Ahad, 2 April 2017

Nicol intai 20 kedudukan teratas



ARKIB : 16/07/2003
Oleh DALLIA DUNSTAN

PEMAIN skuasy negara, Nicol David berharap akan mencapai sasaran untuk menduduki 20 ranking teratas dunia sebelum hujung tahun ini.

Nicol 20, berkata, dia akan beraksi pada enam atau lapan kejohanan lagi selepas ini dan tumpuan seterusnya adalah pada kejohanan skuasy Terbuka Kuala Lumpur yang akan diadakan Ogos ini.

``Saya berharap semuanya akan berjalan dengan baik bagi diri saya dan sebelum akhir tahun ini, saya akan membaiki ranking saya,'' katanya yang kini menduduki ranking ke-37 dunia.

Nicol ditemui selepas majlis memperbaharui kontrak penajaannya dengan Mulpha-Head yang bernilai RM1.3 juta untuk tempoh dua tahun di Subang semalam.

Turut hadir pada majlis itu termasuklah Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk Mokhzani Mahathir dan pengarah Mulpha International Berhad, Denis Low.

Nicol, 20, gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia di Busan, Korea Selatan pada 2002 apabila tewas kepada pemain Hong Kong, Rebecca Chiu.

Selepas itu, Nicol mencetuskan kontroversi apabila menarik diri daripada menyertai beberapa kejohanan tempatan dan berehat hampir enam bulan.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk berlatih di bawah bekas pemain nombor dua dunia, Liz Irving dari Australia di Amsterdam bermula Mac lalu.

Menurut Nicol, latihan di bawah Liz banyak memberinya teknik-teknik baru dan pengalaman yang berguna untuknya pada masa depan.

Nicol yang baru kembali ke Kuala Lumpur 9 Jun lalu berharap dia akan meneruskan latihan di bawah Liz kerana ia akan memberikan kelebihan kepadanya untuk jangka panjang.

``Saya berharap akan kembali ke Amsterdam September ini tetapi ia bergantung kepada kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN),'' katanya.

Menurut Nicol, persembahannya pada beberapa kejohanan sebelum ini juga semakin meningkat walaupun tewas pada suku akhir Terbuka Las Vegas dan separuh akhir Terbuka Squashworks Mac lalu.

Dia kalah kepada Rachael Grinham dari Australia pada Terbuka Heliopolis, Mesir dan kejohanan antarabangsa Hurghada pada pusingan kedua.

Menurut Nicol, dia memerlukan masa untuk terus memperbaiki teknik permainan.

Pada masa yang sama, pemain kelahiran Pulau Pinang ini berharap rankingnya akan berubah selepas mendapat khidmat Liz, yang kaya dengan pengalaman antarabangsa.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4d67bNt71
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan