Selasa, 4 April 2017

Nicol terus menyerlah



ARKIB : 21/08/2003
Oleh DALLIA DUNSTAN
PUTERI skuasy negara, Nicol David kembali menyerlah apabila layak ke suku akhir kejohanan skuasy Terbuka Wanita Malaysia 2003 di Pusat Skuasy Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur semalam.

Nicol yang beraksi menerusi peringkat kelayakan meneruskan kecemerlangannya pada kejohanan profesional itu walaupun terpaksa mengecewakan rakan senegara, Sharon Wee yang diletakkan sebagai pilihan kelapan dengan straight-set 9-3, 9-1, 9-2 dalam masa 23 minit.

Nicol gembira kerana semua strateginya berjalan dengan baik semalam.

``Saya telah mencuba sedaya upaya ketika menentang Sharon dan berjaya menguasai permainan,'' katanya yang akan menyambut harijadi ke-21, Selasa depan.

Sharon juga banyak melakukan kesilapan dan ini memberikan sedikit kelebihan kepada Nicol untuk memenangi ketiga-tiga set dengan mudah.

Sementara itu, Sharon berkata, dia berpuas hati dengan permainannya walaupun tewas.

``Saya telah bermain bersungguh-sungguh tetapi Nicol bermain lebih baik daripada saya,'' menurut pemain dari Melaka itu.

Pada perlawanan suku akhir hari ini, Nicol akan bertemu pemain pilihan ketiga, Jenny Tranfield dari England selepas Tranfield berjaya mengetepikan rakan senegaranya, Jenny Duncalf 9-6, 9-6, 9-2 dalam masa 28 minit.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Tranfield yang menduduki ranking ke-10 dunia esok (hari ini), Nicol berkata, dia akan mencuba sedaya upaya untuk mengalahkan lawannnya.

``Saya tidak pernah bertemu Tranfield sebelum ini dan berharap saya akan mencatatkan keputusan yang diharapkan esok,'' katanya yang kini menduduki ranking ke -39.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dHnT377X
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan