ARKIB : 24/08/2003
PUTERI skuasy negara, Nicol David
berhempas pulas sebelum tewas 3-1 kepada pemain pilihan kedua, Cassie Jackman
dari England pada perlawanan akhir kejohanan skuasy wanita Terbuka Malaysia
2003 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Nicol, 20, terpaksa akur dengan
pengalaman dan kehebatan Jackman yang menduduki ranking kesembilan dunia dan
akhirnya tewas 5-9, 9-1, 4-9, 7-9 dalam perlawanan yang mengambil masa 47 minit
itu.
Pemain berasal dari Pulau Pinang
yang menduduki ranking ke-39 dunia itu kurang bernasib baik meskipun mendahului
lawannya pada set pertama dengan 4-0 sebelum pemain England itu meningkatkan
permainannya untuk menang dengan 9-5.
Begitupun, Nicol berusaha bangkit
pada set kedua. Sokongan padu para penonton ternyata menyuntik semangatnya
walapun ketinggalan 0-1 di awal permainan.
Dengan melakukan pukulan-pukulan
tajam selepas mengubah strategi pada set kedua, dia berjaya menjinakkan Jackman
untuk menang set kedua dengan 9-1.
Kejayaan Nicol itu banyak
didorong oleh tindakannya mengubah taktik permainan tidak mengikut rentak
permainan lawannya.
Malangnya pada set ketiga, Nicol
seperti hilang tumpuan walaupun bermula dengan baik apabila mendahului Jackman
4-0.
Jackman, 31, kemudiannya
mempelbagaikan pukulannya untuk mengikat kedudukan sebelum menang set ketiga
9-4.
Pada set keempat, Nicol berjaya
mengheret Jackman, yang pernah dimahkotakan juara remaja dunia 1999 untuk
bermain rali menyebabkan kedua-dua pemain terpaksa bersaing sengit.
Bagaimanapun pengalaman
memisahkan di antara Nicol dan Jackman apabila pemain dari England itu
memenangi set keempat 9-7.
Nicol berkata, dia gembira dan
berpuas hati dengan permainannya walaupun tewas kerana dia berjaya memenangi
satu set daripada Jackman.
``Kejohanan ini adalah satu
pengalaman yang berguna kerana ia boleh dijadikan ukuran kemampuan saya selepas
berguru di Amsterdam di bawah Liz Irving,'' katanya.
Sementara itu, Jackman mengakui
Nicol mampu menjadi di antara pemain terbaik dunia satu hari nanti.
``Nicol semakin matang dan
permainannya bertambah baik kerana kali terakhir saya bertemu dengannya di Salt
Lake City Mei lalu, saya menewaskannya 3-0 pada separuh akhir,'' katanya.
Jackman memenangi wang tunai
AS$2470 (RM9386) selaku juara kejohanan manakala Nicol menerima AS$1,729
(RM6570.20).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dHwtL7PM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan