ARKIB : 12/07/2008
Nicol atlet termuda dapat Datuk
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Nicol David menjadi ahli sukan termuda menerima gelaran Datuk apabila
dianugerah Darjah Setia Pahlawan Negeri pada usia 24 tahun sempena ulang tahun
ke-70 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, hari ini.
Ini merupakan penghormatan
terbaru dan terbesar yang diterima Nicol sebulan selepas menjadi penerima
pertama Darjah Bakti (DB), anugerah yang diperkenalkan pada tahun 1975, sempena
Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Penghormatan ini merupakan
pengiktirafan terbaru buat Nicol yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di
pentas skuasy antarabangsa termasuk menduduki takhta nombor satu dunia sejak
Januari 2006 hingga ke hari ini.
Datuk Abdul Malik Maidin, yang
menjadi perenang Malaysia pertama menyeberangi Selat Inggeris pada 2003,
merupakan ahli sukan termuda menerima gelaran Datuk sebelum ini iaitu pada usia
28 tahun.
Nicol atau nama penuhnya, Nicol
Ann David menjadi pemain Asia pertama merangkul kejuaraan dunia dengan memenanginya
pada 2005 dan 2006.
Penerima anugerah Pemain
Terbaik Dunia 2006 dan 2007 itu juga menjuarai tiga gelaran prestij Terbuka
Britain pada 2005, 2006 dan 2008, selain memenangi 28 kejuaraan Jelajah WISPA
(Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita) sejak bergelar profesional pada
tahun 2000.
Nicol, yang genap 25 tahun pada
26 Ogos depan, juga telah memenangi 12 gelaran dalam kejohanan utama WISPA dan
memegang rekod sebagai pemenang lima kejuaraan Asia (1998, 2000, 2002, 2004 dan
2006).
Pada 1999, Nicol menjadi pemain
Malaysia pertama merangkul gelaran remaja dunia, yang dianggap sebagai detik
permulaan kepada perjalanan kariernya yang menakjubkan.
Malah, pemain yang kini
dibimbing jurulatih tersohor, Liz Irving dari Australia berjaya mempertahankan
kejuaraan remaja dunia itu pada tahun berikutnya.
Kehebatan Nicol bukan sekadar
di pentas sukan, malah dia sebenarnya seorang yang genius di bidang akademik
apabila memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi
memutuskan untuk memberi tumpuan kepada sukan.
Penghormatan terbaru ini pasti
menyuntik semangat Nicol yang akan pulang ke tanah air untuk mempertahankan
kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali keempat berturut-turut apabila kejohanan
bermula pada 23 Julai ini
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zjnm1NvL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan