Rabu, 22 November 2017

Nicol kejar rekod Nurul, Shalin



ARKIB : 25/04/2008
Oleh KHALID SAAD
 
Nicol David

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Nicol David berpeluang menyamai rekod cemerlang ratu renang, Nurul Huda Abdullah dan ratu boling negara, Shalin Zulkifli untuk merangkul anugerah olahragawati kebangsaan buat kali kelima pada majlis Anugerah Sukan Negara 2007 yang akan berlangsung 13 Mei ini.

Nicol, 24, yang pernah memenangi anugerah tersebut pada 1999, 2003, 2005 dan 2006, sekali lagi dicalonkan bersama 12 atlet lain.

Nurul Huda memenangi anugerah olahragawati kebangsaan lima tahun berturut-turut dari 1985- 1989, manakala Shalin memenanginya pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002 - pencapaian yang belum diatasi oleh mana-mana atlet wanita lain.

Nicol dilihat berpeluang menyamai rekod itu berdasarkan prestasi konsistennya, termasuk mempertahankan kedudukan nombor satu dunia, selain merangkul 10 kejuaraan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun dia bakal mendapat cabaran sengit daripada Shalin sendiri, selain ratu badminton negara, Wong Mew Choo, juara lompat bergalah Asia, Roslinda Samsu dan Yamii Goplsamy (karate).

Calon olahragawati lain adalah Chow Siao Foon (bola keranjang), Quzandria Nur Mahamad Fathil (ekuestrian), LIm Wen Chen (gimrama), Siti Zalina Ahmad (lawn bowl), Ng Sock Khim (pingpong), Khoo Cai Lin (renang), Che Chew Chan (taekwondo) dan atlet wusyu, Chai Fong Ying.

Sementara itu, kejayaan merangkul kejuaraan Seluruh England 2007 meletakkan beregu badminton negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebagai pilihan utama anugerah olahragawan.

Kien Keat 21, dan Boon Heong 23, mengulangi kejayaan cemerlang Razif dan Jalani Sidek kira-kira 23 tahun lalu ketika pasangan adik beradik itu muncul juara pada 1982.

Bagaimanapun pasangan nombor lima dunia itu, yang turut menjuarai Terbuka Malaysia, Terbuka Switzerland dan Filipina tahun lalu terpaksa bersaing dengan 12 atlet lain yang turut dicalonkan.

Calon lain anugerah olahragawan 2006 adalah , Sazali Abdul Samad (bina badan), Mohd. Rizal Tisin (lumba basikal), Koh Way Tek (bola keranjang), Zulmazran Zulkifli (boling), Mohd. Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian), Chua Boon Huat (hoki), Lim Yoke Wai (karate), Safuan Said (lawn bowl), Cheng Chu Siang (memanah), Lee Hup Wei (olahraga), Daniel William Henry Bego (renang) dan pemain skuasy, Mohd. Azlan Iskandar.

Mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh, semalam turut meneliti senarai calon untuk sembilan anugerah lain yang dipertandingkan.

Selain dua anugerah utama itu, jawatankuasa itu turut memperhalusi pencalonan bagi kategori pasukan lelaki kebangsaan, pasukan wanita kebangsaan, jurulatih lelaki kebangsaan, jurulatih wanita kebangsaan, anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan, Anugerah Khas, olahragawan dan olahragawati paralimpik.

"Sebanyak 48 persatuan dijemput mengemukakan pencalonan dengan tarikh tutupnya pada 5 Mac lalu. Bagaimanapun hanya 21 persatuan memberi maklum balas sementara selebihnya dibuat selepas tarikh tutup," kata Abdul Rashid Yaakub, jawatankuasa pengelola anugerah itu, semalam.

Anugerah Sukan Negara telah diperkenalkan pada tahun 1966 dengan tujuan asalnya menyatakan penghargaan negara kepada ahli sukan yang mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Jawatankuasa pemilihan terdiri daripada Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, pegawai-pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Bernama, wakil radio dan TV, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan wakil akhbar.

Majlis Anugerah Sukan Negara 2007 kali ini akan disempurnakan oleh Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan pada 13 Mei ini.

Penerima anugerah olahragawan dan olahragawati kebangsaan masing-masing akan menerima RM10,000.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4z9o3RhfR
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 24/04/2008
Pengalaman berharga di Chelsea - Bunyamin

SEPANG - Bermain corak pantas, agresif dan cepat berfikir merupakan antara ilmu yang berjaya ditimba oleh Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar ketika menjalani latihan di Akademi Bola Sepak Chelsea di Stamford Bridge, London selama dua minggu sejak 6 April lalu.

Suasana dan caranya yang ternyata berbeza turut mematangkan pemain muda UPB-MyTeam dan Kedah ini untuk diterapkan pada Liga Malaysia mahupun apabila mewakili negara ke Piala Antara Benua pada pertengahan bulan depan.

Peluang beramah mesra dan berlatih dengan bintang Blues seperti Didier Drogba dan Michael Ballack turut menjadi salah satu pengalaman paling berharga buat Bunyamin dan Baddrol yang mempunyai jadual ketat sepanjang di kelab gergasi Liga Perdana England itu.

"Walaupun jadual padat, kami masih dapat menyesuaikan diri terutamanya dengan keadaan cuaca di sana dan kebanyakan sesi latihan diadakan pada sebelah pagi dengan skuad simpanan Chelsea dan beberapa pemain yang bukan dalam kesebelasan utama.

"Kaedah latihannya cukup berbeza dengan pasukan di Malaysia tetapi layanan dan sambutan jurulatih dan pegawai mereka tetap baik dan mesra," kata Bunyamin setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Mereka dihantar berguru di Chelsea hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penganjur Piala Juara-Juara Belia (CYC), Gifted Group Limited yang akan menampilkan kelab bawah 19 tahunnya, Ogos ini dan tahun lalu.

Penghantaran dua pemain belia negara berusia 20 tahun ke Eropah ini merupakan yang kedua melibatkan FAM-MSN dan Gifted selepas Asraruddin Putra Omar (Selangor) dan Khairul Fahmi Che Mat (Harimau Muda) ke sebuah kelab terkenal Belanda, PSV Eindhoven tahun lalu.

Menurut Baddrol, mereka terpikat dengan kesungguhan Ballack dan Drogba ketika bersama dalam dua sesi latihan skuad utama, malah penyerang Ivory Coast itu menunjukkan teladan apabila mengadakan latihan tambahan sendirian bagi memantapkan sentuhan jaringannya.

"Kami juga diberi peluang menonton perlawanan Chelsea dengan Fenerbahce dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Wigan di Stamford Bridge. Ia memang satu pengalaman yang sukar kami lupakan," katanya yang telah menjaringkan hampir 10 gol untuk Kedah dalam Liga Super, Piala FA dan Piala AFC musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9k2GqHn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan