Jumaat, 28 April 2017

Nicol tewas, Malaysia bangkit

ARKIB : 28/09/2004
AMSTERDAM - Pasukan wanita negara terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Perancis 2-1 pada hari pembukaan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di sini, kelmarin selepas pemain nombor lapan dunia, Nicol David tewas kepada pemain nombor satu pasukan lawan.
Nicol tewas dalam perlawanan empat set kepada Isabelle Stoehr 9-0, 9-10, 9-0, 10-9 tetapi kemenangan Sharon Wee 9-0, 9-2, 9-2 ke atas Maud Duplomb disusuli Tricia Chuah ke atas Soraya Renai 9-3, 9-3, 9-0, menyelamatkan kemaraan Malaysia, pasukan pilihan kelima kejohanan.
``Apabila Isabelle bermain untuk Perancis, permainannya begitu mantap,'' kata Nicol, juara remaja dunia dua kali yang kini menjalani latihan di Belanda.
``Dia bermain cukup baik dan berhak menang, hari ini bukan milik saya tetapi saya berharap dapat memperbaiki prestasi untuk perlawanan seterusnya menen-tang Afrika Selatan dan Mesir.''
Sementara itu, pasukan pilihan pertama Australia dan England menang mudah ke atas lawan dalam perlawanan pembukaan, masing-masing ke atas Ireland dan Amerika Syarikat.
Pemain utama Scotland Pamelo Nimmo yang menarik diri di saat akhir akibat sakit anak tekak hampir menyebabkan pasukan pilihan ketujuh itu tewas kepada Jepun, pilihan ke-18.
Akibatnya Wendy Maitland, terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan lawan, Chinatsu Matsui, di ranking ke-47 dunia dengan keputusan 6-9, 5-9, 9-6, 9-6, 9-4.
Tetapi Susan Dalrymple kemudian tewas kepada Kozue Onizawa 9-2, 4-9, 9-0, 5-9, 0-9 sebelum Frania Gillen-Buchert menyingkirkan Sachiko Shinta 0-9, 9-7, 9-0, 9-0 untuk memberikan kemenangan kepada Scotland. - AFP



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan