Selasa, 11 April 2017

Nicol ke akhir



ARKIB : 15/02/2004

PEMAIN nombor satu Malaysia Nicol David membuktikan keunggulannya apabila beliau layak ke perlawanan akhir kejohanan skuasy Terbuka Kuala Lumpur di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, semalam.

Pemain pilihan kedua pada kejohanan itu menerima tentangan sengit daripada pemain bukan pilihan Tegwen Malik dari Wales sebelum menang dengan catatan mata 8-10, 10-8, 7-9, 9-7, 9-5 dalam 62 minit.

Pemain nombor lapan dunia itu akan bertemu pemain pilihan pertama Vanessa Atkinson dari Netherlands di perlawanan akhir hari ini.

Atkinson sebelum itu menempah tiket ke akhir apabila menewaskan pemain pilihan ketiga Omneya Abdel Kawy dari Mesir 9-4, 9-7, 9-2 dalam 27 minit.

Nicol, yang memburu gelaran ketiganya dalam Terbuka Kuala Lumpur selepas tahun 2000 dan 2002, berhempas pulas untuk mencari rentak permainan pantasnya selepas beliau dipaksa bermain dengan rentak perlahan oleh lawannya pada separuh akhir.

Beliau mendahului 8-6 pada permainan pertama dan juga mendahului 6-1 dalam permainan ketiga tetapi ketinggalan 3-8 pada permainan kedua, namun kembali untuk mendahului 10-8.

Dalam permainan set penentuan, Nicol kembali menemui corak permainan pantasnya untuk mengatasi Malik, yang turut mengekang seorang lagi pemain Malaysia Sharon Wee dalam suku akhir semalam, untuk mendahului 5-2.

Dengan lawannya kelihatan semakin lemah, Nicol memberikan tekanan dengan pukulan tepat untuk mengumpul tujuh mata berturut-turut untuk meraih mata kemenangan menerusi drop shot dari kiri gelanggang.

``Saya sudah bersiap sedia untuk perlawanan akhir bertemu Vanessa (Atkinson). Saya pernah menewaskan beliau tetapi saya menjangkakan perlawanan sengit esok,'' kata Nicol.

Dalam kategori lelaki, pemain pilihan ketiga Laurens Jan Anjema dari Netherlands akan bertemu pemain pilihan kedua Wael El Hindi dari Mesir pada perlawanan akhir.

Jan Anjema menang percuma apabila rakan senegaranya Tommy Berden mengalami kecederaan tangan manakala El Hindi menewaskan pemain pilihan keenam Mohammed Essam Hafiz dari Qatar 15-6, 13-15, 15-14, 15-4 dalam 46 minit. - Bernama

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4dxCy9WqO
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan