Ahad, 23 April 2017

Beng Hee, Nicol kekal juara

ARKIB : 23/06/2004
ONG BENG HEE dan Nicol David mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Asia ke-12 yang berlangsung di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, semalam.
Dalam kategori individu lelaki, pemain ranking ke-20 dunia itu memenangi kejuaraan itu buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan musuh ketatnya Mansoor Zaman dari Pakistan 9-2, 4-9, 10-8, 9-6 dalam masa 62 minit.
Kemenangan ini adalah yang ketiga dikecapi Ong ke atas pemain Pakistan itu di peringkat akhir sejak memenangi kejohanan dua tahun sekali itu pada 2000.
Selepas memenangi mudah set pertama, Beng Hee gopoh untuk menang set kedua dan lawan yang menduduki ranking ke-19 dunia itu menyamakan kedudukan dengan kemenangan 9-4.
Dalam set ketiga, Mansoor bermain baik dengan mendahului 3-1, 6-4, 8-6 tetapi gagal membuat penyudahan dan ini memberi peluang kepada Beng Hee merapatkan mata dan seterusnya mencipta kemenangan 10-8.
Mansor sekali lagi bermula garang pada set keempat tetapi gagal merobek kekentalan Beng Hee.
``Saya banyak melakukan kesilapan pada set kedua. Saya terlalu gopoh untuk memenanginya selepas menang mudah set pertama.
Dalam set ketiga, Mansoor menukar corak dan saya hampir terperangkap,'' kata Beng Hee selepas tamat perlawanan.
Sementara itu dalam kategori individu wanita, Nicol yang berada pada ranking kelapan dunia meraih kejuaraan keempat berturut-turut dengan menewaskan pemain senegara, Sharon Wee 9-4, 9-2, 9-2.
Sharon gagal memberikan tentangan apabila Nicol yang mempamerkan rentak permainan pantas dan penuh strategi untuk menamatkan permainan dalam masa 24 minit sahaja.
``Persembahan Nicol jauh lebih tinggi daripada saya. Dia dalam kelas yang berbeza. Saya perlu lebih gigih jika ingin menewaskannya pada masa depan,'' kata Sharon.
Dengan kemenangan ini, Nicol menjadi pemain kedua selepas pemain Singapura, Mah Li Lian memenangi kejuaraan itu sebanyak empat kali.
Acara berpasukan akan bermula esok. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan