Rabu, 29 November 2017

Nicol unggul di Singapurajuarai Masters Singapura

ARKIB : 03/08/2008
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David nyata terlalu unggul apabila merangkul gelaran keenam berturut-turut musim ini selepas menundukkan juara dunia, Rachael Grinham pada kejohan-an Masters Singapura, semalam.Walaupun masih menyesuaikan diri dengan sistem mata baru dan kalah pada set pertama, namun pemain nombor satu dunia itu berjaya menang 8-11, 11-3, 11-5, 11-8.

Ini merupakan kemenangan kelapan berturut-turut buat Nicol sejak memenangi kejohanan Qatar Classic pada November tahun lalu.

Malah, ia juga adalah gelaran profesional ke-30 buat juara dunia dua kali itu sepanjang kariernya, selain melebarkan rekod kemenangannya ke atas bintang Australia, Grinham kepada 16-1.

Meskipun puas mendominasi pentas skuasy wanita dunia sejak beberapa tahun lalu, namun Nicol mengakui, jadual pertandingan yang ketat menyebabkan dia kini keletihan.

"Saya perlu berehat, terutama selepas merangkul dua kejuaraan berturut-turut (Terbuka Malaysia dan Masters Singapura), di mana saja diuji dengan beberapa perlawanan yang sengit.

"Hari ini, saya menghadapi cabaran sukar Rachael. Dia melakukan pelbagai jenis pukulan, namun kesabaran saya melayani rentak lawan hingga ke akhir permainan, menyumbang kepada kemenangan ini,'' ujar Nicol.

Menurut Nicol, yang akan menyambut ulang tahun ke-25 pada 26 Ogos ini, dia akan berehat selama sebulan sebelum kembali untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Belanda pada 2-7 September ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, pemain lelaki nombor dua negara, Mohd. Azlan Iskandar melangkah ke suku akhir pada kejohanan skuasy Terbuka Petrosport di Mesir selepas menundukkan pemain tuan rumah, Hisham Ashour 9-11, 11-5, 8-11, 11-4.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zrNKWKw2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol jumpa Grinham

ARKIB : 02/08/2008
SINGAPURA - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam enam kejohanan berturut-turut apabila mara ke final Masters Singapura, semalam.

Nicol, yang masih segar dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia minggu lalu, mara selepas menundukkan pemain Ireland, Madeline Perry 11-9,11-4,11-7 di Pusat Skuasy Kallang.

Pemain nombor satu dunia itu kini akan menentang musuh tradisi dan pemain nombor tiga dunia, Rachael Grinham dari Australia yang mengetepikan Omneya Abdel Kawy dari Mesir 12-10,10-12,11-6,11-4.

"Apabila anda sedang bertanding dalam kejohanan, anda tidak akan memikirkan tentang kejuaraan dan pencapaian lampau. Apa yang perlu anda lakukan adalah melepasi pencabar anda tanpa memikirkan tentang statistik.

"Rachael sama seperti adiknya, Natalie, kedua-duanya adalah pencabar yang sukar dan kental. Saya tidak menjangka diberi laluan mudah esok (hari ini),'' kata Nicol.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zowgKYXl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol lengkap kejuaraan kali keempat Terbuka Malaysia

ARKIB : 27/07/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
 
PETALING JAYA - Penguasaan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David berterusan selepas menjuarai Kejohanan CIMB Terbuka Malaysia buat kali keempat ber-turut-turut menewaskan Natalie Grinham 11-1,11-4,11-6 di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.Nicol yang tidak diberi tentangan sengit hanya memerlukan 31 minit untuk menumbangkan Grinham dari Belanda yang juga pemain pilihan kedua kejohanan.

Sokongan peminat tempatan menambahkan lagi semangat Nicol dan pada permainan set pertama memperlihatkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu mendahului Grinham 8-0 sebelum menamatkan saingan 11-1.

Set kedua menyaksikan Nicol terus garang dengan persembahan cemerlang dan pada satu ketika mendahului Grinham 8-3 sebelum menang 11-4 sebelum menamatkan perlawanan di set penentuan 11-6.

''Saya amat gembira dengan kemenangan ini, ternyata fokus yang penuh dalam permainan membolehkan saya memenangi kejohanan ini," katanya dalam temu ramah selepas perlawanan tersebut.

Jelas Nicol, beliau mengambil peluang atas permainan kurang bertenaga yang dipamerkan oleh Grinham dan mendominasi permainan sehingga ke set penentuan.

''Saya cuba untuk tidak memberi ruang kepada Grinham menguasai permainan dan ternyata saya berjaya melakukannya," ujar Nicol.

Kemenangan tersebut membolehkan Nicol membawa pulang AS$8,550 (RM28,000).

''Selepas kejohanan ini saya akan beraksi di Singapura pula pada Kejohanan Terbuka Singapura dan berharap kecemerlangan saya dapat diteruskan di sana," jelasnya.

Beliau memberitahu, dia akan bertolak pagi esok ke Singapura dan menjanjikan akan melakukan yang terbaik buat negara seterusnya mengumpul koleksi kejuaraannya musim ini.

''Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian ini walaupun bermain dengan kiraan 11 mata, mungkin format baru ini membolehkan saya bersama pemain wanita lain menunjukkan permainan yang lebih berkualiti," kata Nicol.

Sementara itu, perlawanan akhir lelaki menyaksikan Ong Beng Hee berjaya mengalahkan juara bertahan, Mohd. Azlan Iskandar yang juga pemain pilihan ketiga 11-6, 11-8, 4-11, 12-10, 11-8 untuk melengkapkan kejuaraan berganda negara.

Beng Hee yang pernah menjadi pemain skuasy lelaki nombor satu negara bermain baik dengan melakukan beberapa pukulan yang mengelirukan, sementara Azlan yang bangkit pada set keempat dan kelima gagal untuk meneruskan kecemerlangannya.

Menurut Beng Hee, dia dan Azlan bermain dengan baik sejak set pertama bagaimanapun perasaan gementar sedikit mengganggu fokusnya pada set keempat dan kelima.

''Saya amat gembira dan berpuas hati dengan kemenangan ini walaupun saya terpaksa melalui tiga perlawanan sengit sebelum ini," kata Beng Hee sejurus selepas perlawanan tersebut.

Jelasnya, dia mengambil peluang di atas kepenatan Azlan dalam set penentuan untuk menang 11-8.

Beng Hee akan bertolak ke Kaherah selepas ini untuk Kejohanan Terbuka Mesir.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zo3ZNaxp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 November 2017

Nicol ke separuh akhir

ARKIB : 25/07/2008
 
PETALING JAYA – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David (gambar) mengetuai kemaraan trio Malaysia ke separuh akhir Kejohanan CIMB Terbuka Malaysia sambil dua rakan senegara, Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee menempuh nasib berbeza sebelum mengesahkan tempat ke pusingan itu di The Curve, Damansara, semalam.

Nicol yang juga juara bertahan memerlukan 45 minit untuk menundukkan pemain Mesir yang juga pilihan ketujuh, Omneya Abdel Kawy 11-9, 11-8, 8-11, 11-4 sementara Azlan mendapat laluan mudah hanya selama 18 minit untuk menjinakkan pemain Pakistan, Mansoor Zaman 11-3, 11-5, 11-3.

Berbanding rakan senegara yang juga pilihan ketiga itu, Beng Hee sebagai pilihan kedua kejohanan pula terpaksa berhempas pulas bagi sejam setengah untuk melepasi tentangan sengit rakan senegara Mansoor, Farhan Mehboob 16-14, 9-11, 11-1, 11-8, 11-8.

Nicol kini berada dua langkah lagi untuk meraih gelaran kelima selepas menguasai Terbuka Kota Seoul, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Britain dan Terbuka Apawamis sepanjang tahun ini tetapi perlu menghadapi pilihan ketiga yang juga musuh ketatnya, Rachael Grinham dari Ausralia pada separuh akhir hari ini.

‘‘Saya terpaksa mengerah tenaga menentang Omneya dan cuba kembali membawa permainan menurut rentak saya untuk mengalahkannya,’’ katanya.

Sementara itu, Rachael dalam suku akhir semalam turut menundukkan pemain England yang juga pilihan kelapan, Laura Lengthorn-Massaro 12-10, 11-13, 12-10, 11-3 selepas bertarung selama 48 minit.

Satu lagi suku akhir wanita menemukan Tania Bailey dari England dengan adik Rachael tetapi telah memiliki kerakyatan Belanda, Natalie Grinham.

Beng Hee pula agak terganggu kerana mungkin kehilangan jurulatihnya, Jamshed Gul yang kontraknya bakal berakhir, terlepas satu set kepada lawan pilihan ketujuh itu.

‘‘Saya hilang keyakinan dan tumpuan ketika itu dan dia (Farhan) memang bekerja keras untuk memburu mata.

‘‘Saya hanya dapat memulihkan semangat juang selepas memenangi dua set berikutnya. Jika tidak mungkin terpaksa mengalah,” katanya yang akan menentang Stewart Boswell dari Australia, pilihan keempat kejohanan dalam separuh akhir selepas menumpaskan Omar Mosaad dari Mesir, semalam.

Separuh akhir lelaki dan wanita bermula 4.30 petang hingga 8 malam hari ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4znpfrlRU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol mudah melangkah ke suku akhir

 
ARKIB : 24/07/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
Nicol David membalas pukulan lawannya, Rebecca Chiu dari Hong Kong pada Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka Malaysia 2008 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.
- Gambar ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Datuk Nicol David mudah melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain Hong Kong, Rebecca Chiu di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Turut mengesahkan kemaraan ialah juara bertahan lelaki, Azlan Iskandar dan pilihan kedua kejohanan, Ong Beng Hee.

Namun, hasrat pemain muda wanita negara, Delia Arnold untuk meneruskan kemaraan disekat pemain England, Jenny Duncalf.

Pemain nombor satu dunia itu yang memburu kejuaraan keempat kejohanan mudah menewaskan Rebecca 11-5, 11-5, 13-11.

Nicol yang ditemui berkata, dia puas hati dengan kemenangan tersebut setelah agak lama tidak beraksi di sebarang kejohanan.

Katanya, ia satu permulaan baik dalam misi kejuaraan keempat di tempat sendiri.

''Sebenarnya perlawanan ini lebih kepada untuk mencari rentak kerana saya sudah agak lama tidak beraksi.

''Saya cuma mengelak daripada melakukan kesilapan dan terus memberi tumpuan di sepanjang permainan hingga ke akhir.

''Saya akan cuba mengekalkan prestasi baik ini pada perlawanan seterusnya,'' katanya.

Nicol akan menentang pemain pilihan ketujuh kejohanan, Omneya Andel Kawy dari Mesir dalam suku akhir, hari ini.

Semua perlawanan suku akhir akan berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara.

Sementara itu, Azlan Iskandar mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain senegara, Mohd. Nafiizwan Adnan 11-2, 11-6,11-6 dalam masa 28 minit.

Menurut Azlan, dia kagum dengan peningkatan prestasi Nafiizwan.

''Dia seorang pemain yang berdisiplin dan menunjukkan mutu permainan yang sama sekali berbeza berbanding sebelum ini,'' katanya.

Azlan akan menentang pemain Pakistan, Mansoor Zaman, pemain pilihan keenam kejohanan.

Ong Beng Hee turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir apabila menewaskan pemain negara dari pusingan kelayakan, Mohd. Asyraf Azan 11-3, 11-6, 11-0.

Sementara itu, pilihan pertama, Wael El Hindi dari Mesir diberi tentangan di set akhir sebelum menang 11-6,11-4, 11-9 ke atas pemain England, Chris Ryder.

Lawan Wael hari ini ialah Saurav Ghosal dari India yang menewaskan Eric Galvez dari Mexico.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zneol1j5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol atlet termuda dapat Datuk


 

ARKIB : 12/07/2008
Nicol atlet termuda dapat Datuk
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Nicol David menjadi ahli sukan termuda menerima gelaran Datuk apabila dianugerah Darjah Setia Pahlawan Negeri pada usia 24 tahun sempena ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, hari ini.

Ini merupakan penghormatan terbaru dan terbesar yang diterima Nicol sebulan selepas menjadi penerima pertama Darjah Bakti (DB), anugerah yang diperkenalkan pada tahun 1975, sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Penghormatan ini merupakan pengiktirafan terbaru buat Nicol yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas skuasy antarabangsa termasuk menduduki takhta nombor satu dunia sejak Januari 2006 hingga ke hari ini.

Datuk Abdul Malik Maidin, yang menjadi perenang Malaysia pertama menyeberangi Selat Inggeris pada 2003, merupakan ahli sukan termuda menerima gelaran Datuk sebelum ini iaitu pada usia 28 tahun.

Nicol atau nama penuhnya, Nicol Ann David menjadi pemain Asia pertama merangkul kejuaraan dunia dengan memenanginya pada 2005 dan 2006.

Penerima anugerah Pemain Terbaik Dunia 2006 dan 2007 itu juga menjuarai tiga gelaran prestij Terbuka Britain pada 2005, 2006 dan 2008, selain memenangi 28 kejuaraan Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita) sejak bergelar profesional pada tahun 2000.

Nicol, yang genap 25 tahun pada 26 Ogos depan, juga telah memenangi 12 gelaran dalam kejohanan utama WISPA dan memegang rekod sebagai pemenang lima kejuaraan Asia (1998, 2000, 2002, 2004 dan 2006).

Pada 1999, Nicol menjadi pemain Malaysia pertama merangkul gelaran remaja dunia, yang dianggap sebagai detik permulaan kepada perjalanan kariernya yang menakjubkan.

Malah, pemain yang kini dibimbing jurulatih tersohor, Liz Irving dari Australia berjaya mempertahankan kejuaraan remaja dunia itu pada tahun berikutnya.

Kehebatan Nicol bukan sekadar di pentas sukan, malah dia sebenarnya seorang yang genius di bidang akademik apabila memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi memutuskan untuk memberi tumpuan kepada sukan.

Penghormatan terbaru ini pasti menyuntik semangat Nicol yang akan pulang ke tanah air untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali keempat berturut-turut apabila kejohanan bermula pada 23 Julai ini

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zjnm1NvL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Nicol juara Terbuka Seoul

ARKIB : 08/06/2008
 
Nicol David

KUALA LUMPUR - Nicol David meraikan penghormatan menjadi penerima pertama anugerah Darjah Bakti (D.B) sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan merangkul kejuaraan skuasy Terbuka Seoul, semalam.

Pemain nombor satu dunia itu menundukkan musuh tradisi dan pemain nombor tiga dunia, Rachel Grinham dari Australia 9-5, 10-9, 9-5 dalam perlawanan akhir.

Ini merupakan kejuaraan Jelajah Wispa (Persatuan Pemain Profesional Wanita Antarabangsa) keempat berturut-turut buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu sepanjang 2008.

Nicol, 24, sebelum ini turut memenangi Terbuka Apawamis (Februari), Terbuka KL (Mac) dan Terbuka Britain (Mei).

Pada separuh akhir kelmarin, Nicol menundukkan Alison Waters dari England 10-8, 9-7, 9-5, manakala Grinham menang 6-9, 9-6, 9-4, 9-5 ke atas Laura Lengthorn-Massaro, juga dari England.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zaCm6MnA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 November 2017

Nicol rampas kejuaraan Terbuka Britain

ARKIB : 14/05/2008
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Nicol David merampas kejuaraan Terbuka Britain yang terlepas dari genggaman tahun lalu apabila dengan mudah menewaskan pemain tuan rumah Jenny Duncalf 9-1, 10-8, 9-0 pada perlawanan akhir di Liverpool, semalam.

Ia merupakan kejuaraan ketiga Nicol di kejohanan tersebut selepas mengunggulinya pada 2005 dan 2006.

Kejuaraan itu lebih bermakna buat pemain nombor satu dunia itu apabila dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan 2007 pada majlis Anugerah Sukan Negara 2007 di sini, semalam yang dihadiri oleh Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurut Nicol, dia gembira kerana kembali menjulang kejuaraan Terbuka Britain.

''Walaupun menang di sini, masih terlalu awal untuk saya memikirkan soal merampas kembali kejuaraan di Terbuka Dunia,'' katanya.

Duncalf, pemain kurang ternama yang beraksi pada final pertama dalam karier hanya memberi tentangan pada set kedua.

Mudah mengalah 1-9 di set pertama, Duncalf cuba bangkit diset kedua sehingga berjaya mengikat mata 7-7 sebelum akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Nicol untuk menyerah 8-10 di set kedua.

Nicol tidak memberi ruang kepada lawan apabila menang 9-0 di set terakhir
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zTwr4EZs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol ke separuh akhir

ARKIB : 12/05/2008
KUALA LUMPUR - Pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Nicol Ann David berjaya membalas dendam terhadap Shelly Kitchen untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Terbuka British di Liverpool, England.

Pada saingan suku akhir di Arena Echo, Liverpool, awal pagi semalam, Nicol terpaksa berentap selama 63 minit untuk menewaskan pemain itu 7-9, 9-7, 9-5 dan 9-2.

Dalam usaha memburu gelaran keempat Terbuka British itu, Nicol akan bertemu pemain Natalie Grainger dari Amerika Syarikat pada saingan separuh akhir.

Grainger mara ke separuh akhir selepas menewaskan Laura Lengthorn-Massaro 9-3, 10-9 dan 9-6.

Nicol pernah tewas kepada Kitchen pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol, tahun lepas dan juga dinafikan pingat oleh lawannya itu pada Sukan Komanwel Melbourne 2006.

"Memang pertemuan dengan Kitchen sentiasa sukar dan saya terpaksa kerja keras. Dia menampilkan persembahan mantap saya terpaksa mengambil masa menyesuaikan diri," katanya.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4zS5SvYRl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 22 November 2017

Nicol kejar rekod Nurul, Shalin



ARKIB : 25/04/2008
Oleh KHALID SAAD
 
Nicol David

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Nicol David berpeluang menyamai rekod cemerlang ratu renang, Nurul Huda Abdullah dan ratu boling negara, Shalin Zulkifli untuk merangkul anugerah olahragawati kebangsaan buat kali kelima pada majlis Anugerah Sukan Negara 2007 yang akan berlangsung 13 Mei ini.

Nicol, 24, yang pernah memenangi anugerah tersebut pada 1999, 2003, 2005 dan 2006, sekali lagi dicalonkan bersama 12 atlet lain.

Nurul Huda memenangi anugerah olahragawati kebangsaan lima tahun berturut-turut dari 1985- 1989, manakala Shalin memenanginya pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002 - pencapaian yang belum diatasi oleh mana-mana atlet wanita lain.

Nicol dilihat berpeluang menyamai rekod itu berdasarkan prestasi konsistennya, termasuk mempertahankan kedudukan nombor satu dunia, selain merangkul 10 kejuaraan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun dia bakal mendapat cabaran sengit daripada Shalin sendiri, selain ratu badminton negara, Wong Mew Choo, juara lompat bergalah Asia, Roslinda Samsu dan Yamii Goplsamy (karate).

Calon olahragawati lain adalah Chow Siao Foon (bola keranjang), Quzandria Nur Mahamad Fathil (ekuestrian), LIm Wen Chen (gimrama), Siti Zalina Ahmad (lawn bowl), Ng Sock Khim (pingpong), Khoo Cai Lin (renang), Che Chew Chan (taekwondo) dan atlet wusyu, Chai Fong Ying.

Sementara itu, kejayaan merangkul kejuaraan Seluruh England 2007 meletakkan beregu badminton negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebagai pilihan utama anugerah olahragawan.

Kien Keat 21, dan Boon Heong 23, mengulangi kejayaan cemerlang Razif dan Jalani Sidek kira-kira 23 tahun lalu ketika pasangan adik beradik itu muncul juara pada 1982.

Bagaimanapun pasangan nombor lima dunia itu, yang turut menjuarai Terbuka Malaysia, Terbuka Switzerland dan Filipina tahun lalu terpaksa bersaing dengan 12 atlet lain yang turut dicalonkan.

Calon lain anugerah olahragawan 2006 adalah , Sazali Abdul Samad (bina badan), Mohd. Rizal Tisin (lumba basikal), Koh Way Tek (bola keranjang), Zulmazran Zulkifli (boling), Mohd. Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian), Chua Boon Huat (hoki), Lim Yoke Wai (karate), Safuan Said (lawn bowl), Cheng Chu Siang (memanah), Lee Hup Wei (olahraga), Daniel William Henry Bego (renang) dan pemain skuasy, Mohd. Azlan Iskandar.

Mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh, semalam turut meneliti senarai calon untuk sembilan anugerah lain yang dipertandingkan.

Selain dua anugerah utama itu, jawatankuasa itu turut memperhalusi pencalonan bagi kategori pasukan lelaki kebangsaan, pasukan wanita kebangsaan, jurulatih lelaki kebangsaan, jurulatih wanita kebangsaan, anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan, Anugerah Khas, olahragawan dan olahragawati paralimpik.

"Sebanyak 48 persatuan dijemput mengemukakan pencalonan dengan tarikh tutupnya pada 5 Mac lalu. Bagaimanapun hanya 21 persatuan memberi maklum balas sementara selebihnya dibuat selepas tarikh tutup," kata Abdul Rashid Yaakub, jawatankuasa pengelola anugerah itu, semalam.

Anugerah Sukan Negara telah diperkenalkan pada tahun 1966 dengan tujuan asalnya menyatakan penghargaan negara kepada ahli sukan yang mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Jawatankuasa pemilihan terdiri daripada Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, pegawai-pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Bernama, wakil radio dan TV, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan wakil akhbar.

Majlis Anugerah Sukan Negara 2007 kali ini akan disempurnakan oleh Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan pada 13 Mei ini.

Penerima anugerah olahragawan dan olahragawati kebangsaan masing-masing akan menerima RM10,000.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4z9o3RhfR
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 24/04/2008
Pengalaman berharga di Chelsea - Bunyamin

SEPANG - Bermain corak pantas, agresif dan cepat berfikir merupakan antara ilmu yang berjaya ditimba oleh Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar ketika menjalani latihan di Akademi Bola Sepak Chelsea di Stamford Bridge, London selama dua minggu sejak 6 April lalu.

Suasana dan caranya yang ternyata berbeza turut mematangkan pemain muda UPB-MyTeam dan Kedah ini untuk diterapkan pada Liga Malaysia mahupun apabila mewakili negara ke Piala Antara Benua pada pertengahan bulan depan.

Peluang beramah mesra dan berlatih dengan bintang Blues seperti Didier Drogba dan Michael Ballack turut menjadi salah satu pengalaman paling berharga buat Bunyamin dan Baddrol yang mempunyai jadual ketat sepanjang di kelab gergasi Liga Perdana England itu.

"Walaupun jadual padat, kami masih dapat menyesuaikan diri terutamanya dengan keadaan cuaca di sana dan kebanyakan sesi latihan diadakan pada sebelah pagi dengan skuad simpanan Chelsea dan beberapa pemain yang bukan dalam kesebelasan utama.

"Kaedah latihannya cukup berbeza dengan pasukan di Malaysia tetapi layanan dan sambutan jurulatih dan pegawai mereka tetap baik dan mesra," kata Bunyamin setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Mereka dihantar berguru di Chelsea hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penganjur Piala Juara-Juara Belia (CYC), Gifted Group Limited yang akan menampilkan kelab bawah 19 tahunnya, Ogos ini dan tahun lalu.

Penghantaran dua pemain belia negara berusia 20 tahun ke Eropah ini merupakan yang kedua melibatkan FAM-MSN dan Gifted selepas Asraruddin Putra Omar (Selangor) dan Khairul Fahmi Che Mat (Harimau Muda) ke sebuah kelab terkenal Belanda, PSV Eindhoven tahun lalu.

Menurut Baddrol, mereka terpikat dengan kesungguhan Ballack dan Drogba ketika bersama dalam dua sesi latihan skuad utama, malah penyerang Ivory Coast itu menunjukkan teladan apabila mengadakan latihan tambahan sendirian bagi memantapkan sentuhan jaringannya.

"Kami juga diberi peluang menonton perlawanan Chelsea dengan Fenerbahce dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Wigan di Stamford Bridge. Ia memang satu pengalaman yang sukar kami lupakan," katanya yang telah menjaringkan hampir 10 gol untuk Kedah dalam Liga Super, Piala FA dan Piala AFC musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9k2GqHn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Nicol, Beng Hee juara



ARKIB : 09/03/2008
Nicol, Beng Hee juara
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
NICOL David dan Ong Beng Hee bersama piala kemenangan selepas menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam.

KUALA LUMPUR – Kurang sebulan selepas menyapu bersih kejuaraan Asia di Kuwait, pemain skuasy Malaysia melakar satu lagi sejarah apabila merangkul kejuaraan berganda – lelaki dan wanita pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB di Berjaya Times Square, semalam.

Pemain nombor satu dunia, Nicol David dan jaguh lelaki utama negara, Ong Beng Hee memberikan gelaran berganda buat kali pertama sejak kejohanan ini diperkenalkan sembilan tahun lalu.

Malah, Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang berjaya menyapu bersih kejuaraan sepanjang sejarah Terbuka Kuala Lumpur.

Semalam, Beng Hee menebus dendam atas kekalahan kepada Mohd. Azlan Iskandar pada saingan akhir Kejohanan Asia, dua minggu lalu apabila membenam rakan senegaranya 11-8, 15-13, 12-10.

Nicol pula menggondol kejuaraan kelimanya selepas mengharungi perlawanan yang jauh lebih mudah daripada dijangkakan ketika menewaskan pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham dari Belanda 9-4, 9-2, 9-2.

Ini merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Nicol dalam Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) 2008, selepas menjuarai Terbuka Apawamis di New York, Februari lalu.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod pertemuannya ke atas Grinham kepada 7-1, sekali gus membuktikan bahawa dia tiada masalah meski pun beraksi tanpa jurulatih, Liz Irving.

“Saya sebenarnya sudah bersiap sedia menghadapi satu perlawanan yang sukar dan sengit, saya fikir pertemuan ini akan berlarutan lebih panjang, namun ia nampaknya lebih mudah daripada yang dijangkakan.

“Natalie nyata belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan saya pasti keadaan itu banyak menyekat pergerakannya,’’ kata Nicol, yang membawa pulang AS$8,122 (RM25,725).

Kemenangan ini juga merupakan pemanas badan terbaik buat Nicol menjelang Terbuka Britain, Mei ini, di mana dia membawa misi merampas kembali kejuaraan.

Sementara itu, selepas sembilan kali mencuba, Beng Hee akhirnya berjaya ‘memecah badi’ Terbuka Kuala Lumpur apabila merangkul kejuaraan pertamanya.

Malah, kemenangan ini amat bermakna buat pemain nombor 17 dunia itu kerana menamatkan kemarau tanpa gelaran sejak November, 2005.

“Gembira akhirnya kerana berjaya memenangi kejuaraan sekali lagi dan menang di Kuala Lumpur, kejohanan yang tidak pernah menyebelahi saya selama ini,’’ kata Beng Hee, yang meraih AS$7,220 (RM22,868).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yn681XPa
© Utusan Melayu (M) Bhd