Sabtu, 18 November 2017

Nicol, Beng Hee juara



ARKIB : 09/03/2008
Nicol, Beng Hee juara
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
NICOL David dan Ong Beng Hee bersama piala kemenangan selepas menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB, semalam.

KUALA LUMPUR – Kurang sebulan selepas menyapu bersih kejuaraan Asia di Kuwait, pemain skuasy Malaysia melakar satu lagi sejarah apabila merangkul kejuaraan berganda – lelaki dan wanita pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB di Berjaya Times Square, semalam.

Pemain nombor satu dunia, Nicol David dan jaguh lelaki utama negara, Ong Beng Hee memberikan gelaran berganda buat kali pertama sejak kejohanan ini diperkenalkan sembilan tahun lalu.

Malah, Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang berjaya menyapu bersih kejuaraan sepanjang sejarah Terbuka Kuala Lumpur.

Semalam, Beng Hee menebus dendam atas kekalahan kepada Mohd. Azlan Iskandar pada saingan akhir Kejohanan Asia, dua minggu lalu apabila membenam rakan senegaranya 11-8, 15-13, 12-10.

Nicol pula menggondol kejuaraan kelimanya selepas mengharungi perlawanan yang jauh lebih mudah daripada dijangkakan ketika menewaskan pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham dari Belanda 9-4, 9-2, 9-2.

Ini merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Nicol dalam Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) 2008, selepas menjuarai Terbuka Apawamis di New York, Februari lalu.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod pertemuannya ke atas Grinham kepada 7-1, sekali gus membuktikan bahawa dia tiada masalah meski pun beraksi tanpa jurulatih, Liz Irving.

“Saya sebenarnya sudah bersiap sedia menghadapi satu perlawanan yang sukar dan sengit, saya fikir pertemuan ini akan berlarutan lebih panjang, namun ia nampaknya lebih mudah daripada yang dijangkakan.

“Natalie nyata belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan saya pasti keadaan itu banyak menyekat pergerakannya,’’ kata Nicol, yang membawa pulang AS$8,122 (RM25,725).

Kemenangan ini juga merupakan pemanas badan terbaik buat Nicol menjelang Terbuka Britain, Mei ini, di mana dia membawa misi merampas kembali kejuaraan.

Sementara itu, selepas sembilan kali mencuba, Beng Hee akhirnya berjaya ‘memecah badi’ Terbuka Kuala Lumpur apabila merangkul kejuaraan pertamanya.

Malah, kemenangan ini amat bermakna buat pemain nombor 17 dunia itu kerana menamatkan kemarau tanpa gelaran sejak November, 2005.

“Gembira akhirnya kerana berjaya memenangi kejuaraan sekali lagi dan menang di Kuala Lumpur, kejohanan yang tidak pernah menyebelahi saya selama ini,’’ kata Beng Hee, yang meraih AS$7,220 (RM22,868).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yn681XPa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan