategori lelaki, pemain pilihan ketiga Laurens Jan Anjema dari Netherlands akan bertemu pemain pilihan kedua Wael El Hindi dari Mesir pada perlawanan akhir.

Jan Anjema menang percuma apabila rakan senegaranya Tommy Berden mengalami kecederaan tangan manakala El Hindi menewaskan pemain pilihan keenam Mohammed Essam Hafiz dari Qatar 15-6, 13-15, 15-14, 15-4 dalam 46 minit. - Bernama

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4dxCy9WqO
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber

Selasa, 4 April 2017

Nicol hanya muncul naib juara



ARKIB : 24/08/2003
PUTERI skuasy negara, Nicol David berhempas pulas sebelum tewas 3-1 kepada pemain pilihan kedua, Cassie Jackman dari England pada perlawanan akhir kejohanan skuasy wanita Terbuka Malaysia 2003 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Nicol, 20, terpaksa akur dengan pengalaman dan kehebatan Jackman yang menduduki ranking kesembilan dunia dan akhirnya tewas 5-9, 9-1, 4-9, 7-9 dalam perlawanan yang mengambil masa 47 minit itu.

Pemain berasal dari Pulau Pinang yang menduduki ranking ke-39 dunia itu kurang bernasib baik meskipun mendahului lawannya pada set pertama dengan 4-0 sebelum pemain England itu meningkatkan permainannya untuk menang dengan 9-5.

Begitupun, Nicol berusaha bangkit pada set kedua. Sokongan padu para penonton ternyata menyuntik semangatnya walapun ketinggalan 0-1 di awal permainan.

Dengan melakukan pukulan-pukulan tajam selepas mengubah strategi pada set kedua, dia berjaya menjinakkan Jackman untuk menang set kedua dengan 9-1.

Kejayaan Nicol itu banyak didorong oleh tindakannya mengubah taktik permainan tidak mengikut rentak permainan lawannya.

Malangnya pada set ketiga, Nicol seperti hilang tumpuan walaupun bermula dengan baik apabila mendahului Jackman 4-0.

Jackman, 31, kemudiannya mempelbagaikan pukulannya untuk mengikat kedudukan sebelum menang set ketiga 9-4.

Pada set keempat, Nicol berjaya mengheret Jackman, yang pernah dimahkotakan juara remaja dunia 1999 untuk bermain rali menyebabkan kedua-dua pemain terpaksa bersaing sengit.

Bagaimanapun pengalaman memisahkan di antara Nicol dan Jackman apabila pemain dari England itu memenangi set keempat 9-7.

Nicol berkata, dia gembira dan berpuas hati dengan permainannya walaupun tewas kerana dia berjaya memenangi satu set daripada Jackman.

``Kejohanan ini adalah satu pengalaman yang berguna kerana ia boleh dijadikan ukuran kemampuan saya selepas berguru di Amsterdam di bawah Liz Irving,'' katanya.

Sementara itu, Jackman mengakui Nicol mampu menjadi di antara pemain terbaik dunia satu hari nanti.

``Nicol semakin matang dan permainannya bertambah baik kerana kali terakhir saya bertemu dengannya di Salt Lake City Mei lalu, saya menewaskannya 3-0 pada separuh akhir,'' katanya.

Jackman memenangi wang tunai AS$2470 (RM9386) selaku juara kejohanan manakala Nicol menerima AS$1,729 (RM6570.20).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dHwtL7PM
© Utusan Melayu (M) Bhd