Selasa, 4 April 2017

Nicol, Sharon pertaruh nasib



ARKIB : 20/08/2003
Oleh DALLIA DUNSTAN PEMAIN skuasy nombor dua negara, Nicol David menempatkan diri dalam undian utama kejohanan skuasy wanita Terbuka Malaysia 2003 di Pusat Skuasy Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur semalam.

Nicol mengalahkan lawannya, Kozue Onizawa dari Jepun dengan straight-set 9-1, 9-0, 9-4 pada pusingan kedua kelayakan.

Dengan kemenangan itu, Nicol menempah pertemuan dengan rakan senegara, Sharon Wee pada perlawanan pusingan pertama hari ini.

Sharon diletakkan sebagai pilihan kelapan pada kejohanan ini.

Nicol berkata, dia sudah lama tidak bertemu dengan Sharon pada kejohanan profesional dan menyifatkan pertemuan ini sebagai sesuatu yang menarik.

``Kali terakhir saya bertemu Sharon ialah pada kejohanan Terbuka Kuala Lumpur dua tahun lalu. Ketika itu, saya menang straight-set,'' katanya semalam.

Pemain berasal dari Pulau Pinang itu berkata, walaupun dia dan Sharon sering bertemu dalam perlawanan ujian ketika berlatih di bawah Liz Irving sewaktu di Amsterdam, pertemuan kali ini nyata berbeza apalagi bermain dalam kejohanan profesional.

``Saya amat berharap dapat mengalahkan Sharon tetapi jika sebaliknya berlaku sekurang-kurangnya Malaysia mempunyai seorang pemain yang akan beraksi pada suku akhir esok,'' katanya.

Sementara itu, Sharon mengakui, dia mahu mengelak daripada berjumpa Nicol tetapi harapannya meleset.

``Saya akan memberikan tentangan yang sengit kepadanya dan jika Nicol menang, dia tidak akan menang dengan mudah,'' katanya.

Sharon kini menduduki ranking ke-20 dunia manakala Nicol berada pada ranking ke-39 dunia.

Seorang lagi pemain negara, Tricia Chuah gagal menempah tempat untuk beraksi dalam undian utama selepas tewas kepada Vicky Lancaster dari England 9-1, 9-6, 9-4.

KEPUTUSAN

(Kelayakan pusingan kedua)

Tegwen Malik (WAL) kln Sarah Kippax (ENG), 9-4, 9-3, 9-1; NICOL DAVID (MAS) kln Kozue Onizawa (JPN) 9-1, 9-0, 9-4; Katline Cauwels (BEL) kln Kate Roe (ENG) 9-1, 9-2, 9-1; Vicky Lancaster (ENG) kln TRICIA CHUAH (MAS) 9-1, 9-6, 9-4.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dHgMRSPW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan