Rabu, 29 November 2017

Nicol lengkap kejuaraan kali keempat Terbuka Malaysia

ARKIB : 27/07/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
 
PETALING JAYA - Penguasaan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David berterusan selepas menjuarai Kejohanan CIMB Terbuka Malaysia buat kali keempat ber-turut-turut menewaskan Natalie Grinham 11-1,11-4,11-6 di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.Nicol yang tidak diberi tentangan sengit hanya memerlukan 31 minit untuk menumbangkan Grinham dari Belanda yang juga pemain pilihan kedua kejohanan.

Sokongan peminat tempatan menambahkan lagi semangat Nicol dan pada permainan set pertama memperlihatkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu mendahului Grinham 8-0 sebelum menamatkan saingan 11-1.

Set kedua menyaksikan Nicol terus garang dengan persembahan cemerlang dan pada satu ketika mendahului Grinham 8-3 sebelum menang 11-4 sebelum menamatkan perlawanan di set penentuan 11-6.

''Saya amat gembira dengan kemenangan ini, ternyata fokus yang penuh dalam permainan membolehkan saya memenangi kejohanan ini," katanya dalam temu ramah selepas perlawanan tersebut.

Jelas Nicol, beliau mengambil peluang atas permainan kurang bertenaga yang dipamerkan oleh Grinham dan mendominasi permainan sehingga ke set penentuan.

''Saya cuba untuk tidak memberi ruang kepada Grinham menguasai permainan dan ternyata saya berjaya melakukannya," ujar Nicol.

Kemenangan tersebut membolehkan Nicol membawa pulang AS$8,550 (RM28,000).

''Selepas kejohanan ini saya akan beraksi di Singapura pula pada Kejohanan Terbuka Singapura dan berharap kecemerlangan saya dapat diteruskan di sana," jelasnya.

Beliau memberitahu, dia akan bertolak pagi esok ke Singapura dan menjanjikan akan melakukan yang terbaik buat negara seterusnya mengumpul koleksi kejuaraannya musim ini.

''Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian ini walaupun bermain dengan kiraan 11 mata, mungkin format baru ini membolehkan saya bersama pemain wanita lain menunjukkan permainan yang lebih berkualiti," kata Nicol.

Sementara itu, perlawanan akhir lelaki menyaksikan Ong Beng Hee berjaya mengalahkan juara bertahan, Mohd. Azlan Iskandar yang juga pemain pilihan ketiga 11-6, 11-8, 4-11, 12-10, 11-8 untuk melengkapkan kejuaraan berganda negara.

Beng Hee yang pernah menjadi pemain skuasy lelaki nombor satu negara bermain baik dengan melakukan beberapa pukulan yang mengelirukan, sementara Azlan yang bangkit pada set keempat dan kelima gagal untuk meneruskan kecemerlangannya.

Menurut Beng Hee, dia dan Azlan bermain dengan baik sejak set pertama bagaimanapun perasaan gementar sedikit mengganggu fokusnya pada set keempat dan kelima.

''Saya amat gembira dan berpuas hati dengan kemenangan ini walaupun saya terpaksa melalui tiga perlawanan sengit sebelum ini," kata Beng Hee sejurus selepas perlawanan tersebut.

Jelasnya, dia mengambil peluang di atas kepenatan Azlan dalam set penentuan untuk menang 11-8.

Beng Hee akan bertolak ke Kaherah selepas ini untuk Kejohanan Terbuka Mesir.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zo3ZNaxp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan