Jumaat, 3 November 2017

Nicol mudah ke suku akhir Terbuka Apawamis


ARKIB : 03/02/2008

KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Nicol David membuka kempen 2008 dengan melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Apawamis di Amerika Syarikat, semalam.

Di Kanada pula, Nafiizwan Adnan meneruskan kecemerlangannya dengan layak ke separuh akhir Terbuka Manitoba.

Nicol, juara Apawamis 2006 tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain pusingan kelayakan, Engy Kheirallah dari Mesir 9-4, 9-3, 9-1 dalam 33 minit.

Kemenangan tersebut akan menemukan ratu skuasy negara itu dengan Laura Lengthorn-Massaro dari England, pemain yang melakar kejutan pertama kejohanan.

Lengthorn menjadi tumpuan selepas menundukkan pilihan keenam dan rakan senegaranya, Vicky Botwright 9-6, 4-9, 9-5, 9-6.

Nicol, 25, bagaimanapun menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan hari ini kerana memegang rekod pertemuan 2-0 ke atas Lengthorn, termasuk memenangi perlawanan terakhir mereka di Terbuka Britain, tahun lalu.

Sementara itu, Nafiizwan dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan Cesar Salazar dari Mexico 11-3, 11-5, 11-13, 11-4.

Menanti pilihan ketujuh itu pada separuh akhir hari ini adalah pilihan kedua kejohanan, Shawn Delierre dari Kanada, yang mara selepas menewaskan Chris Gordon dari Amerika Syarikat 11-2, 11-9, 12-10.

Pada kejohanan Apawamis, turut meneruskan kemaraan dan menjadi pilihan untuk berdepan Nicol pada perlawanan akhir nanti adalah pemain adik-beradik dari Australia, Natalie Grinham dan Rachael Grinham.

Natalie, pemain nombor dua dunia menyingkirkan Latasha Khan dari Amerika Syarikat 9-3, 9-4, 9-8, manakala Rachael menundukkan bintang New Zealand, Shelly Kitchen 9-5, 10-8, 9-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4xPn5typK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan