Jumaat, 17 November 2017

Nicol kekal No. 1 -- Berjaya ketepikan musuh tradisi



ARKIB : 06/02/2008
Pemain nombor satu dunia, Nicol Ann David berjaya mengetepikan musuh tradisinya dan pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham (kanan) pada kejohanan Terbuka Apawamis di Amerika Syarikat semalam.

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol Ann David memulakan kempen 2008 dengan cemerlang apabila merangkul kejuaraan pertamanya pada kejohanan Terbuka Apawamis di Amerika Syarikat, semalam.

Pemain nombor satu dunia itu mengetepikan musuh tradisinya dan pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham dari Australia, yang menarik diri pada set ketiga akibat kecederaan kaki kanan.

Bagaimanapun bayangan kemenangan sudah menjadi milik Nicol sejak awal saingan apabila menang 9-1, 9-6 pada dua set pertama.

Grinham, yang memberikan tentangan hebat pada dua set terakhir memilih untuk meninggalkan gelanggang ketika kedudukan terikat 6-6 pada set ketiga selepas tidak mampu lagi menahan sakit.

Bagi Nicol, ini merupakan kejuaraan ketiga berturut-turut berjaya dirangkul sejak memenangi Qatar Classic dan Terbuka Hong Kong, November, tahun lalu.

Malah, ini juga kali ketiga berturut-turut dia mengecewakan Grinham pada perlawanan akhir, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.

Kemenangan ini membolehkan Nicol menebus kekalahannya dalam perlawanan akhir Terbuka Apawamis 2006, apabila tumpas kepada pemain Belanda, Vanessa Atkinson.

Dalam perlawanan separuh akhir kelmarin, Nicol melangkah ke final selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger 9-7, 9-4, 9-5. Grinham pula mara selepas menundukkan pemain nombor satu Mesir, Omneya Abdel Kawi 9-5, 9-4, 9-2.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yhCOHsoQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan